Merealisasi gelombang baru Melayu
Perhimpunan medan percambahan fikiran ke arah melahirkan bangsa kelas pertama
GELOMBANG baru memajukan negara dan matlamat menjadikan bangsa Melayu memiliki personaliti cemerlang menjadi wadah perjuangan Umno sejak ditubuhkan, perlu dihayati perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu depan.
Selain itu, kemenangan Umno serta parti komponen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang juga perlu diberi perhatian supaya segala perancangan serta persiapan mewujudkan gelombang baru dan menghadapi fasa baru lonjakan kedua selepas 50 tahun kemerdekaan dapat direalisasikan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mengingatkan 2,522 perwakilan yang akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) bermula Isnin ini, supaya memberi fokus dan tumpuan terhadap cita-cita kerajaan membawa kemakmuran serta kesejahteraan rakyat secara berterusan menerusi Wawasan 2020 dan Misi 2057.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih kuasa pemerintahan, katanya, melancarkan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang selain membuka dimensi baru memperkasakan bangsa Melayu.
Seterusnya, Perdana Menteri menekankan pembangunan modal insan, memberi nilai tambah kepada setiap sektor yang menjana pertumbuhan ekonomi, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan swasta sebagai persiapan awal mewujudkan gelombang kemajuan dan lonjakan kedua mulai 2007 hingga 2057.
Oleh itu, kata Muhammad yang juga Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya, Perhimpunan Agung Umno kali ini hendaklah menjadi medan percambahan pemikiran bangsa Melayu bagi mewujudkan gelombang baru yang dapat mencipta bangsa Melayu yang lebih maju dan setaraf negara lain.
"Presiden Umno sudah mencetuskan gelombang kemajuan untuk menuju 50 tahun akan datang dan ini perlu difahami setiap ahli dengan memecahkan tembok penghalang pembentukan pemikiran dan minda bangsa Melayu dan beriltizam bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai.
"Umno kena jadi pendorong utama untuk mengekalkan aliran gelombang kemajuan dan perwakilan pula hendaklah memastikan perhimpunan kali ini yang juga pertama selepas 50 tahun merdeka, berada pada landasan tepat untuk mencapai semua misi yang dirancang.
"Ahli Umno kena tumpukan sepenuhnya pengisian yang direncanakan Perdana Menteri untuk mengekalkan momentum gelombang kemajuan, sekali gus memastikan Umno terus relevan sebagai parti utama kerajaan BN dan menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Shah Alam, semalam.
Muhammad menjelaskan, untuk mencapai kejayaan, setiap bangsa perlu mewujudkan gelombang kemajuan dan pembangunan seperti dilakukan tokoh pejuang negara dan bangsa, Datuk Onn Jaafar yang berjaya mewujudkan gelombang yang menyaksikan penyatuan bangsa Melayu sehingga tertubuhnya Umno.
Seterusnya, gelombang memerdekakan negara yang dikemudi Tunku Abdul Rahman dan disokong sepenuhnya semua lapisan masyarakat yang bersatu hati, mahu bebas daripada cengkaman penjajah dan akhirnya dapat mencipta kejayaan sehingga negara memperoleh kemerdekaan.
"Sehinggalah sekarang ini apabila Perdana Menteri mewujudkan gelombang baru bermula dengan cetusan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang, memperkasakan bangsa Melayu dan memiliki personaliti memuncak tinggi, maka pembangunan modal insan serta pentingnya aspek nilai tambah amat perlu sekali.
"Oleh itu, Umno kena menjadi wadah terpenting untuk meneruskan lonjakan kedua dan gelombang kemajuan kepada bangsa Melayu. Kita mahu perhimpunan Umno yang menjadi tumpuan politik Melayu juga sebagai pencetus arah aliran baru," katanya.
Selain itu, katanya, perwakilan yang menghadiri perhimpunan kali ini mempunyai tanggungjawab menzahirkan setiap idea dan cadangan baru yang dibahaskan supaya permulaan lonjakan kedua yang lebih terarah untuk membangunkan negara 50 tahun akan datang, kepada pemimpin akar umbi.
Beliau berkata, usaha merealisasikan gelombang kemajuan terbaru untuk fasa seterusnya memerlukan komitmen mereka yang juga menjadi pemimpin Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Perkumpulan Wanita, persatuan belia dan jawatankuasa masjid dan surau.
Oleh itu, katanya, mereka yang berada di setiap lapisan kepemimpinan wajar memulakan usaha menggerak dan menentukan setiap gagasan perancangan ke arah melahirkan bangsa Melayu dengan minda kelas pertama.
"Setiap tahun pemimpin Melayu berkumpul dan menyuarakan apakah langkah berikutnya dan setiap tahun juga kita kena melangkah lebih tinggi. Kita kena buka minda pemimpin pada peringkat akar umbi bahawa Presiden Umno sudah memulakan paluan gendang dan ahli Umno kena menyahut dan menyesuaikan mengikut acuan sendiri.
"Menjadi tanggungjawab Umno menyedarkan masyarakat Melayu di bandar dan luar bandar mengenai gerakan gelombang baru kemajuan dan pembangunan untuk melahirkan tamadun bangsa Melayu super," katanya.
Selain itu, Muhammad turut mengingatkan pembahas terutama daripada Pemuda dan Puteri Umno pada perhimpunan kali ini supaya memberi fokus sepenuhnya terhadap slogan yang dilaungkan pucuk pimpinan negara.
Malah, katanya, mereka yang bakal mewarisi teraju pemerintahan dan mengemudi gelombang kemajuan hendaklah menonjolkan idea bernas serta menyenaraikan pelan perancangan yang diperlukan untuk melonjakkan identiti bangsa Melayu super pada masa akan datang.
"Pembahas bagi saya adalah pencetus gelombang... jangan buang masa kerana orang Melayu berhimpun untuk memikirkan mengenai bangsa seagama. Jangan jadikan perhimpunan sebagai tempat mengutuk kaum lain atau melepaskan geram demi kepentingan peribadi.
"Mereka kena gunakan perhimpunan sebagai landasan mewujudkan gelombang baru untuk kemajuan dan melahirkan bangsa yang bermartabat tinggi dan menjadi tugas pemimpin dan ahli Umno memastikan setiap perancangan dibuat kerajaan berada di landasan tepat," katanya.
Selain itu, beliau juga meminta pembahas mengutamakan tema perbahasan dan perjuangan asal parti iaitu pembangunan agenda Melayu, walaupun pada masa sama turut menyuarakan masalah dan kekurangan di kawasan masing-masing.
Perwakilan yang diberi peluang untuk berbahas tidak seharusnya tertumpu kepada perkara remeh, sebaliknya bijak menyeru, mengajak dan mengemukakan cadangan, perancangan dan langkah penyelesaian yang berteraskan tema besar perjuangan bangsa, agama dan negara.
"Pembahas hendaklah mengeluarkan perbahasan bermutu daripada kotak pemikiran mereka dan mencakupi hingga ke pangkal perjuangan bagaimana mahu memperkasa dan meninggikan martabat personaliti bangsa Melayu. Jadi, setiap perwakilan yang menghadiri perhimpunan kali ini dapat menghayati keseluruhan perjuangan bangsa, manakala pembahas faham apa yang hendak disentuh.
"Ini diibaratkan seperti kita pergi memancing dan kita puas bila umpan kita mengena ikan besar tetapi bagaimana jika selepas berhari-hari memancing tetapi umpan tidak mengena maka pastinya kita pulang dengan kecewa," kata Muhammad lagi.
Selain itu, beliau berkata, perwakilan dan ahli Umno juga menunggu ucapan penggulungan presiden kerana akan menjadi 'trendsetter' serta menunjukkan hala yang hendak dituju seterusnya terpahat di sanubari perwakilan dan rakyat keseluruhannya.
Beliau yakin, ucapan penggulungan presiden adalah langkah ke hadapan yang perlu diberi perhatian bukan saja pemimpin Umno, malah semua pihak termasuk sektor swasta.
"Usaha membawa gelombang baru kemajuan negara dilakukan secara bersama-sama semua pihak tetapi Umno adalah menjadi pendorong utama dan tugas itu hendaklah diagihkan kepada pemimpin dan ahlinya," katanya.
|