Umno kena sedia berubah demi kemajuan bangsa

PERSIDANGAN Pemuda Umno yang bermula esok amat signifikan kerana ia berlangsung dalam suasana sambutan kemerdekaan negara ke-50 dan berkemungkinan besar menjadi persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-12.


Justeru, kedua-dua fakta ini wajar menginsafkan kita bukan saja terhadap kejayaan Umno sejak penubuhannya lebih enam dekad lalu, malah terhadap cabaran besar yang sedang dan akan dihadapi untuk terus kekal relevan kepada orang Melayu khususnya generasi muda yang membentuk golongan majoriti.


Umno hakikatnya sebuah parti siasah yang amat berjaya. Apakah kejayaan Umno yang ingin dinafikan pengkritiknya? Adakah kejayaan menerajui perjuangan memperoleh kemerdekaan? Atau kejayaan mengisi dan memberi erti kepada kemerdekaan.


Namun, kejayaan lampau dan sokongan hari ini semata-mata tidak boleh menyebabkan kita berpuas hati dan memandang enteng kepada sokongan orang Melayu, terutama generasi muda kepada Umno.


Sebaliknya, Umno perlu terus mengambil sikap berpandangan jauh dalam proses pembaharuan dan perubahan untuk memastikan ia sentiasa relevan kepada aspirasi rumpun Melayu.


Salah satu langkah memerlukan perhatian segera ialah sebagai parti menerajui kerajaan, Umno perlu lebih cekap mengkaji impak jangka panjang penggubalan dasar yang dicetuskan, terutama dasar sosioekonomi.


Nampak kesan sebegini adalah meluas dan berjangka panjang kepada masa depan Umno sendiri. Contoh terbaik adalah kesan penggubalan serta pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada Umno. Proses rekayasa sosial menerusi DEB membolehkan pergerakan mobiliti sosial menegak yang begitu signifikan di kalangan orang Melayu.


DEB melalui akses kepada pendidikan dan modal sudah menjadi pemangkin utama kepada lahirnya kelas pertengahan Melayu yang besar.


Namun, kegagalan Umno menangani aspirasi produk DEB kerana mengambil mudah bahawa mereka yang sudah makan budi dengan Umno secara automatik akan memberikan sokongan. Tanggapan ini hampir menyebabkan musibah ketika krisis politik 1998 dan Pilihan Raya Umum 1999.


Umno ketika itu mendapati parti berhadapan antara lainnya kumpulan anak muda terpelajar produk DEB yang bukan saja tidak berasa terhutang budi kepada Umno, malah tidak teruja dengan Umno.


Namun, Umno adalah parti pragmatik melalui proses peremajaan pada pasca pilihan raya ke-10 yang menyaksikan penubuhan Puteri Umno, pemberian peranan lebih besar kepada generasi muda dalam mempengaruhi penggubalan dasar negara serta peralihan pucuk kepemimpinan parti pada 2003 yang memulihkan kembali sokongan generasi muda kepada Umno.


Generasi Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi hari ini adalah generasi terakhir yang menyaksikan perjuangan Umno memperoleh kemerdekaan dengan mata kepala mereka sendiri. Generasi beliau berusia tujuh tahun ketika Umno ditubuhkan dan 18 tahun ketika negara mencapai kemerdekaan.


Tujuan penulis membawa fakta ini kerana ingin menarik perhatian kepada hakikat bahawa legitimasi Umno kepada ahli, penyokong dan pengundinya perlu sentiasa segar dan tidak bergantung semata-mata kepada nostalgia sejarah. Sejarah hendaklah dijadikan panduan serta asas untuk bergerak maju, bukannya alasan untuk bernostalgia, statik dan menentang perubahan serta pembaharuan.


Perjuangan utama generasi kepemimpinan muda Umno hari ini sepatutnya berkisar kepada bagaimana untuk memenuhi harapan generasi DEB yang membentuk kelas menengah Melayu. Umno perlu menjadi parti yang mendukung aspirasi mereka, yang prihatin dengan masalah mereka, yang relevan dengan mereka serta berupaya menangkap imaginasi mereka.


DEB yang berjaya menukar anak nelayan dan petani di luar bandar kepada profesional, graduan dan usahawan yang mendiami bandar. Untuk itu Umno perlu merencana dengan teliti bagaimana untuk berhadapan isu kualiti hidup perbandaran yang akan menjadi satu agenda utama kelas menengah Melayu.


Umno juga perlu merencana dalam menghadapi isu seperti keperluan pendidikan berkualiti untuk anak kumpulan kelas menengah ini, keperluan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan dengan kos berpatutan dan penyediaan pembiayaan hari tua mereka.


Kita juga perlu bersedia menghadapi generasi era pasca DEB yang lebih berketrampilan dan asertif dalam memperjuangkan serta berkomunikasi mengenai aspirasi dan harapan mereka. Generasi ini adalah generasi yang lahir pada 1970-an. Mereka lahir selepas DEB tamat dan digantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) serta Dasar Pembangunan Wawasan (DPW).


Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, tragedi 13 Mei dan usaha awal mengisi kemerdekaan bagi generasi ini adalah sesuatu yang hanya mereka baca dalam buku teks, baca di internet, belajar di bilik kuliah, dengar daripada cerita orang tua dan saksikan di muzium serta memorial.


Mereka tidak terimbau dengan jasa Umno kerana bagi mereka kejayaan yang mereka capai tiada kaitan dengan Umno, sebaliknya hasil kerja keras dan ilmu pengetahuan mereka sendiri. Bagi mereka, dunia adalah pentas untuk terokai tassawur mereka tidak terhad kepada sempadan negara bangsa mereka sendiri.


Untuk menangkap imaginasi mereka, Umno perlu menjadi parti yang bukan saja dapat dan aspirasi mereka, malah mampu memberi harapan kepada mereka.


Untuk menjadi parti yang memberi harapan, Umno mestilah meneruskan agenda pembaharuan dan perubahan yang dipelopori Presiden. Walaupun tidak dinafikan ada sesetengah langkah memerlukan pengorbanan menyakitkan serta pahit, tuntutan zaman dan masa depan memerlukan kita meneruskan pembaharuan dan perubahan.


Jika gagal di dalam atau jika lari daripada menjayakan misi mulia ini, maka generasi kini dipertanggungjawabkan oleh sejarah dan generasi akan datang.


Jalan untuk Umno tiada lain daripada terus bergerak ke hadapan. Apa yang dilakukan hari ini akan mendatangkan kesan kepada masa depan parti kemudian hari. Sesungguhnya tiada parti lain yang dapat membawa bangsa Melayu dan negara Malaysia ke hadapan kecuali Umno.


Adalah menjadi tanggungjawab kepemimpinan ahlinya untuk memikul amanah menjadikan Umno sesuai sepanjang zaman demi agama, bangsa dan negara.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768