Hendak jadi calon mesti bersikap sederhana

PERHIMPUNAN agung Umno yang bermula hari ini hingga Jumaat, dijangka hangat kerana dua faktor, iaitu persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi dan selepas itu diikuti pemilihan pelbagai jawatan dalam parti sama ada membabitkan parti induk, pergerakan Wanita, Pemuda atau Puteri. Keadaan ini akan menyebabkan gendang politik Umno tahun ini dijangka berbunyi lebih garang kerana persidangan kali ini dikatakan akan lebih bertumpu kepada pilihan raya umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Inti pati perbahasan pastinya tidak akan lari daripada memperkatakan mengenai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dan Umno bagi memastikan kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum itu nanti. Tetapi orang Umno juga tidak dapat lari daripada realiti politik dan sudah pasti, akan ada di kalangan pembahas atau perwakilan Umno menggunakan perhimpunan kali ini sebagai pentas untuk melobi diri dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang. Lebih daripada itu juga, sudah pasti ada yang mula berkempen untuk mengimpikan jawatan tertentu dalam pemilihan parti nanti. Menyedari hakikat ini, Datuk Seri Najib Razak dalam satu temu bual khas dengan Berita Harian Jumaat lalu, mengingatkan perwakilan Umno supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon. Menurut Timbalan Presiden Umno, perwakilan juga tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan untuk melobi bagi menyerlahkan peluang mereka menjadi calon kerana cara seperti itu boleh 'menikam diri sendiri'. Najib mengakui kegiatan melobi tidak boleh dielakkan kerana itulah realiti politik yang harus diterima tetapi pada masa sama, beliau mengingatkan supaya tindakan itu tidak dibuat secara keterlaluan.


Kita akui dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, kegiatan lobi melobi tidak boleh dielakkan kerana sejarah membuktikan bahawa sesetengah ahli yang tidak menunjukkan minat menjadi wakil rakyat, kadang-kala namanya tercicir kerana dianggap tidak berminat. Tetapi ada juga yang menunjukkan minat keterlaluan pun namanya boleh tercicir. Bertepatan dengan adat sopan masyarakat timur, ada baiknya kita lebih mementingkan kesederhanaan. Ini kerana untuk menjadi calon, kepetahan berpidato seperti ketika perbahasan pada perhimpunan agung tidak memadai. Apa yang paling penting ialah seseorang itu berbudi pekerti, rajin dan mustahak sekali ialah penerimaan di kalangan pengundi di kawasan masing-masing. Pokok pangkalnya ialah kemenangan dan calon yang dipilih hendaklah mereka yang boleh menyumbang kemenangan kepada Umno dan BN. Ini bermakna, calon itu diterima oleh semua, apatah lagi jika pengundi di kawasannya itu terdiri daripada rakyat pelbagai kaum. Berdasarkan hakikat ini, populariti saja termasuk ketika perbahasan seperti pada perhimpunan agung, tidak menjamin akan dipilih sebagai calon. Seperti kata Najib, kalau pandai bercakap tetapi orang tak suka, tak boleh juga untuk dipilih sebagai calon. Sebab yang paling penting kali ini, BN mesti menang dan calon yang dipilih mestilah calon paling sesuai untuk menjamin kemenangan itu. Tiada guna letak calon yang tidak boleh menang, kerana pilihan raya adalah untuk menjadi pentas mencapai kemenangan, bukan untuk memenuhi kehendak seseorang menjadi calon. Berdasarkan hakikat ini, maka perwakilan ke perhimpunan agung kali ini mesti ingat Umno mempunyai kriteria tersendiri untuk memilih calon dan paling penting, mesti diterima baik di kalangan pengundi bawahan.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768