Kurang lantang bukan bererti lemah

SELEPAS hampir 10 tahun menerajui Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tentu mempunyai agenda dan pesanan tersendiri kepada generasi muda yang bakal menerajui Umno masa depan. Malah, kemungkinan kepemimpinan Pemuda akan beralih kuasa berikutan ura-ura beliau mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Ikuti penjelasan beliau yang juga Menteri Pelajaran dalam pertemuan bersama media termasuk wartawan Berita Harian, Azman Zakaria dan Azrul Affandi Sobry di pejabatnya, semalam.


Bagaimana harapan Datuk Seri menjelang Perhimpunan Agung Umno tahun ini selepas hampir 10 tahun menerajui Pergerakan Pemuda Umno.


Pastinya menjelang Perhimpunan Agung Umno tahun ini, perasaan lega dan bangga yang teramat kerana dapat melihat Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) berdiri dengan mantap selepas apa yang disifatkan sebagai dugaan paling besar yang dihadapi pada 1998. Kini, apa yang menjadi matlamat utama selepas berjaya pulih daripada dugaan itu adalah memastikan perjuangan dapat diteruskan lebih jauh. Pengalaman diuji secara peribadi membuatkan saya cukup lega dan bertekad untuk meneruskan amanah memastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti seterusnya menguatkan institusi Umno itu sendiri.


Apakah pendekatan yang akan digunakan oleh Datuk Seri dalam memastikan ucapan dasar Ketua Pemuda pada perhimpunan nanti lebih berkesan.



Pemuda sudah mengambil keputusan untuk memaparkan tayangan video sebelum ucapan saya yang akan mengiktiraf individu serta pemimpin Pemuda terdahulu dan menilai pelbagai program yang sudah kami lakukan termasuk usaha memastikan parti ini masih kuat dan relevan. Ucapan dasar saya kali ini akan lebih menjurus kepada persoalan kepemimpinan peribadi dan asas perjuangan saya.


Apakah ucapan dasar Datuk Seri juga akan menyentuh berkenaan isu peralihan kuasa dalam Pemuda.



Peralihan kuasa adalah perkara biasa dalam Pemuda kerana pada tahun ini saja 57 peratus daripada kepemimpinan Pemuda sudah mencapai had umur melebihi 40 tahun yang tidak membolehkan mereka memegang jawatan dalam Pemuda.


Namun, sayap Pemuda harus sentiasa disuntik dengan kepemimpinan baru supaya mereka dapat memahami serta mendokong cita rasa generasi muda pada ketika ini. Ia adalah satu senario biasa yang harus difahami semua. Namun, Perhimpunan Agung bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan soal perubahan dalam parti.


Adakah Pemuda akan menghalang perwakilan membangkitkan isu sensitif pada perhimpunan kerana beberapa perwakilan Pemuda diberikan amaran oleh Jawatankuasa Disiplin parti tahun lalu.



Sebenarnya apa yang dibangkitkan tahun lalu tidak ada beza dengan apa yang dibincangkan pada tahun sebelumnya. Cuma, dalam keadaan dunia kini yang mengamalkan konsep dunia tanpa sempadan yang membolehkan segala maklumat disebarkan dengan mudah serta pantas sama ada menerusi telefon atau internet menyebabkan sesuatu isu sensasi dibesarkan. Tambahan pula, dengan adanya siaran langsung pada tahun lalu membolehkan tumpuan terlalu ketara membabitkan isu sensasi.


Namun, suka atau tidak, kepemimpinan Umno perlu menerima hakikat dunia tanpa sempadan, kebebasan dan keterbukaan itu menjadi fenomena pada masa kini. Umno tidak boleh melarang mana-mana perwakilan menyuarakan apa saja pandangan mereka. Tindakan membawa beberapa jurucakap Pemuda berdepan jawatankuasa disiplin sebenarnya menjadikan mereka lebih matang dan mereka akan dapat belajar daripada pengalaman itu.


Cuma, apa yang saya kesalkan apabila tumpuan lebih kepada jurucakap sedangkan penggulungan dibuat daripada kepimpinan tertinggi Umno yang merumuskan semua perkara. Namun, ia tidak ditekankan kerana terlalu mengejar isu sensasi.


Adakah kemungkinan perhimpunan kali ini akan menjadi ruang kepada perwakilan melobi untuk dipilih sebagai calon kerana perhimpunan ini mungkin yang terakhir sebelum pilihan raya akan datang.



Ada dua perkara perlu dipantau secara terperinci. Pertamanya, kelompok yang akan cuba mengambil kesempatan menggunakan ruang yang ada dalam perhimpunan kali ini untuk menonjolkan diri supaya dipertimbangkan sebagai calon dalam pilihan raya.


Kedua ialah mereka yang berkemungkinan cuba mencari kedudukan untuk dipilih pada pemilihan Umno selepas pilihan raya. Tetapi, apa yang perlu difahami semua ialah keputusan tetap di tangan pucuk kepemimpinan. Mustahil, tidak terlintas dalam pemikiran Perdana Menteri calon yang layak diletakkan bertanding. Tetapi, kalau perwakilan tetap mahu mencuba melobi, terpulang tetapi saya percaya Perdana Menteri tahu sama ada ia ikhlas atau tidak. Mereka perlu fikir sedalam-dalamnya kerana jika hanya mahu menonjolkan diri sekarang sedangkan sebelum ini tidak muncul ketika Umno bergelut dengan pelbagai masalah, jangan berharap untuk menjadi calon.


Apa komen Datuk Seri dengan pandangan bahawa Umno tidak harus memperjuangkan nasib orang Melayu saja tetapi perlu mengambil kira semua kaum.



Kita perlu menerima hakikat bahawa parti politik di negara ini berkisar kepada politik kaum. Tidak ada gunanya menyembunyikan perkara ini. Memang dalam perhimpunan seperti ini, Umno akan membincang dan menyatakan kebimbangan Melayu.


Situasi yang sama juga berlaku kepada pemimpin MCA dan MIC. Kenapa perkara itu hanya ditujukan kepada Umno kerana kita mempunyai wadah dalam Barisan Nasional untuk membincangkan kepentingan semua. Itu sebenarnya adalah satu kekuatan dan kelebihan yang membantu memastikan kestabilan negara dipertahankan. Pada masa yang sama, kita dapat menyuarakan kebimbangan dan harapan kaum masing-masing dengan berani dan ia pastinya satu keunikan yang disegani seluruh dunia.


Datuk Seri mengatakan akan meneruskan tradisi menghunus keris tapi kalau isu ini terus dipolemikkan bagaimana.



Sebenarnya saya berterima kasih kerana isu ini dibincangkan. Tidak ada perkara yang lebih menyedihkan kalau perkara seperti ini disembunyi dan tidak dibincangkan. Simbol seperti ini yang sememangnya penting akan tetap berada dalam masyarakat, buat apa kita nak menidakkannya. Bagi saya kalau nak menidakkannya, akan menimbulkan rasa terkilan dan keresahan sebagai seorang anak Melayu. Dengan kita membincangkannya secara waras dan bijaksana akan dapat menerangkan maknanya keris Panca Warisan terhadap Pemuda Melayu dan makna keris kepada orang Melayu... apa maksud kita mengucup dan menjulangnya. Kalau itu dapat kita terangkan kepada orang ramai, lama kelamaan orang akan menerimanya.


Satu ketika dulu kaum bukan Melayu dan bukan Bumiputera pun sensitif hendak memakai baju batik tapi lama kelamaan ia tidak dibincangkan lagi. Bagi keris kita akan terus membincangkannya secara bijaksana, dengan tanggungjawab dan saya akan terangkan sekali lagi dalam perhimpunan dan akan terus mengulanginya supaya akhirnya mereka mereka dapat menerimanya.


Setakat ini bagaimana imej Pemuda di kalangan masyarakat.



Orang ramai saya tak bimbang, tapi generasi muda yang seramai 12 juta di bawah umur 24 tahun mesti dipastikan yang Umno relevan kepada mereka. Bukan perkara mudah tapi saya harap bahawa perhimpunan kali ini kita dapat menggariskan cabaran yang akan kita hadapi selepas ini.


Satu-satunya sasaran kita ialah golongan muda supaya mereka dapat melihat Umno itu sebahagian daripada mereka juga. Perjuangan kita dapat mengisi apa juga kekosongan dalam jiwa mereka. Dengan kepemimpinan bijaksana dan berani, mungkin tak akan wujud lagi keadaan di mana mereka tergamak bakar Jalur Gemilang, membuat lagu rap Negaraku.


Mesti ada kemahuan politik yang tegas dan berani yang bukan saja mengejar populariti seperti pembangkang dan melihat isu yang boleh menimbulkan keresahan kerana dengan menimbulkan keresahan dan ketidakstabilan, mereka akan meraih simpati dan sokongan sementara.


Dulu beberapa pihak menyatakan Pemuda Umno lantang menyuarakan pendapat dalam pelbagai isu tetapi kini ada menyatakan Pemuda Umno bukan lagi kumpulan pendesak yang lantang seperti dulu.



Ini satu kritikan yang cukup berlapik sekarang. Kalau dulu kritikan yang mengatakan Pemuda tidak lantang begitu kuat kedengaran tapi dengan kesabaran dan yakin kepada kebenaran, saya terus memimpin dengan cara saya sendiri. Ini tak bermakna kita lemah, tak bermakna kita takut kepada sesiapa. Tapi dengan cara yang berhemah dan bijaksana tidak bermakna kita tak dapat mengecapi matlamat yang sama.


Kita boleh memilih membuat demonstrasi tetapi apabila duduk semeja untuk agenda yang lebih besar dan bersemuka mungkin syak wasangka dan kebimbangan kepada apa yang mungkin berlaku, takut dengan bayang-bayang, itu tak wujud. Itu sebenarnya lebih sukar daripada hanya kita mengamuk dan merusuh di tepi jalan,


Bagi anak-anak muda itu yang lebih mudah kalau saya memilih untuk membakar semangat seperti yang berlaku di Terengganu baru-baru ini. Tapi apa hasilnya, orang akan melihat negara kita tak stabil kerana segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.


Tadi, Datuk Seri kata tak terfikir untuk pergi bertanding jawatan Naib Presiden, mungkin ketika duduk seorang diri terfikir untuk bertanding jawatan Naib Presiden.



Sememangnya dalam kerjaya seseorang lebih-lebih lagi mereka yang terbabit dalam politik kena sentiasa memikirkan selepas ini di mana kita akan berada. Bagi saya, saya hendakkan perhimpunan kali ini sekurang-kurangnya mengenali saya sebab soalan itu ditujukan kepada saya secara peribadi, jadi saya nak jawab secara peribadi kepada pegangan saya. Kalau populariti tidak menjadi pertimbangan, jawatan bukan menjadi keutamaan, itu dengan sendirinya menjawab soalan tadi.


Apakah itu rasional kenapa Datuk Seri dalam ucapan dasar nanti hendak tekankan pencapaian peribadi.



Bukan pencapaian peribadi tetapi pegangan perjuangan peribadi. Itu berbeza. Bukan saya nak masuk bakul angkat sendiri. Tapi saya harap dan saya sudah buktikan sejak beberapa tahun memimpin Pemuda, pegangan itu mengizinkan saya terus memimpin... tidak perlu mengamalkan politik wang, tidak perlu berteriak, merusuh, memecah belah, memfitnah, memaki hamun, membeli undi dengan wang ringgit tapi akhirnya lama juga jadi Ketua Pemuda.


Andai kata Datuk Seri bertanding Naib Presiden, adakah tokoh Pemuda yang akan mengambil alih tempat Datuk Seri.



Saya percaya ada, dan kita mesti sentiasa memikirkan proses mencari mereka berterusan. Ini saya lihat dan saya belajar daripada sejarah dan pemimpin kita yang selalunya sentiasa mencari anak-anak muda yang akan diberikan peluang.


Tidak ada tempat dalam Umno untuk kita mengatakan kumpulan A dan kumpulan B akan menjadi Ketua Pemuda, ini tak boleh. Siapa yang tahu Umno dan mengenali cara Umno... tak ada siapa boleh mendabik dada boleh tentukan dia mendapat jawatan itu dan ini, tak boleh.


Sejauh mana wujud kelompok dalam Pemuda.



Itu perkara yang saya cukup pantang, saya tak kompromi dan saya tak akan benarkan. Cara saya memimpin hanya dengan satu pasukan yang mantap yang akan mewujudkan satu pergerakan yang kuat yang dapat ketengahkan semua mereka. Kalau kita berkelompok akan memecah-belahkan pergerakan dan akhirnya tak akan dihormati. Jika kita tak bersatu dan tak buktikan keutamaan kita, akhirnya orang tengok kita lekeh saja.


Setakat ini bagaimana sokongan kepada Datuk Seri.



Saya tengok Alhamdulillah. Kalau tak ada sokongan tak mungkin Pemuda berada dalam keadaan sekarang. Kalau Pemuda tidak menghormati dan tidak menyokong saya, tak mungkin saya dapat mengerah mereka dalam pilihan raya umum.


Pada masa sama tak mungkin saya dapat pastikan mereka berdisiplin. Sokongan itu penting kerana ia diterjemahkan kepada perjuangan pergerakan. Sekiranya sokongan kepada individu menjadi keutamaan dan jika akhirnya ditentukan individu itu tidak ada tempat dalam parti, maka betapa banyak sokongan kepadanya pun tidak berguna.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768