Perjuangan Melayu sentiasa relevan

Perwakilan dijangka fokus isu modal insan sebagai persiapan cabaran 50 tahun akan datang


SELASA ini, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno mengadakan perhimpunan masing-masing selepas upacara perasmian serentak pada malam sebelum itu. Pelbagai isu semasa dijangka menghangatkan perbahasan. Ikuti temu bual khas wartawan Berita Harian, KADIR DIKOH dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mengulas lanjut mengenai pelbagai perkara menjelang persidangan tahunan itu.


APA jangkaan fokus isu untuk Perhimpunan Agung Umno kali ini.


Perhimpunan kali ini agak unik sebab bukan tahun pilihan raya dan bukan pemilihan dalam parti. Tetapi andaian umum dalam Umno dan juga di luar Umno ialah tahun depan adalah tahun pilihan raya umum dan pemilihan Umno. Ramai daripada perwakilan Umno akan melihat kepada andaian itu sebagai satu faktor penting dalam perhimpunan ini dan saya rasa perbahasan pun mungkin akan menjurus kepada andaian itu.


Mungkin salah satu perkara yang menjadi pengisian penting selama dua perhimpunan lalu adalah untuk agenda Melayu, dan bagaimana isu agenda Melayu ini dihidupkan semula dalam dasar kerajaan dan sebagainya. Kita melihat bahawa dasar atau agenda Melayu ini ditafsirkan dengan berjaya oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pembangunan koridor ekonomi di Utara, Selatan dan Timur. Tetapi pada masa sama, kita harus tumpu juga kepada pelaksanaan agenda Melayu itu. Jadi kalau saya nak buat kesimpulan bahawa dari segi perancangan itu, memang sudah diterjemahkan agenda Melayu yang dibangkitkan di dalam perhimpunan yang lalu. Tetapi pelaksanaannya, itu memerlukan tumpuan sedikit sebanyak dan mungkin akan ada tumpuan dari segi perbahasan mengenai pelaksanaan agenda Melayu itu.


Pada masa sama, kita harus ingat bahawa cara penyampaian perbahasan dan ucapan yang dibuat di Perhimpunan Agung Umno diberi tumpuan luar biasa dalam dua tahun lalu khususnya tahun lalu. Ada sesetengah pihak menyatakan bahawa perbahasan itu menyakitkan hati mereka dan sebagainya. Mungkin ada satu dua ucapan yang keterlaluan tetapi keseluruhan, perwakilan dalam mana-mana perhimpunan Umno pun dari dulu hingga sekarang, akan ada beberapa ucapan yang boleh dikatakan tebal dengan semangat kemelayuannya dan mungkin terguris hati pihak lain.


Tetapi ini tidak menggambarkan pendirian parti secara keseluruhan. Pendirian parti, boleh kita rumuskan melalui ucapan Presiden, ucapan penggulungan Presiden dan juga pemimpin Majlis Tertinggi (MT) parti, dan juga majoriti daripada perbahasan. Majoriti daripada perbahasan dan ucapan, saya rasa adalah masih lagi pada tahap sederhana apabila kita bercakap mengenai hubungan dengan kaum yang lain.


Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, sebilangan pembahas mencetuskan kontroversi hingga menjadi hangat di luar dewan terutama reaksi daripada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).


Saya rasa tahun ini, pembahas akan lebih berwaspada. Tahun lalu kita membuat keputusan tidak tepat dengan menyiarkan secara langsung perbahasan dan mungkin Malaysia tidak bersedia untuk retorik yang datang daripada mana-mana parti. Sebab mungkin rakyat Malaysia tidak biasa, tak selalu ikut setiap ucapan dan bila dia berpeluang untuk mendengar setiap ucapan, dia rasa macam ada satu kejutan budaya bahawasanya setiap pembahas itu membawa pendirian Umno, tetapi sebenarnya setiap pembahas itu membawa pendirian dia sendiri. Yang menjadi pendirian Umno itu adalah pendirian ucapan Presiden, Timbalan Presiden dan pemimpin parti yang lain.


Jadi, apa yang menjadi tumpuan kali ini.


Tahun ini saya rasa mungkin kita akan tumpu kepada aspek perjuangan. Perjuangan ini menjadi satu perkara yang lazim dibangkitkan dalam perhimpunan Umno. Perjuangan ini adalah untuk mengingatkan kepada ahli parti dan juga kepada rakyat Malaysia khususnya yang berbangsa Melayu bahawa perjuangan Umno ini relevan, sentiasa relevan.


Jadi, apabila kita mula dengan konsep perjuangan ini, maka kita akan dapat melihat bahawa Umno transformasikan partinya dan juga dasarnya untuk memastikan bahawa parti ini terus menjadi relevan bagi bangsa Melayu dan juga rakyat Malaysia. Walaupun perjuangan asas kita tidak berubah iaitu untuk agama, bangsa dan negara, tetapi cara bagaimana kita melaksanakan perjuangan itu sudah berubah.


Bagaimana dengan isu terkini yang berlaku dalam negara, apakah akan menjadi isu hangat dibincangkan.


Kita akan bercakap mengenai beberapa isu terkini khususnya isu pendidikan yang dirangkumi dalam satu topik dinamakan modal insan dan mungkin ini menjadi satu tekanan ucapan Ketua Pemuda, ucapan Presiden, ucapan Timbalan Presiden. Saya rasa pembahas akan melihat kepada apa hasil modal insan untuk menyahut cabaran 50 tahun akan datang. Ini kerana Perdana Menteri selalu sebut mengenai 2057 sebagai sasaran kita yang baru, dan bukan hanya 2020 yang akan sampai 13 tahun lagi.


Jadi kita ada satu lagi sasaran untuk 2057 dan kita kena bincang dalam Umno apakah produk modal insan yang kita nak lahirkan melalui program dan dasar kerajaan, serta melalui perjuangan Umno itu sendiri, melalui program latihan dalam parti itu sendiri. Apakah jenis dan bentuk pemimpin serta ahli Umno yang kita nak lahirkan, yang boleh menjadi modal insan berjaya atau cemerlang dalam tempoh masa 50 tahun akan datang. Kita kena keluar daripada pemikiran bahawa bangsa kita tidak boleh bersaing dengan bangsa lain, bangsa kita adalah bangsa subsidi dan sebagainya. Kita tak nak mendengar lagi, mengkritik bangsa kita sendiri, kerana kita lebih suka kepada satu perspektif yang positif untuk bangsa kita, satu pandangan membina, bernas, yang boleh meyakinkan bangsa kita sendiri bahawa kita boleh melahirkan modal insan seperti ini.


Ada dua pendekatan dalam perhimpunan agung ini sama ada kita mengkritik bangsa sendiri dengan menyatakan bahawa Melayu ini sudah jauh ketinggalan, Melayu ini malas, Melayu tak boleh diubah dan sebagainya. Ataupun kita boleh kata, kita boleh menafikan kelemahan... ya memang ada banyak kelemahan bangsa kita, tetapi Melayu ini bukan bangsa yang lemah, Melayu ini bukan bangsa yang malas tetapi ada banyak ciri-ciri dalam bangsa kita sendiri, yang mirip kepada ketekunan, kerajinan, inovasi, betapa kreatif bangsa kita, betapa sopan bangsa kita dan sebagainya. Kalau kita tekankan aspek itu, dengan mesej yang lebih positif, dengan perancangan kerajaan yang lebih tersusun untuk bangsa kita, saya percaya kita akan melihat sebagai perubahan sikap yang mungkin selama 20 tahun ini kita gagal lakukan.


Apakah ini boleh meyakinkan golongan muda untuk lebih tertarik kepada Umno.


Saya yakin dengan mesej ini yang datang daripada Umno, generasi muda akan berasa lebih yakin terhadap masa depan, dan tempat mereka di negara mereka sendiri. Sebab saya rasa bagi generasi muda, mungkin kita melihat Umno sebagai parti besar, parti Melayu tetapi saya nak kikis atau cuba kikis sedikit sebanyak kerisauan, kebimbangan yang dirasai generasi muda mengenai sama ada masa depan mereka cerah.


Kita mesti meyakinkan generasi muda ini melalui perbahasan kita bahawa Umno ini bukan saja wadah untuk orang Melayu tetapi juga harapan untuk orang muda bahawa kita memahami kebimbangan mereka, kehendak mereka dan kita boleh menjadi satu parti yang boleh membentuk masa depan mereka.


Saya rasa dalam Perhimpunan Pemuda, kita mesti meyakinkan bangsa kita dan kembalikan keyakinan kepada bangsa kita dan memperkukuhkan keyakinan kepada bangsa kita. Saya harap perbahasan akan banyak menyentuh mengenai aspek ini.


Bagaimana dengan perkara seperti pembangunan koridor wilayah.


Ini mungkin disentuh seperti rancangan Perdana Menteri untuk membangunkan koridor wilayah Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak. Mungkin akan ada pembahas yang ingin tahu lebih mendalam lagi apakah agenda Melayu di sebaliknya, mungkin akan beri pandangan. Saya harap ahli Umno memberi pandangan mengenai perancangan itu, kerana perancangan ini semua, di atas kertas memang cantik, menyeluruh tetapi kita nak dengar daripada ahli politik akar umbi macam mana kita boleh salurkan faedah pembangunan ini kepada penduduk di luar bandar.


Saya rasa kehadiran cawangan Umno di seluruh pelosok negara, inilah parti yang paling sesuai untuk memberi pandangan kepada kerajaan bagaimana pelan itu boleh kita sampaikan ke akar umbi. Mungkin ada sedikit sebanyak perbahasan dan juga ucapan mengenai isu lain seperti isu keselamatan, jenayah dan sebagainya, yang barangkali ini akan menjadi isu dalam pilihan raya dan Umno perlu memberi pandangan terhadap isu berkenaan.


Isu kebebasan politik yang kita lihat pada hari ini, bagaimana kita nak tangani isu kebebasan politik, isu saluran maklumat yang lebih bebas yang kita lihat dalam internet. Umno mesti ada jawapan itu sendiri, kerana kita tidak boleh ketinggalan. Umno ini dikenali sebagai parti yang selalu buat transformasi tetapi jangan kita pula ketinggalan dalam aspek teknologi maklumat melalui internet. Kelemahan Umno hari ini ialah kehadiran kita dalam alam siber dari segi bloggers kita, web-site kita, saya rasa kita masih tidak dapat tembusi alam siber dengan baik. Mungkin ia tidak penting untuk pilihan raya yang akan datang, tetapi dalam 10, 20 tahun ini akan menjadi lebih penting. Kalau kita tidak pantas adaptasikan politik kita kepada politik yang baru ini, maka mungkin kita akan melihat kesannya pada masa akan datang.


Mungkin isu lain seperti isu reformasi dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu orang Melayu, usahawan Melayu. Isu pertanian akan menjadi isu besar, kerana baru saja habis konvensyen pertanian dan kita akan bincang.


Bagaimana pandangan saudara mengenai generasi muda yang berpura-pura meniru gaya golongan tua, tetapi dikatakan tidak begitu menyuarakan kehendak orang muda, cuba menggambarkan diri seperti golongan tua dan pada masa sama mahu terus sokongan golongan muda.


Saya tidak melihat ini berlaku. Saya berpendapat, Pemuda mempunyai tradisi tersendiri dan akan terus mempunyai identiti tersendiri. Saya tidak rasa bahawa pemimpin Pemuda, jurucakap atau pembahas Pemuda ini, ingin menjadi lebih dewasa daripada Pemuda.


Saya rasa selalu kita bangkitkan isu yang mungkin menjadi keutamaan bagi generasi muda dan kalau kita bincang isu luar daripada lingkungan Pemuda pun, kita bawa perspektif yang lebih agresif, lebih ultra mungkin dan ini adalah satu pendirian yang dikongsi oleh ramai generasi muda. Semangat nasionalisme di kalangan generasi muda itu masih lagi tebal, masih lagi tinggi. Kita mewakili pandangan pelbagai peringkat – golongan profesional bandar, peringkat bawahan dan inilah indahnya Umno, kita harus menerima hakikat semua itu. Kita menerima pandangan ahli bawahan dan kita dapat lihat campuran idea ini muncul.


Sejauh mana persiapan Pemuda untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Bagi Pemuda, saya melihat dari segi persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, cukup baik. Semangat dan moral Pemuda di akar umbi, cukup baik. Dari segi pengukuhan pergerakan itu sendiri pada peringkat pusat, sudah sampai ke peringkat puncak. Saya nampak dengan tidak ada banyak isu yang berbangkit, disebabkan daripada pengurusan kerajaan, pengurusan ekonomi yang amat baik dilakukan oleh Presiden parti, maka kita rasa bahawa perhimpunan kali ini adalah satu landasan terbaik untuk kita memulakan proses ke arah. Itu bermakna bahawa selain daripada kita bincang isu besar, kita mesti jaga perpaduan dalam parti, kita jangan timbul isu yang boleh memecahkan parti.


Oleh sebab itu, amat penting keputusan Majlis Tertinggi untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum akan datang. Dengan keputusan itu, maka kita boleh tumpukan perhimpunan ini bagi memperkuatkan azam politik kita untuk berhadapan pilihan raya. Kalau ada kebimbangan sedikit pun, adalah mengenai hubungan kita dengan parti komponen, dengan pengundi bangsa yang lain.


Saya harap dengan ada beberapa ucapan dalam perhimpunan agung ini yang dapat menerangkan kedudukan Umno itu sendiri tanpa satu sikap yang meminta maaf, mungkin anda rasa kurang senang Pemuda keluar keris, tetapi inilah sebenarnya tujuan dan niat kita untuk memperkenalkan keris itu. Jadi ini lebih kepada kita nak bagi tahu, apakah niat kita sebenar. Takkan Umno sebagai parti tonggak BN, nak menganiaya kaum lain dan sudah tentu kita sebagai mewakili BN, mengetuai BN, sudah tentu kita juga memang melihat kepada kaum lain dan peranan mereka di Malaysia.


Bagaimana pula proses meremajakan Umno.


Saya rasa proses peremajaan dalam Umno sudah berlaku dan Pemuda sendiri sudah melalui proses peremajaan seperti (kelahiran) Putera Umno selain kita ada pemimpin yang lebih muda lagi. Saya rasa mungkin antara sebab Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) dokong kehadiran saya sendiri dalam parti, dalam Pemuda adalah untuk melihat proses peremajaan itu.


Saya rasa proses peremajaan ini akan terus berlaku dan kita akan lihat lebih ramai lagi pemimpin muda yang masuk ke alam dewasa atau ke dalam arus perdana kepemimpinan parti kita. Pada pilihan raya umum 2004 umpamanya, kita dapat 54 calon Pemuda Umno, lebih ramai lagi calon Pemuda BN dan kita melihat di semua parti dalam BN, proses peremajaan berlaku. Pemimpin muda ini mestilah mencerminkan idealisme orang muda, jangan jadi walaupun dia muda, sikap (seperti) orang lama pula. Kalau nak bawa, mestilah bawa dengan satu pandangan dan satu pendekatan yang disenangi oleh generasi muda.


Selepas perhimpunan ini, lebih separuh Pemuda pada peringkat bahagian dan negeri dijangka habis tempoh kerana usia melebihi had umur 40 tahun. Jadi, bagaimana anda mempersiapkan golongan ini.


Dalam Umno, kita mementingkan proses kesinambungan, proses mencari bakat baru, mendidik bakat baru dan sebagainya. Datuk Seri Hishammuddin dan saya selalu mengingatkan kepada Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan, antara tugas ketua pemuda bahagian dan cawangan, adalah untuk memastikan bahawa kesinambungan perjuangan itu adalah terjamin pada peringkat masing-masing.


Maknanya, antara tugas kita adalah untuk ‘groom’ pengganti kita sebab kalau kita selalu sebut bahawa parti lebih penting daripada individu, jadi kita tidak boleh tinggalkan parti itu tanpa ada pengganti atau kesinambungan peralihan kuasa yang tersusun. Itu tidak bertanggungjawab, maknanya kita tidak sayang kepada parti. Maknanya kita keluar daripada Pemuda kerana kita ada cita-cita yang lebih besar lagi, kita pergi ke bahagian, Majlis Tertinggi, tetapi kita tinggalkan Pemuda tanpa ada sebarang peralihan kuasa yang tersusun. Maka itu tidak bertanggungjawab.


Dalam Pemuda kita selalu ingatkan, antara tugas adalah untuk memastikan perjuangan ini berterusan, jangan lepaskan diri saja. Pastikan bahawa setiap peringkat ada peralihan, kesinambungan perjuangan, itu lebih penting dan sebab itu parti survive. Kita ingatkan kepada Pemuda, kalau lebih 50 peratus yang akan tinggal alam Pemuda dan masuk ke alam dewasa Umno, mereka mesti pastikan di bahagian mereka sendiri ada peralihan kuasa yang tersusun, jangan sampai mereka keluar daripada Pemuda, masuk bahagian, Pemuda itu dalam keadaan kelam kabut, dalam keadaan tak ada nakhoda, dalam keadaan tak ada hala tuju, dalam keadaan tak ada perpaduan. Itu kita tidak mahu.


Mengenai saudara sendiri, dalam BN dan Umno, ada orang dengki pada saudara. Apa perasaan saudara.


Saya tidak begitu kisah. Kepada saya, apa yang lebih penting ialah menjalankan tugas, menyelesaikan tugas dengan kerjasama rakan dalam Pemuda, pemimpin dalam Umno dan rakan dalam Pemuda BN. Saya harap dapat bekerjasama dan mempunyai hubungan baik, itu yang lebih penting.


Mungkinkah sesetengah wakil Pemuda menggunakan perhimpunan kali ini untuk melobi jadi calon memandangkan selepas ini akan diadakan pilihan raya umum.


Saya rasa tak adalah, sampai kita nak menggunakan pentas yang keramat ini untuk melobi menjadi calon. Tetapi kalau ada pembahas yang dapat menunjukkan prestasi yang baik, sudah tentu pemimpin atasan akan take note, akan melihat potensi mereka. Tetapi perhimpunan agung ini, yalah tradisinya ia menjadi gelanggang bagi kita menguji bakat. Orang politik ini, bakat bercakap hanya satu daripada aspek kepemimpinan. Aspek kepemimpinan ini bukan hanya pandai bercakap, tetapi keikhlasan, kejujuran, komitmen, wawasan, pelaksanaan, kerajinan dan sebagainya. Banyak lagi, jadi kita tidak boleh hanya melihat yang pandai bercakap itu sebagai orang yang ada masa depan yang cerah. Untuk menjadi pemimpin mesti lebih menyeluruh.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768