Perhimpunan tumpu gagasan nasional

PERHIMPUNAN Agung Umno menjelang tiba. Ramai menunggu mesej dan amanat yang bakal disampaikan pemimpin tertinggi parti. Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melihat perhimpunan kali ini, walaupun tidak ada pertandingan, cukup penting apa lagi diuar-uarkan sebagai perhimpunan terakhir menjelang pilihan raya umum akan datang. Ikuti pesanan dan nasihat beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri kepada perwakilan dan ahli Umno khususnya golongan pelapis dalam satu temu bual khas dengan wartawan Berita Minggu, Zainuddin Ayip dan Kadir Dikoh di pejabatnya, kelmarin.


Perhimpunan Agung Umno kali ini disifatkan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Bagaimana Datuk Seri melihat signifikannya kepada perwakilan parti yang menghadiri persidangan tahunan ini.


Pertamanya, perhimpunan agung ini sangat bersejarah kerana diadakan sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan negara kita. Sudah tentu gema sambutan itu masih dirasai dan tentu sekali perasaan kebanggaan atas jasa pejuang dan veteran kita sebelum ini masih segar. Pejuang dan veteran ini berkorban dan berjuang bagi mencapai kemerdekaan. Kejayaan dan perjuangan Umno untuk negara dalam konteks menentang Malayan Union mencapai kemerdekaan dan membina sebuah negara bangsa, sudah tentu dapat dihayati perwakilan sama ada dalam dewan, mahupun ahli Umno di luar dewan.


Perhimpunan ini juga membawa signifikan dari segi politik kerana kita menganggap perhimpunan ini sesuatu yang penting, masa yang penting untuk kita mengukuhkan semangat kerjasama pemuafakatan, setia kawan dan komitmen pada semua peringkat dalam kepemimpinan Umno. Ia supaya Umno akan terus mantap dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya umum dan sebagainya.


Jadi, suasana dalam perhimpunan ini akan menjurus kepada proses penyatuan, proses merapatkan barisan, proses untuk membuat persediaan kepada pemimpin Umno bahawa mereka perlu membawa mesej Umno dan kerajaan kepada rakyat.


Selain itu, inisiatif baru yang dilancarkan Perdana Menteri seperti pembangunan wilayah koridor, akan menjadi antara yang menarik perhatian perwakilan khususnya dalam konteks bagaimana kita boleh menjayakan gagasan yang dilancarkan itu.


Walaupun perhimpunan ini perhimpunan untuk ahli Umno dan orang Melayu keseluruhannya, kita prihatin bahawa perhimpunan Umno ini adalah perhimpunan yang juga perlu menunjukkan komitmen kita pada semangat dan prinsip Barisan Nasional (BN), setia kawan dalam BN.


Pada fikiran Datuk Seri, apa antara isu hangat yang dijangka diutarakan perwakilan ketika perbahasan?


Saya tak anggap ada yang hangat, tetapi beberapa isu yang mungkin menarik perhatian perwakilan ialah isu semasa seperti masalah jenayah, masalah sosial, barang naik, bidang pendidikan dan bagaimana kita nak menjayakan gagasan koridor raya dalam konteks agenda Melayu.


Sesetengah perwakilan mungkin menggunakan perhimpunan ini sebagai landasan untuk melobi dipilih sebagai calon, memandangkan pilihan raya umum diadakan selepas ini. Apa pandangan Datuk Seri?


Soal jadi calon tidak bergantung kepada sama ada kita menjadi jurucakap (untuk perbahasan) atau tidak. Jika kita jadi jurucakap pun tidak semestinya kita akan diangkat menjadi calon kerana kriteria menjadi calon ini banyak.


Bukan saja pandai berpidato, tetapi banyak ciri lain yang kena ambil kira. Kita harap perwakilan tidak menganggap ia sebagai satu pentas bagi menyerlahkan peluang mereka untuk menjadi calon sebab cara seperti itu biasanya 'counter productive.'


Ada yang beranggapan apabila dipilih sebagai jurucakap untuk berucap pada perhimpunan, ia bagaikan satu tiket untuk menjadi calon dan bagi wakil rakyat pula, mungkin ia tiket untuk dilantik ke jawatan tertentu dalam Kabinet?


Wakil yang bercakap ditentukan oleh Perhubungan Negeri, bukan sesiapa yang teringin nak jadi calon boleh bercakap dalam perhimpunan. Dia tak boleh kata 'saya nak bercakap pada perhimpunan agung', ... tidak boleh. Dia mesti atas tiket jurucakap yang dipilih oleh Perhubungan. Itu saja.


Apabila dia jadi jurucakap, dia mewakili pandangan negeri. Jadi kalau dia mewakili pandangan negeri, dia tidak boleh nak kata dialah yang terbaik. Sebenarnya dia mesti faham, ini satu amanah yang diberikan Umno negeri untuk dia beri pandangan Umno negeri dalam perhimpunan agung.


Dalam masa tiga hari perhimpunan, bila ada peluang berjumpa dengan pemimpin dan sebagainya, pada masa itulah mungkin dia cuba melobi. Pada majlis sampingan, untuk melobi... itu perkara biasa. Nak kata tidak boleh sebut sangat pun (kegiatan melobi), benda ini sudah realiti dan realiti politik ini kadang-kadang, kita kena tunjuk kita ada minat, nanti orang kata macam kita tak berminat (nak jadi calon) pula.


Kita kena tunjuk bahawa kita ada minat, tetapi buatlah secara sederhana, buatlah dengan berhemah dan bersopan, janganlah orang kata beriya sangat, berlebihan sangat.


Apa nasihat Datuk Seri kepada golongan ini dan mungkin apa kriteria baru diguna pakai untuk memilih calon bertanding dalam pilihan raya umum nanti?


Kriteria nak jadi calon memang banyak. Pertama ialah kebolehan, diterima bukan saja oleh parti, malah pengundi. Anda juga perlu mengambil kira yang anda diterima di kawasan anda. Kalau pandai bercakap, tetapi orang tak suka, tak boleh juga. Dia orang (pengundi) cukup marah kalau kita cuba paksa (mencalonkan orang yang mereka tak suka).


Kita mesti tahu cita rasa, sensitiviti, keadaan dalam satu kawasan itu. Sebab yang paling penting kali ini, BN mesti menang. Calon yang kita pilih itu calon sesuai, lepas itu kita juga ada pertimbangan dari segi calon untuk Wanita tetapi akhirnya, calon kita mesti boleh diterima dan boleh menang di kawasan itu.


Tiada guna letak calon yang tidak boleh menang... sentiasa letak calon yang boleh menang.


Pada zaman dulu, seperti orang kata, letak batang pisang, songkok boleh menang kalau diberi peluang menjadi calon BN?


Ya, itu dulu... perkara itu sudah berlalu. Kini, ada beberapa faktor lain seperti pengaruh calon dan personaliti. Sebab sesetengah personaliti ada (memberi) kekuatan tambahan. Jadi kalau letak orang lain untuk parti sama, keputusan (undi) mungkin berbeza. Dalam erti kata lain, personaliti calon cukup penting untuk memastikan kejayaan.


Perebutan kerusi di kalangan parti komponen kerap berlaku menjelang pilihan raya umum. Jika tidak dikawal dan diatasi segera sudah pasti boleh mengeruhkan keharmonian BN?


Pengagihan kerusi tidak ada masalah... dah selesai dan tidak ada tambahan kerusi (untuk diagihkan). Secara asasnya status quo kekal melainkan kita boleh merayu kepada parti lain untuk beri (kerusi) kepada parti komponen BN atas semangat permuafakatan.


Mengenai isu agenda Melayu, pengisiannya masih jauh dan apakah perhimpunan kali ini akan terus memberi kupasan lanjut?


Kita mahu melihat secara lebih positif.... sebab untuk mengubah sesuautu bangsa dari segi budayanya, pemikirannya, adalah satu perjalanan panjang. Kejayaan tertentu sudah kita capai umpamanya dalam kepemimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pembaharuannya dianggap berjaya. Ini bererti bahawa orang Melayu dan Bumiputera berkemampuan mengendalikan perusahaan besar.


Kejayaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) umpamanya, Petronas dan sebagainya boleh diiktiraf sebagai kejayaan dari segi kepemimpinan mereka. Apa yang belum menjadi kenyataan ialah kejayaan kita mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu kelompok yang besar dalam masyarakat kita. Usahawan yang berjaya masih lagi bilangan terlalu kecil, inilah yang perlu kita lakukan. Bukan mustahil, tetapi perjalanannya memakan masa lebih.


Selain itu, kita juga kena beritahu bahawa kalau kita sebut agenda Melayu ataupun meneruskan semangat dan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB), ia bukan bererti bahawa ini perlu dilihat semata-mata menolong orang Melayu saja atau Bumiputera.


Kita lihat segala-gala ini dalam konteks agenda nasional. Maknanya, jika kita dapat mencapai pembangunan yang adil dan saksama, semua kaum dapat kongsi kek ekonomi yang adil dan saksama, lebih baik untuk negara kita dari segi perpaduan nasional. Banyak orang memperlekehkan bila kita sebut semangat DEB atau agenda Melayu, atau mereka menidakkan dasar ini kononnya menguntungkan beberapa orang saja. Jadi, ini kita perlu perjelaskan bahawa hakikatnya adalah sebaliknya.


Hakikatnya, orang Melayu masih mengharapkan bantuan kerajaan?


Sebab kita belum lagi wujudkan MPBB ini. Jika kita ada MPBB, mereka boleh berdikari dan mereka ada rangkaian kerja yang kukuh termasuk dengan kaum lain. Maka, pada masa itu Bumiputera tidak perlu pertolongan daripada kerajaan. Dalam keadaan sekarang, jika kerajaan tidak tolong, mereka tidak boleh nak hidup sebagai usahawan.


Walaupun banyak usaha sudah dilakukan seperti sokongan kuat kerajaan, malah Umno turut memperjuangkannya, mengapa kelompok dalam MPPB masih begitu kecil?


Ada beberapa sebab, antaranya ia memerlukan satu transformasi budaya. Transformasi budaya ini perlu, sebab kalau kita bagi peluang juga, tetapi budaya kita masih budaya lama, peluang itu tidak boleh dimanfaatkan atau peluang itu mungkin disalahgunakan kerana sikap kita yang negatif dan sebagainya.


Jadi kita sudah sedar bahawa untuk mencapai matlamat supaya kita dapat menguasai bidang ekonomi pada tahap sewajarnya, kita perlu melihat kepada aspek yang lebih menyeluruh, kita tidak boleh melihat untuk mendapat peluang saja, tetapi kita mesti melihat pada pembentukan budaya yang lebih berdaya saing dan berdaya maju.


Bagaimana untuk mengatasi kemelut ini?


Kita mesti cuba menggalakkan pertimbangan berdasarkan pada merit. Umpamanya kalau kita memberi apa-apa pertimbangan termasuk pemberian kontrak atau peluang perniagaan, seelok-eloknya kita bagi pada mereka yang terbaik di kalangan orang Melayu supaya yang terbaik, yang mempunyai daya tahan dan daya saing terus berjaya.


Jadi prinsip meritokrasi dalam kelompok orang Melayu adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Kita bukan pilih berdasarkan kepada siapa yang kita kenal ataupun know who tetapi kena beri pada know how, lebih kepada know who.


Masalahnya, sesetengah orang Melayu terutama pemimpin Umno pelbagai peringkat suka merajuk jika tidak diberi sesuatu projek, kononnya dia pegang jawatan penting pada peringkat bahagian atau cawangan iaitu mengharapkan 'know who'?


Saya sedar akan kewujudan realiti politik ini. Umpamanya ketua bahagian pun ada keperluan mereka juga dan kita tidak boleh kata tidak ada keperluan sama sekali. Tetapi secara umum prinsipnya ialah seharusnya ke arah meritokrasi di kalangan Bumiputera yang kita hendak beri peluang supaya dengan ini sebarang pemberian atau bantuan kerajaan dapat diterjemah kepada kejayaan yang berterusan.


Kita mesti melihat kepada proses untuk membimbing syarikat Bumiputera yang ada kemampuan untuk disenaraikan dalam masa terdekat. Jadi dengan sedikit bantuan, mereka layak untuk disenaraikan. Bila syarikat mereka disenaraikan, selepas itu mereka bolehlah berdikari.


Jadi kita sudah dalam proses mengenalpasti syarikat Bumiputera yang betul-betul tulen dan berpotensi besar.


Namun, jumlah syarikat Bumiputera yang tersenarai masih kecil?


Memang betul tidak banyak. Sebab itu saya kata, kita mesti lihat pada metodologi dan pendekatan yang baru dalam persekitaran yang sudah berubah. Persekitaran kita bukan lagi persekitaran tertutup tetapi terbuka berikutan proses globalisasi. Jadi orang Melayu juga mesti menyesuaikan diri kepada persekitaran baru ini.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768