Generasi ketiga meremajakan parti

Muka baru diperlu sebagai pelapis bagi memastikan kesinambungan perjuangan


BAGAIMANA Datuk Seri melihat komitmen generasi muda dalam Umno kerana kita dapati ada yang menyertai parti untuk kepentingan tertentu, malah ada juga yang mahu cepat naik?


Ada dua perkara sebagai generasi pemuda yang patut sama-sama fikirkan. Satu, pegangan kepada idealisme perjuangan. Kita patut tanya pada diri ‘apa sebab saya ada dalam Umno dan tanya pada diri apa sumbangan saya pada Umno dan bukan sebaliknya’. Maknanya jangan tanya Umno, apa yang Umno boleh buat untuk kita. Kita tanya, apa kita boleh buat untuk Umno.


Yang kedua, kita mesti mengamal dan menghayati nilai murni dalam perjuangan sebab bila kita memiliki dan mengamalkan nilai murni, kita akan berjaya dalam perjuangan. Orang akan lebih menghormati Umno sebagai sebuah parti.


Hal ini kerana cabaran kita ialah untuk mempertahankan kelangsungan kuasa Umno. Di negara lain, parti yang berkuasa begitu lama sudah menemui detik sukar apabila parti itu tidak lagi berkuasa atau parti itu menemui kegagalan.


Tetapi Umno ini masih berjaya dan terus berjaya. Jadi cabaran kita ialah ketika kita menyerah obor kepada pemimpin generasi akan datang nanti, mereka harus berkemampuan untuk terus berlari dengan obor itu.


Proses 'grooming' golongan muda dalam Umno sudah berlaku sejak lama dulu. Bagaimana keadaan masa kini kerana kita dapati ada segelintir yang mahu cepat naik?


Memang benar, kita sudah mula proses ‘grooming’ dulu lagi. Saya ingat pada zaman Allahyarham ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein), tokoh muda profesional sudah dimasukkan dalam kerajaan seperti diberi jawatan setiausaha parlimen, timbalan menteri dan sebagainya.


Jadi proses ini sudah lama, cuma pemimpin yang menjalani proses itu 20 atau 30 tahun dulu kini sudah tua sekarang. Tetapi proses ini berjalan terus. Jadi, kita kena ambil generasi ketiga mulai sekarang.


Saya sebagai generasi kedua, ayahanda saya generasi pertama, jadi sebahagian daripada generasi saya dan sebahagian generasi ketiga. Dan, kita mesti asuh mereka (generasi ketiga), asah mereka untuk jadi pemimpin masa depan yang cemerlang.


Masalahnya, sebilangan orang lama atau veteran dalam Umno tidak mahu memberi laluan dan ingin terus kekal misalnya sebagai Ketua Bahagian, Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, walaupun sudah menjadi wakil rakyat beberapa penggal?


Itu yang saya sebut sebagai realiti politik yang tidak ikut pada buku, teori... jadi kita kena pandai-pandai bawa diri sebagai pemimpin. Kalau pandai bawa diri, insya-Allah kita boleh berjaya sebagai pemimpin.


Perjalanan pemimpin muda seharusnya merangkak, bertatih dan berjalan terlebih dulu, tetapi ada sesetengahnya ingin terus berlari?


Sebab itu yang saya kata tadi, biar kita faham realiti politik, tahu bawa diri dan kita mesti ada kebijaksanaan. Walaupun kita muda, tak semestinya kita berfikiran macam orang muda, tetapi kita mesti ada kematangan cara berfikir dan bertindak. Mereka kena belajar dan terus belajar menimba pengalaman berpolitik


Pada perhimpunan agung tahun lalu, sebilangan perwakilan ketika perbahasan mencetuskan isu sensitif berkaitan kaum dan sebagainya hingga pihak luar seperti parti komponen BN yang lain rasa terguris. Bagaimana pula senario kali ini?


Kita akan memberi panduan (kepada pembahas) bahawa kita mesti sedar dalam perhimpunan ini kita berucap, tetapi ucapan kita akan diikuti dan dinilai mereka di luar dewan termasuk bukan Melayu. Jadi elakkan perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan mereka.


Isu keris yang dipaparkan Pemuda Umno dalam perhimpunan lalu turut menimbulkan kontroversi. Apa nasihat Datuk Seri kepada Pemuda supaya tidak lagi menimbulkan isu seperti itu?


Bergantung kepada bagaimana anda melihatnya. Ia sebenarnya bukan isu jika anda melihat dalam konteks apa maknanya keris. Ia bukan senjata memberi isyarat peperangan atau konfrontasi, ia simbol budaya yang melambangkan perjuangan.


Perjuangan bukan bermakna berkonfrontasi terhadap sesiapa. Itu sebab saya katakan, kita mesti komited kepada konsep dan semangat BN ke arah pembinaan sebuah negara majmuk. Ia (isu keris) bergantung kepada bagaimana tanggapan anda, dan saya rasa (reaksi bukan Melayu), agak keterlaluan.


Bagaimana Datuk Seri melihat kepemimpinan Pergerakan Pemuda sekarang?


Kepemimpinan Pemuda mampu mewakili cita rasa generasi muda. Mereka sudah menunjukkan komitmen bahawa dalam isu tertentu, mereka sanggup berdepan dengan sesiapa yang cuba mengganggu gugat Umno dan sebagainya. Pada masa pilihan raya kecil pun, mereka memberikan kerjasama baik kepada (badan induk) Umno, BN dan calon BN sendiri.


Bagaimana Datuk Seri melihat peranan dan prestasi Wanita dan Puteri Umno?


Wanita memainkan peranan penting dalam parti, sebab kalau kita tengok semua kegiatan pada peringkat cawangan dan bahagian, terasnya ialah pada golongan wanita. Dan, Wanita kali ini diberi tugas penting seperti juga ketika pilihan raya yang lalu... mereka disyor berkempen dari rumah ke rumah, berkempen di peringkat akar umbi. Lagipun pengundi wanita hampir sama banyak dengan lelaki, justeru peranan mereka tidak harus diperkecilkan.


Puteri pula kita harap akan menarik generasi muda ke dalam Umno dalam usaha meremajakan parti. Hal ini disebabkan kita ada muka baru dalam parti dan semangat itu sentiasa hidup dalam parti. Kita nampak parti kita sentiasa melalui proses perubahan dan kita mencapai akses kepada generasi akan datang, dan itulah peranan Puteri yang boleh mengajak anak muda ke dalam parti.


Apa antara mesej penting yang akan Datuk Seri mahu sampaikan apabila merasmikan serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri, malam esok?


Mesej, memang ada mesej... tapi tak boleh beritahu sekarang.... tunggulah ucapan saya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768