Generasi muda perlu dipersiap terajui Umno

SETIAUSAHA politik kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Seri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Norza Zakaria, 40, kini semakin dicemburui dan sesetengahnya berusaha untuk menjatuhkan anak muda yang mula menonjol ini, konon dia naik terlalu cepat dan sedang mengintai satu daripada kerusi Parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.


Namun, Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju itu yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik menganggap perkara sedemikian sebagai asam garam dunia politik tetapi hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah generasi muda perlu diberi peluang memikul tanggungjawab, dididik dan dipersiapkan.


Beliau memberi contoh, Bobby Jindal, 36, yang akan menjadi gabenor Louisiana apabila memulakan tugas rasmi Januari depan, menjadikannya gabenor di Amerika Syarikat yang termuda dalam sejarah negara itu.


"Pemimpin di Singapura kebanyakannya juga berusia bawah 40 tahun. Kita tidak boleh kata orang muda tidak bersedia, tetapi berilah peluang. Bagi kita, umur 40 tahun dah tua... dah jadi pak cik dan saya tidak percaya mereka yang berusia bawah 40 tahun tidak bersedia, sedangkan anda sudah menyediakan mereka dengan pendidikan di universiti selain keperluan yang lain.


"Mereka tahu apa itu kepemimpinan yang baik dan sistem penyampaian lebih baik daripada orang lain. Itulah ironinya untuk memahami cabaran masa depan. Pemimpin muda hari ini adalah pewaris Umno," katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini.


Mungkin bagi Norza, masa memang begitu cepat berlalu dan inilah juga hakikat bahawa lebih separuh ahli pergerakan Pemuda yang memegang pelbagai jawatan pada peringkat negeri dan bahagian kini sudah tidak layak lagi untuk kekal dalam pergerakan itu apabila had umur melebihi 40 tahun.


Nescaya, bagi golongan terbabit, perhimpunan agung Umno bagi sayap itu Selasa ini, adalah kali terakhir bagi mereka selaku ahli Pemuda. Selepas itu, mereka terpaksa mengundur diri dan kemungkinan besar meneruskan perjuangan ke alam dewasa iaitu badan induk Umno pada peringkat bahagian, negeri atau pusat.


Bagaimanakah hala tuju golongan terbabit selepas ini dan bagaimana pula proses mendidik dalam pergerakan itu sendiri?. Seperti kata Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pemimpin Pemuda pada peringkat cawangan, bahagian dan negeri perlu mempastikan peralihan kuasa itu berjalan lancar untuk kesinambungan perjuangan selain mereka sentiasa melakukan proses 'grooming' pemimpin pelapis.


Bagi Norza, Pemuda Umno kini sudah berkembang mantap dan diterima pada peringkat bawahan termasuk di kampus universiti.


"Daripada jadi exco Pemuda sejak 2000 hingga sekarang, saya boleh lihat Pemuda berkembang, bermula secara perlahan ketika reformasi (sewaktu krisis Anwar Ibrahim).


"Dulu orang malu nak pakai baju Pemuda dan ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Pemuda dihentam teruk, malah apabila memasuki kampus untuk menemui mahasiswa di universiti pun kena ejek. Itu berlaku ketika krisis keyakinan orang Melayu terhadap Umno.


"Sekarang apabila melihat senario 2002 hingga 2007, Pemuda sudah mengalami perubahan besar sehingga berjaya menguruskan krisis serta mengembalikan keyakinan," katanya.


Bagi beliau, peranan pergerakan itu perlu lebih mantap kerana majoriti penduduk negara ini terdiri daripada generasi muda dengan purata umur 23 tahun dan menyatakan bahawa tujuh daripada 10 penduduk negara ini adalah mereka yang berusia bawah 40 tahun.


Oleh itu kata Norza, sudah tiba masanya golongan muda ini diketengahkan kerana cita rasa generasi yang lahir selepas merdeka adalah berbeza.


"Yang pertama, cabaran hubungan antara kaum berada dalam keadaan yang begitu mencabar. Kita lihat generasi muda yang rata-rata adalah generasi selepas merdeka yang ingin melihat mereka diberi peluang dalam keadaan dunia yang begitu kompetitif ini.


"Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) selaku Ketua Pemuda bercakap mengenai perjuangan hingga peringkat di mana kita sudah bersedia untuk menjadi pelapis kepemimpinan negara. Apabila kita bercakap mengenai pelapis kepada kepemimpinan negara, ia juga serentak dengan peranan Pemuda melalui pembabitan simbolik Pemuda pada sambutan 50 tahun kemerdekaan baru-baru ini.


"Bagaimana Pemuda melihat sumbangan mereka 50 tahun akan datang. Ia adalah antara yang akan dibangkitkan pada perhimpunan kali ini bahawa Pemuda sudah menunjukkan kejayaan mereka melepasi rintangan dan sesungguhnya rintangan itu sudah berjaya dilepasi.


"Mandat atau kepercayaan yang diberi dengan menonjolkan lebih 50 calon Pemuda pada Pilihan Raya Umum 2004, sesungguhnya ia menampakkan Pemuda sudah bersedia untuk memimpin parti," katanya.


Norza berkata, soal kedua ialah pemimpin Umno perlu melihat masalah dalaman Melayu, ada jurang antara Melayu yang berjaya dengan yang tidak berjaya, antara Melayu di luar bandar dengan Melayu di bandar.


Contohnya, bagaimana memberi peluang golongan kelas menengah dan generasi muda ini untuk membantu pembangunan dalam arus perdana.


"Sebab itu saya selalu katakan proses peremajaan amat kritikal pada masa ini. Dulu ketika mula merdeka, kita melihat jurang antara orang Melayu sendiri... jarak antara Melayu keluarga ternama dengan Melayu bawahan terlalu jauh.


"Tetapi selepas kita berjaya memerdekakan negara selama 50 tahun, kita sudah cipta profesional di kalangan kelas pertengahan yang bersedia untuk memberi mereka peranan bagi kepentingan negara.


"Begitu pun, jika proses peremajaan ini tidak berlaku dalam parti atau dalam negara, jurang ini akan terus lebar dan akhirnya jika Umno gagal melahirkan ikon muda yang boleh memenuhi aspirasi mereka, mereka akan berubah alih.


"Sebab itu kita tidak boleh membiarkan pembangkang menangguk di air keruh dengan menjanjikan orang yang antikerajaan menjadi ikon.


"Kita bercakap mengenai pemimpin muda dalam Pas, pemimpin muda dalam Keadilan, misalnya," katanya.


Beliau berkata, 'survival' Umno bergantung kepada secepat mana ia bersedia untuk berubah dan tidak boleh lagi berasas kepada bayangan nostalgia lampau supaya Umno terus menjadi wadah yang segar untuk orang Melayu walaupun dalam tempoh 50 tahun akan datang.


Norza menyamainya seperti 'branding', misalnya komputer atau telefon bimbit yang digunakan sekarang, tetapi mungkin berubah pada masa akan datang kepada yang lebih canggih, dan begitu juga Umno yang perlu disesuaikan dengan keadaan semasa supaya terus relevan.


"Jika kita masih lagi berlandaskan nostalgia, contoh filem kita.... kita selalu kata industri kita hebat sebab ada P Ramlee. P Ramlee dah lama mati."


Jadi bagaimana kita nak pastikan sumber manusia dalam Umno, dalam pemuda dipersiap dan diberi pendedahan sempurna supaya bila diberi peluang untuk menjadi pemimpin, mereka bersedia melakukannya.


"Saya percaya bahawa sekiranya Umno, termasuk Pemuda berasakan mereka perlu berubah, inilah masanya berubah. Saya rasa rakyat tak akan tunggu kita untuk berubah, kita harus berubah.


"Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, saya mengutarakan persoalan bahawa satu daripada 70 blog di internet, adalah menentang kerajaan. Apa masalahnya?


"Mungkin kita terlalu fokus pada cara tradisional politik, kita lupa sekarang ada media baru yang datang. Sebab itu perkara baru ini kita mesti 'responsive'.


"Ia adalah satu perkara yang pahit untuk kita terima, tetapi sesungguhnya untuk survival parti yang sudah berumur 61 tahun dan untuk kita terus kekal selama-lamanya, pembangunan modal insan penting," katanya.


Penulis ialah Pengarang Rencana dan Laporan Khas, Berita Harian

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768