Azalina mampu bawa pembaharuan kepemimpinan Wanita
KEJUTAN Umno Bahagian Cheras yang mengumumkan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, untuk dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan akan datang, mencetuskan pelbagai spekulasi apa lagi Perhimpunan Agung Umno minggu depan bukan untuk pemilihan kepemimpinan.
Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, walaupun memberi jawapan bahawa kemungkinan pertembungan antara beliau dan Azalina sebagai 'remeh', namun mungkin jauh di sudut hati 'wanita besi' yang banyak berjasa kepada negara ini, berasa ada 'sesuatu yang tidak kena' dengan pengurusan Wanita yang ada sekarang.
Semua orang tahu cadangan 'pedas' Ketua Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabishee, ada hubung kait dengan pertelingkahannya dengan Ketua Wanita bahagian terbabit, Datuk Faridah Abu Hassan, yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Umno.
Ibarat pepatah 'pukul anak sindir menantu', ketika mengumumkan sokongan terhadap Azalina, yang kini ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) tetapi tidak mempunyai jawatan dalam Wanita selepas tempohnya sebagai Ketua Puteri Umno berakhir empat tahun lalu, Syed Ali nekad untuk menggugat 'keharmonian' rumah tangga Wanita apabila menegaskan: "Azalina adalah seorang yang berpendirian dan berani dalam berpolitik, jadi beliau perlu diberi peluang."
Analisis umum adalah mudah. Azalina adalah bekas Ketua Puteri Umno yang terpaksa melepaskan jawatan kerana terikat dengan peraturan had umur yang ditetapkan pada 40 tahun. Menteri Belia dan Sukan itu adalah orang bertanggungjawab mewujudkan Puteri dan berjaya menjadikan ia satu daripada tiga sayap Umno hari ini.
Kedudukan Azalina dalam Umno selepas itu hanya sebagai anggota MT, dan kelihatan agak aneh kerana tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Pergerakan Wanita. Bagaimanapun, ramai mengetahui betapa Rafidah pernah 'kecil hati' dengan Azalina dan Puteri yang menganggap Wanita sebagai kelab 'makcik-makcik'.
Secara tradisi, bagi orang muda lelaki, mereka akan menyertai Pemuda Umno sebelum menyertai kumpulan perdana selepas usia 40 tahun.
Kewujudan Puteri pula adalah sebagai sayap Umno dengan keahlian terbuka kepada wanita berusia sehingga 35 tahun, manakala ketuanya boleh mencapai sehingga 40 tahun. Tidak termaktub dalam peraturan bahawa setiap ahli Puteri yang melepasi had usia secara automatik menjadi ahli Wanita.
Mengambil kira kes Azalina, ahli Puteri yang melepasi had umur keahlian secara automatik akan menyertai arus perdana seperti Pemuda, tanpa perlu menyertai Pergerakan Wanita.
Persoalannya, adakah penyertaan secara automatik bekas ahli Puteri ke arus perdana wajar, kerana mereka sekiranya diberi bimbingan boleh menjadi pemimpin pelapis kepada Pergerakan Wanita.
Antara halangan kepada bekas ahli Puteri seperti Azalina untuk menyertai Wanita ialah ketiadaan tempat atau jawatan, dan akan ada ahli Wanita menyekat perkembangan mereka untuk menjadi pemimpin pelapis, kerana ramai yang masih 'beratur' untuk mengambil alih kepemimpinan sedia ada.
Kemelut Azalina mudah difahami kerana penyertaan ke arus perdana walaupun dapat dilakukan tanpa sebarang masalah, beliau masih seorang wanita dan sudah pasti ingin terus menyumbang bakti untuk memperkasakan Pergerakan Wanita yang mempunyai keahlian lebih 1.2 juta.
Sebagai pemimpin tertinggi, Rafidah perlu meleraikan konflik dialami Azalina yang sekiranya diberi peluang mungkin dapat mencorakkan masa depan lebih agresif bagi ahli Wanita.
Pada masa sama, wanita yang kelihatan garang tetapi mudah mesra ini mungkin tidak terlalu 'keras hati' sekiranya pemimpin muda seperti Azalina datang berjumpa untuk menawarkan khidmat menyumbang bakti.
Pemerhati politik berpendapat, kedudukan Rafidah yang mungkin hanya menerima nasihat, pandangan dan komen daripada 'orang kepercayaannya', adalah antara faktor yang membuatkan pemimpin muda seperti Azalina 'diketepikan'.
Tetapi jika melihat pada sejarah, pemimpin wanita yang disegani dunia perdagangan antarabangsa ini sudah pasti dapat melihat keghairahan Azalina untuk menyumbang tenaga dan mahu tidak mahu mengingatkan beliau kepada sejarah lampaunya sendiri.
Rafidah yang pernah menjadi senator termuda pada usia 31 tahun, dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam pada usia 33 tahun dan Timbalan Menteri Kewangan dua tahun kemudian.
Beliau kemudian menjadi Menteri Perusahaan Awam dari 1980 hingga 1987, sebelum ditukar ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehinggalah sekarang.
Ketika ditemui bual baru-baru ini, Rafidah mengimbau kenangan mudanya sebagai pemimpin yang terbabit dengan politik sejak usia 22 tahun dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengambil alih tugas tokoh politik disegani ketika itu.
"Setiap kali mesyuarat dengan tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Sardon Jubir, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail (Ali), terasa kecil sungguh diri ini. Lebih-lebih lagi semua pemimpin ini kenal ayah saya.
"Apabila saya duduk di meja mesyuarat, saya duduk di belakang sekali. Tetapi disebabkan meja bulat, saya duduk di hujung dan berhadapan dengan pemimpin besar ini. Terasa begitu kerdil diri ini.
"Tapi hari ini, ramai ahli politik baru semua hendak cepat, seolah-olah keremajaan adalah penyelesaian kepada segala-galanya. Jadi nasihat saya kepada orang muda supaya jangan terlalu banyak berstrategi, kerana bagi saya 'tukang strategi' paling besar ialah Allah SWT. Kalau penstrategis ini kata ke sana hala tuju saya, maka ke sanalah saya akan pergi... walaupun saya plan (rancang) macam mana pun," katanya ketika ditanya mengenai kehadiran golongan muda yang semakin menonjolkan diri menjelang pilihan raya umum dan pemilihan Umno akan datang.
Justeru, kejutan Umno bahagian Cheras bukan saja menjejaskan ketenangan Rafidah, bahkan ia sudah pasti 'mengerutkan kening' Shahrizat. Penawaran diri Azalina untuk menyertai Pergerakan Wanita Umno, wajar dibuat secara berhemah tanpa mengecilkan hati sesiapa.
Tambahan pula pemilihan pemimpin bagi Pergerakan Umno hanya akan dilakukan selepas pilihan raya umum. Justeru sebarang usaha atau cakap-cakap ke arah 'merampas kuasa' hanya akan mengeruhkan suasana Perhimpunan Wanita.
|