Perjuangan kesaksamaan hak tiada akhir

PERJUANGAN Pergerakan Wanita Umno dulu, kini dan akan datang. Itulah antara topik yang akan mewarnai usul Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2007 minggu depan yang akan mengupas perjuangan kaum hawa sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan hingga hari ini, sekali gus membuktikan bahawa pergerakan itu semakin meniti kematangan yang wajar mendapat pengiktirafan semua. Ikuti temu bual Penulis Khas Berita Harian, NORFATIMAH AHMAD bersama Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menjelaskan peranan pergerakan itu untuk membela nasib bukan saja ahli Wanita Umno, malah wanita Malaysia keseluruhannya.


Jika dulu, setiap kali Perhimpunan Agung Umno berlangsung, akan ada cakap-cakap mengenai kehadiran ahli pergerakan Wanita Umno yang hanya untuk bergaya, tetapi kini suara Wanita Umno semakin lantang dan mula didengari, boleh Datuk Seri jelaskan perubahan ini.


Keistimewaan wanita Umno ialah kestabilannya. Kita lantang mengetengahkan pelbagai isu, walaupun ada yang kata kita tidak menyerlah dan tidak ada polemik. Sebaliknya pada saya inilah yang menjadi kekuatan wanita, biar apa orang kata pun asalkan kita memberi kekuatan dan kestabilan pada parti. Itu yang mustahak dan pastinya menyuarakan isu adalah perjuangan kita terutama isu wanita yang menjadi tumpuan utama.


Usul wanita kali ini mengenai perjuangan dulu, sekarang dan akan datang, sesuatu yang berbeza berbanding perhimpunan terdahulu.


Selama 50 tahun lamanya kita merdeka, jadi kita nak menyingkap kembali perjuangan sejak merdeka dan persiapan menghadapi milenium baru dan apa cabaran yang dihadapi wanita kerana cabarannya lain berbanding dulu. Masa mencapai kemerdekaan, wanita duduk di rumah, tidak bekerja, tidak mempunyai dompet sendiri, tidak bekerjaya, tetapi kini sudah berubah. Oleh itu tuntutan terhadap wanita masa kini juga berubah, malah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa memantau dan memperjuangkan hak dan isu wanita. Satu daripada isu adalah untuk memberi keselesaan kepada wanita, sama ada nak duduk di rumah dengan selesa atau selesa bekerja dengan persekitaran tempat kerja yang selesa termasuk cuti bersalin serta tempat menyusu supaya tempat kerja lebih mesra keluarga. Isu begini sentiasa diperjuangkan dan kementerian selalu mendampingi akar umbi.


Pada perhimpunan kali ini, apakah fokus utama Wanita Umno.



Tentu pilihan raya umum akan menjadi tumpuan utama, terutama persiapan peringkat negeri dan bagaimana untuk memperbaiki pencapaian dan isu pada peringkat akar umbi.


Apa pula harapan Datuk Seri pada pilihan raya umum akan datang, dari segi keyakinan supaya ramai lagi wanita diberi peluang bertanding sebagai calon.



Kita akan perjuangkan habis-habisan untuk pastikan seramai mungkin wanita diberi tempat pada pilihan raya akan datang menerusi polisi sekurang-kurangnya 30 peratus wanita, sebab jika kita lihat peratusan dalam bidang profesional kita memang membanggakan, tetapi dalam bidang politik kita ketinggalan. Malah peratusan kita kurang 10 peratus berbanding angka pada peringkat antarabangsa yang mencapai 17 peratus. Saya tidak akan putus asa. Yang pasti, calon wanita sama ada daripda Wanita Umno atau Puteri Umno... memang ada yang berkelayakan.


Mengenai pilihan raya dan gerakan dari rumah ke rumah yang dijalankan Wanita Umno selama ini, apakah mungkin akan ada pendekatan baru.



Dengan teknologi sekarang, Wanita akan gunakan sebaik mungkin untuk memudahkan jentera kempen pilihan raya parti, tetapi yang pasti kita tidak akan tinggalkan cara lama kerana ia mempunyai 'sentuhan peribadi' untuk semua yang ditemui kerana cara kami berkunjung ke rumah rakyat dengan memberi salam, ketuk pintu dan bersembang dengan pengundi menjadikan Wanita Umno lebih dekat dengan pengundi.


Banyak yang diperjuangkan dan diberikan kepada wanita, apakah kaum hawa itu sendiri sudah bersedia menerima pelbagai mandat dan perubahan ini.



Sebenarnya wanita kita sudah bersedia menerima cabaran, sama ada pada peringkat Wanita Umno, Puteri Umno, wanita yang bukan dalam politik pun, pada saya wanita kita memang hebat... semuanya memang sedia menerima cabaran.


Sebelum ini, ada kepemimpinan peringkat bahagian yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menerajui pergerakan Wanita Umno.



Perkara seperti ini bukan sesuatu yang mengejutkan sebab mungkin kerana ada di kalangan ahli mahu perubahan, mahu orang yang mereka rasakan selesa menerajui mereka. Apa pun negara kita mengamalkan demokrasi dan pada saya sesiapa saja boleh beri idea dan pendapat. Bagaimanapun, daripada apa yang saya lihat dan baca ini, isu ini sekadar satu pendapat saja. Lagipun kita belum ada pemilihan lagi, tumpuan yang diberikan 110 peratus untuk pilihan raya. Ketika ini tidak terfikir pun mengenai perkara itu. Walaupun isu ini hangat diperkatakan, ramai bertanya kepada saya, bagi saya ia hanya perkara biasa.


Apakah tindakan dan pendekatan keterbukaan itu mempengaruhi keharmonian dalam pergerakan wanita.



Saya tak nampak ia menjejaskan pergerakan, malah antara Datuk Seri Rafidah Aziz, saya dan Azalina, tidak nampak ada apa-apa berlaku sejak isu ini hangat diperkatakan... semuanya seperti biasa saja.


Bagaimana pula kesannya pada peringkat akar umbi.



Isu ini walaupun secara terbuka dikatakan, tetapi ia sebenarnya bersifat tidak rasmi, jadi tidak ada apa yang boleh menjejaskan kestabilan pergerakan wanita.


Apakah mungkin isu yang diketengahkan oleh hanya satu suara sekarang akan bertambah pada masa depan.



Ya, mungkin.. mungkin kerana dalam politik ini berdasarkan pengalaman saya sendiri, orang politik jangan sekali-kali anggap diri berada dalam keadaan yang terlalu selesa. Setiap hari ada banyak isu, cuma jika isu itu dibangkitkan, ia akan senyap begitu saja. Pada ahli politik, ia bukan sesuatu yang menakjubkan kerana spekulasi seperti ini selalu berlaku, begitu juga hal berkaitan cabar mencabar, itu juga perkara biasa.


Selepas melalui pelbagai cabaran dan memenuhi tuntutan perjuangan parti, apakah kepemimpinan parti dan negara benar-benar menghargai pengorbanan Wanita Umno.



Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Kabinet amat sensitif, peka kepada isu wanita. Semua yang kementerian minta kita dapat, kecuali untuk isu cuti bersalin saja sebab Kabinet bimbang ia menjejaskan produktiviti dan minta kita kaji lagi.


Setakat ini semua permohonan kementerian seperti untuk pinda perlembagaan dan lain-lain dapat perhatian, hinggakan balu yang berkahwin pun dapat pencen dan menerusi Felda pula, wanita berpeluang memiliki tanah dan macam-macam lagi... setakat ini tak pernah kerajaan tolak.


Pada saya, Perdana Menteri dan Kabinet ambil berat mengenai isu wanita, mereka tidak mengetepikan atau dianaktirikan.


Dengan tolak ansur terhadap wanita, patutkah kita minta lebih lagi untuk memastikan perjuangan ke arah kesaksamaan gender tercapai.



Kita mesti terus perjuangkan misalnya isu 30 peratus wanita berada pada kedudukan penting sebagai pembuat dasar dan keputusan. Pada mulanya ramai persoalkan kenapa saya perjuangkan 30 peratus, tetapi perlu ada tahap permulaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berkelayakan berpengalaman dan berilmu diberi tempat. Ketika ini sudah semakin nampak kesannya apabila seorang demi seorang wanita diberi peluang menduduki kerusi paling tinggi dalam mana-mana jabatan atau organisasi yang sebenarnya tidak pernah kementerian mimpi ia boleh berlaku.


Kenapa wanita Melayu perlu pilih pergerakan Wanita Umno untuk perjuangkan nasib dan masa depan mereka.



Sekian lama kita jadi suara utama untuk memperjuangkan isu wanita dan perjuangan kita bukan untuk wanita Melayu saja, malah wanita berbilang bangsa dan kita berpengaruh. Oleh itu apa yang kita minta diberi perhatian, bukan saja oleh kepemimpinan parti dan kerajaan, malah parti komponen juga menghormati kita kerana rekod kita yang Alhamdulillah baik.



Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768