Ahli politik berilmu lebih baik daripada pengampu

MENJELANG Perhimpunan Agung Umno bermula esok hingga Jumaat ini, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini berpesan supaya pembahas usul pada perhimpunan itu jangan bercakap kosong atau atas angin saja, sebaliknya membuat kajian dan mengemukakan hujah bernas yang disokong fakta kukuh.


Beliau mendapati hanya 50 hingga 60 peratus daripada pembahas usul yang mengemukakan fakta tepat dan hujah bernas berasaskan kajian mendalam. Jika penilaian sedemikian dibuat terhadap mutu perbahasan pada peringkat paling tinggi dalam parti itu, maka, bayangkan betapa rendah mutunya pada peringkat bawah.


Kajian, fakta dan hujah yang baik adalah unsur utama politik ilmu. Kerana itu, pesanan Adnan amat penting dalam konteks membudayakan politik ilmu dan melahirkan ahli politik berilmu dalam rangka meningkatkan integriti politik.


Umum menerima bahawa kekuatan sebenar dalam politik ialah kekuatan ilmu. Tetapi, ironisnya, kekuatan ilmu sering dikalahkan kekuatan mengampu. Ahli Politik berilmu, tetapi tidak pandai mengampu mungkin tidak terpilih untuk diberi tugas penting parti dan kerajaan. Sebaliknya, ada kalanya mereka yang terpilih ialah yang pandai mengampu, walaupun kurang berilmu.


Sesetengah parti politik pula tidak gemar menganjurkan program ilmu. Kalaupun ia dianjurkan, terlalu banyak masa, tenaga dan dana digunakan untuk acara perasmian yang kerusi baris depannya sering dipenuhi mereka yang bukan sangat berminat dengan ilmu tetapi menghadirinya untuk mengampu pembesar yang merasmikannya.


Sebaik saja pembesar beredar dari majlis itu, maka pengampu itupun turut beredar sama. Buku atau bahan ilmu yang dibekalkan kepadanya tidak dipedulikan. Lazimnya, mereka yang terus menghadiri program itu sampai akhirnya yang benar-benar meminati ilmu, tetapi sukar untuk naik dalam parti yang budayanya begitu.


Dalam hal lain, apabila sesuatu keputusan atau tindakan hendak dilakukan, pendapat politikus berilmu – apatah lagi sekiranya beliau tanpa kedudukan, gelaran atau kewangan dan lebih-lebih lagi sekiranya masih muda – maka pendapatnya jarang didengar. Pandangan yang selalu didengar ialah daripada mereka yang lazimnya lebih suka mengampu atau tidak menyatakan yang benar kerana takut untuk tidak bersetuju.


Anehnya, selepas itu, pandangan dahulunya ditolak itu digunakan pula ahli politik sama, tetapi tanpa sebarang pengiktirafan kepada politikus berilmu itu.


Keadaan begini merosakkan politik ilmu dan integriti politik. Apa yang penting ialah pandangan yang benar. Pandangan yang benar, walaupun berbeza dan pahit, perlu diterima pakai. Tidak kira siapa yang menyampaikannya. Yang di bawah boleh menyampaikan. Yang di atas pula sedia menerima. Begitu juga sebaliknya.


Justeru, budaya politik baru perlu diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai politikus berilmu menjadi penggerak utama politik ilmu dan integriti politik. Kita perlu menjadikan politik ilmu dan bukannya politik ampu sebagai teras politik baru.


Ilmu asas kepakaran. Realiti hari ini ialah semua bidang memerlukan kepakaran termasuk menjayakan parti dan kerajaan. Zaman politikus `tahu sedikit dalam semua, tetapi tidak pakar dalam apa-apa' sudah berakhir. Politikus perlu punya kepakaran.


Kerana itu, contohnya, politikus yang mengetuai agensi kerajaan, terutama agensi yang membabitkan bidang profesional, perlu mempunyai kepakaran dalam bidang diketuainya. Kalaupun beliau bukan pakar dalam bidang itu, tetapi sekurang-kurangnya latihannya ketika menuntut di universiti dulu, contohnya, seharusnya membolehkannya belajar dengan segera akan bidang itu.


Kalau tidak, beliau akan begitu kekok, misalnya ketika mempengerusikan mesyuarat atau menyampaikan ucapan, walaupun disediakan dengan nota mesyuarat dan teks ucapan. Dalam hal begini, apalah yang boleh diharapkan daripadanya sebagai ketua? Lebih baik serahkan saja semuanya kepada pegawai yang lebih berilmu!


Antara faktor kecemerlangan sesetengah era politik ialah pengiktirafan yang diberi kepada pakar sehingga dilantik memegang jawatan penting, termasuk sebagai menteri.


Contohnya, pada 1991, Profesor Universiti Harvard, Robert B Reich, menulis The Works of Nations, iaitu buku terpenting dalam dunia pekerjaan Amerika Syarikat (AS). Selepas itu, apabila Bill Clinton menjadi Presiden AS, Reich dilantik Setiausaha Buruh. Kesannya ialah era pentadbiran Clinton menyaksikan pertambahan jumlah pekerjaan paling besar dan kadar pengangguran paling rendah dalam sejarah AS moden.


Justeru, ahli politik bukan saja perlu berilmu dan sebaik-baiknya pakar sesuatu bidang, tetapi perlu juga memastikan penasihatnya juga berilmu, memberikan nasihat yang baik dan bukannya mengampu. Rakyat kini lebih berilmu dan meluat terhadap pengampu. Parti politik dan politikus tidak ada pilihan melainkan meningkatkan politik ilmu dan menamatkan politik ampu.


Penulis adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768