Umno Sabah sasaran intipan perwakilan
SETIAP kali pemilihan dalam parti, Umno Sabah antara sasaran utama kerana ia antara negeri yang mempunyai paling ramai perwakilan, sekali gus boleh membantu mana-mana calon yang mengintai jawatan dalam parti pada peringkat pusat sama ada membabitkan Puteri, Pemuda, Wanita atau badan induk.
Selepas Johor, Sabah adalah negeri yang menjadi lubuk dari segi kekuatan bilangan ahli parti, seiring keluasan geografi 76,115 kilometer persegi dan status Bumiputera penduduknya yang mengukuhkan pengaruh Umno sejak melebarkan sayap impian ke seberang Laut China Selatan pada 1991.
Signifikannya kehadiran Umno di Sabah turut disedari rakan di negeri lain dan lumrah iklim politik, sokongan perlu dicari ke pelosok paling dalam ke arah memastikan hayat survival berpanjangan.
Aliran itu lebih ketara dilihat menjelang pemilihan parti dan dalam kerancakan pelbagai pihak membuat spekulasi tarikh pilihan raya umum, percaturan nama calon turut terselit sebagai bahan bicara, walaupun belum begitu hangat bahangnya.
Laksana magnet, kelebihan Sabah memiliki jumlah perwakilan yang ramai membawa pengertian baru terhadap semangat setia kawan di kalangan ahli parti tanpa mengira sempadan negeri. Persoalannya, apakah keikhlasan perhubungan itu diragui kerana mungkin disimpul semata-mata untuk meraih sokongan?
Bagaimanapun, Naib Ketua Bahagian Umno Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga Ahli Parlimen Kudat melihatnya dalam cakupan luas yang lebih menjurus ke arah nilai positif.
"Kita mesti bersikap terbuka. Jika nak dilihat dari sudut negatif, kita akan temui seribu alasan yang dengan sendirinya menyempitkan pemikiran. Saya lebih berminat dengan aspek positif. Ya, kita saling meminta sokongan, tetapi itulah politik. Memberi sokongan kepada calon dari Semenanjung bermakna Sabah mendokong semangat integrasi dan persaudaraan tanpa menyimpan sebarang prasangka.
"Calon Sabah pun mengharapkan sokongan rakan dari Semenanjung meloloskan diri dalam pertandingan, jadi apa salahnya kita saling bekerjasama secara sihat. Perlu diingat, memilih pemimpin Umno bererti kita juga memilih pemimpin negara. Landasannya ialah parti, tetapi manfaat daripada keputusan kita itu merahmati jutaan rakyat Malaysia, jadi ia keadaan saling menguntungkan buat semua," katanya.
Tafsiran Ketua Pemuda Umno Sipitang, Osman Ahmed, turut berpaksikan pegangan sama, iaitu politik hanya bernyawa jika pemainnya memiliki ramai kawan dan kenalan sebagai penentu kekuatan.
Ukuran keikhlasan, tegas usahawan muda itu, memang sukar dicari hujung pangkalnya, tetapi kawan sejati yang mahukan sokongan akan memulakannya dengan memberi sokongan secara jujur.
"Memang tiada jaminan kawan tidak boleh bertukar menjadi lawan, tetapi itu resam politik. Dalam politik kita perlukan rangkaian, baik pada peringkat kawasan, negeri, negara mahu pun antarabangsa.
"Kekuatan pemimpin bergantung kepada sokongan dan dalam politik, kekuatan itu letaknya pada peringkat akar umbi. Apabila rakan di negeri lain datang ke Sabah meminta sokongan, mereka bukan sekadar membawa harapan politik, tetapi juga menyumbang terhadap ekonomi Sabah... makan minum di sini, menginap di hotel dan semua itu baik buat Sabah," katanya.
Sebagai pemimpin muda, Osman dan Naib Ketua Puteri Umno yang juga Ketua Puteri Umno Papar, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkongsi kebimbangan terhadap pengaruh politik kebendaan yang diakui mudah mengabui mata mereka yang masih hijau usianya.
Bagi Osman, langkah Umno terus memartabatkan bangsa untuk separuh abad akan datang tidak akan membawa makna jika ahli meletakkan kebendaan di atas jemala, mengatasi matlamat sebenar tatkala Umno dilahirkan pada 1946.
"Kehancuran parti adalah disebabkan perbuatan ahli sendiri. Bila orang dah ajar kita gunakan wang dan kebendaan untuk mendapatkan sesuatu, ia bermakna parti bukan lagi keutamaan sebenar dan ia akan berlarutan tanpa penyudah.
"Generasi berpengalaman jangan mengajar jika kita tidak mahu generasi muda terpengaruh dengan politik kebendaan," katanya.
Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, hakikat semua ahli Puteri Umno adalah generasi kelahiran pasca-merdeka dan sebahagian besarnya dewasa bersama pelbagai kemudahan asas, adalah antara cabaran yang perlu diperhalusi dalam mendidik golongan itu menjauhi politik berasaskan kemewahan material.
"Memang benar ahli Puteri tidak mengharungi zaman suram kesengsaraan hidup di bawah telunjuk penjajah, tetapi kita juga tidak diajar memilih pemimpin berdasarkan tawaran kebendaan kerana faktor utama kita bergelar ahli Umno ialah untuk menegakkan perjuangan parti.
"Macam-macam pernah dan akan berlaku apabila musim pemilihan parti, tetapi kita tidak boleh membenarkan perkara tidak betul menguasai diri atas alasan 'ahli Puteri hanya manusia biasa, sukar mengawal perasaan'.
"Saya sering ingatkan kepada ahli Puteri yang jika kita mula berkiblatkan kepada kebendaan sebagai landasan berpolitik, kita akan kehilangan segala-galanya," katanya yang juga Ahli Parlimen Papar.
Keindahan Sabah memang tiada batasnya. Ahli Umno menggerakkan parti yang banyak mencorakkan landskap politik Negeri di Bawah Bayu itu.
Berpegang kepada kesungguhan penggeraknya memberi sokongan tanpa sekelumit niat untuk memandang ke belakang, Sabah kelihatannya sedia menjadi kawan terbaik tanpa prasangka andainya itu harga yang dituntut untuk menjamin kelangsungan Umno selagi ada.
Atas kesedaran sedemikian, Umno Sabah yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, gigih meneruskan perjuangan sekalipun terpaksa meredah pelbagai cabaran, kekurangan dan hambatan dalam menangani ribuan ahli di 25 bahagian.
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Sabah
|