Peluang luah pelbagai isu mantapkan parti



RAUT wajahnya tidak banyak berubah, walaupun usianya sudah menjangkau 70 tahun. Begitu juga nada suaranya, masih tetap bertenaga dan tegas seperti dulu. Hanya fizikalnya kelihatan agak kurus.


Tan Sri Mohamed Rahmat atau lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat, bekas penyandang jawatan Setiausaha Agung Umno mempersilakan penulis duduk sambil jari memegang erat keretek Gudang Garam.


Kami bertemu di sebuah kafe terkenal di Bangsar, semalam. Hajat penulis bertemu pemimpin veteran Umno ini adalah untuk mendapatkan pandangannya mengenai Perhimpunan Agung Umno yang bermula Isnin ini.


Seperti memahami keinginan penulis, beliau tanpa berlengah dalam kebingitan lokasi pertemuan, pantas memulakan tutur bicaranya dengan menyentuh beberapa perkara yang ingin dikongsinya dengan semua perwakilan Umno dari seluruh negara kali ini.


Pertamanya, beliau meminta ahli Umno menggunakan peluang pertemuan tahunan itu sebaik mungkin bagi menzahirkan pandangan mereka sama ada dalam bentuk pujian atau kritikan tanpa rasa takut atau tertekan atas matlamat untuk kebaikan parti.


Menurut pemimpin veteran ini, perhimpunan itu seharusnya menjadi titik permulaan kepada ahli parti untuk keluar daripada kepompong fobia dalam meluahkan rasa terbuku di hati mereka terhadap pelbagai isu.


Tegas beliau, selaras dengan kedudukan parti yang menjadi tonggak kepada pentadbiran sebuah negara yang sudah pun merdeka daripada belenggu penjajah selama lebih 50 tahun.


"Kita sudah 50 tahun merdeka, usia Umno pun dah melebihi 50 tahun, malah kita juga sudah pun mempunyai hamparan baru," katanya.


Bagaimanapun dalam membangkitkan isu berkaitan, Tok Mat yang pernah menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebelum bersara daripada arena politik mahu ahli Umno tidak mencetuskan sesuatu isu itu secara semberono.


Katanya, sebarang isu yang hendak ditonjolkan perlu mempunyai landasan kukuh yang sekali gus menggambarkan kematangan mereka menggunakan perhimpunan itu sebagai forum untuk memantapkan parti.


Beliau juga berkata Umno tidak boleh lagi menganggap ia hanya untuk menjaga kepentingan Melayu, sebaliknya seluruh rakyat negara ini.


"Umno hari ini bukan hanya menjaga orang Melayu. Sebagai parti Malaysia, ia kena jaga hati semua orang. Jadi kalau perjuangan untuk semua orang, apa nak ditakutkan untuk membangkitkan sebarang isu penting," tambahnya.


Dalam pertemuan itu, Tok Mat turut mengingatkan ahli parti supaya sentiasa bersikap terbuka seperti diamalkan oleh pentadbiran kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno.


Katanya, menerusi sikap keterbukaan itu, Umno kini bertambah kuat dan sekali gus masyarakat negara ini melihat elemen itu sebagai satu kekuatan yang mengukuhkan parti berkenaan.


"Oleh kerana ada keterbukaan ini saya fikir Umno akan bertambah kuat dan orang ramai pun melihat ini sebagai satu kekuatan Umno. Sebagai kekuatan baru Umno, ia mungkin boleh meyakinkan mereka mengenai keupayaan Umno untuk membawa perubahan lebih besar untuk negara dan rakyat jelata.


"Kalau kita hendak capai tahap kegemilangan yang tinggi, kita mesti ada semangat keterbukaan yang lebih luas. Paklah pun cakap pasal ketelusan, tak ada di Malaysia yang tertutup, dalam parti pun mesti ada ketelusan dan keterbukaan yang lebih luas. Jadi ia selari dengan apa yang dibuat oleh negara," katanya.


Menyentuh mengenai sikap sesetengah pemimpin muda Umno yang gemar menggunakan perhimpunan itu bagi menonjolkan diri, Tok Mat berkata itu tidak boleh dielak lagi kerana sebahagian besar ahli adalah kalangan golongan berkenaan.


Katanya, proses peremajaan yang dilalui parti itu sejak sekian lama menyaksikan bilangan generasi muda menganggotai Umno semakin bertambah, serentak dengan golongan bijak pandai dan masyarakat bandar.


"Sebenarnya ini satu kejayaan kepada parti sebab dulu kita sangka orang muda takut menyertai Umno kerana parti orang kampung. Tapi sekarang dah berubah, orang muda dan bijak pandai masuk parti.


"Perubahan ini berlaku kerana mereka melihat Umno sebagai jentera untuk menyempurnakan citra rakyat, seperti kita buktikan selama 50 tahun negara merdeka," katanya.


Dalam pada itu, Tok Mat juga tidak menolak kemungkinan perhimpunan kali ini akan turut menjadi pentas kepada bakal calon yang ingin bertanding untuk pemilihan pucuk pimpinan parti akan datang, berikutan pilihan raya umum semakin hampir.


Majlis Tertinggi Umno sebelum ini memutuskan pemilihan pucuk pimpinan parti di semua peringkat hanya akan diadakan selepas pilihan raya umum akan datang.


"Perhimpunan agung kali ini penting sebab ada pilihan raya. Kita akan melihat proses lobi melobi akan berlaku. Begitu juga proses atau sesi jual beli undi antara perwakilan dan calon akan memuncak," katanya.


Mengenai harapannya pada perhimpunan kali ini, Tok Mat mengakui ingin melihat orang Melayu dan Bumiputera terus bersatu dan memperkukuhkan iltizam bagi memantapkan parti agar dapat terus berkuasa di negara tercinta ini.


Katanya, peristiwa pengharaman Umno pada 1988, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua ahli agar lebih berhati-hati dan tidak mengutamakan kepentingan diri berbanding parti.


"Janganlah biarkan Umno hilang kuasa sekali lagi kerana mudaratnya pada rakyat. Kepada semua ahli parti yang akan menyertai perhimpunan kali ini, fikirkanlah apa yang patut untuk mengukuhkan Umno.


"Kuatkan keyakinan rakyat kepada parti dan kerajaan. Mudah-mudahan kita mampu untuk memimpin Malaysia dan gemilangkan Melayu untuk 50 tahun lagi atau lebih dari itu," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768