Jenaka, kritikan biar berkesan

Lawak Badruddin berisi, Azimi cuba elak isu sensitif


SEBUT saja nama Tok Bad atau Pak Bad, pasti perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno tertunggu-tunggu celoteh, seloka dan lawak jenakanya.


Beliau adalah antara pembahas yang menyebabkan perwakilan, pemerhati dan sesiapa saja yang menyaksikan gelagatnya, tidak kering gusi.


Daripada menjadi perwakilan selama 19 tahun, sehingga selepas dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Tetap sejak tiga tahun lalu, unsur humor yang digunakan Tok Bad atau nama sebenarnya, Datuk Badruddin Amiruldin pasti mencuri tumpuan.


Sejak itu, beliau tiada lagi duduk di bawah tetapi di atas pentas selaku Timbalan Pengerusi Tetap. Begitu pun, Tok Bad tetap menjadi perhatian dan kadang-kala menyebabkan perwakilan gelak ketawa dengan usikannya.


Namun, Tok Bad mungkin menghadapi sedikit kesukaran mengawal masa perwakilan berbahas apabila ada yang mencontohi stailnya mencuri masa termasuk memuji pengerusi majlis (Tok Bad sendiri) supaya terus diberi peluang berucap. Ini kadang-kala menyebabkan Tok Bad kelihatan serba salah.


Minggu depan, ahli Umno akan berhimpun sekali lagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk Perhimpunan Agung Umno 2007 dan pastinya perbahasan yang menyelitkan unsur humor, selain puisi, syair dan seloka akan menjadi antara perencah pembahas untuk menarik tumpuan perwakilan.


Biarpun ada pembahas yang menyelitkan unsur humor yang berisi dan kena pada mesej yang ingin disampaikan, ada juga yang kita lihat tidak kena pada tempatnya dan kelihatan kaku apabila cuba melawak, sehingga gagal mencuit hati perwakilan.


Bagi Tok Bad, lawak jenakanya memang bersahaja. Jika ketika menjadi perwakilan dulu beliau menjadikan unsur humor sebagai ramuan penting untuk membuat teguran secara berhemah terhadap pemimpin Melayu, lawak yang diselitkan ketika menjadi Timbalan Pengerusi Tetap, bermaksud untuk membantu pembahas supaya tidak terlalu gemuruh.


"Kita memilih pemimpin dan apabila kita pilih pemimpin, kita letak mereka di atas, dengan itu kita harus menghormati mereka.


Jadi kalau nak tegur pemimpin, cara orang Melayu ada tatasusila. Kalau nak tegur secara 'direct', jatuh maruah mereka depan orang ramai, tak elok.


"Kadang-kala cara menegur dengan buat sindiran dan buat sedikit cerita kelakar. Itu cara Melayu, cara untuk jaga maruah. Islam pun larang kita jatuhkan maruah orang. Kita berhimpun lama, empat ke lima hari. Duduk lama-lama orang 'boring' dan kita kena ada cerita yang boleh menghiburkan dan menarik minat perwakilan supaya mendengar mesej yang cuba kita sampaikan.


"Kalau tak, ramailah yang keluar dewan, pergi membeli-belah, sehingga dewan tidak dipenuhi dan tak bermakna persidangan kita. Lawak kita kenalah bermakna supaya menjadi ingatan dan peringatan kepada ahli Umno. Kalau banyak sangat fakta terlalu serius, boring juga. Kena ada campuran," kata Tok Bad.


Apabila bertindak sebagai Timbalan Pengerusi Tetap pula, lawak yang diselitkan dengan niat untuk membantu jurucakap atau pembahas menenangkan diri dan menghilangkan rasa gemuruh.


"Ada yang saya lihat apabila naik pentas, dah mula gemuruh sehingga hilang fokus terhadap ucapan yang cuba disampaikan. Kenalah saya mencelah untuk menenangkan keadaan. Ada juga yang ucapannya agak membosankan dan hilang daripada sasaran.


"Jadi selain untuk menjaga masa, saya mencelah dengan lawak jenaka untuk membimbing terutama jurucakap baru, supaya mereka tidak diboo, nak jaga maruah mereka," katanya.


Bagi Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim adalah antara jurucakap yang mempunyai unsur humor ketika berucap.


Beliau berpendapat walaupun setiap ucapan mesti dibuat secara serius, sekali sekala perlu melontarkan lawak spontan untuk menghidupkan suasana.


Lawak bagi beliau bukan cerita baru yang cuba direka oleh jurucakap, tetapi kebetulan isu yang disentuhnya berkaitan isu semasa atau isu yang sedang panas, jadi kadang-kadang benda itu sendiri boleh dilihat sebagai bahan jenaka.


"Melawak juga penting supaya perwakilan tidak mengantuk, tetapi tidak semua orang boleh melawak, boleh berkias. Ada sesetengah yang perlu menyampai ucapan dengan nada bersahaja tetapi nampak lawak, tetapi ada juga yang buat lawak terlampau, sehingga nampak tak serius ketika membawa hujah.


"Tapi tak salah jika diselang-seli dengan sedikit jenaka yang ada kaitan dengan isu yang dibahaskan, jenaka yang tak sesuai dan tak sedap didengar perwakilan. Ada juga yang berunsur lucah, ini sama sekali tidak patut berlaku," kata Azimi.


Apa yang penting setiap jurucakap yang bangun membahaskan usul tidak harus terbawa-bawa dan apabila tengok perwakilan mengilai ketawa, lawak pula semakin menjadi-jadi sehingga lari daripada fokus sebenar.


"Saya tengok kebanyakan pembahas pada perhimpunan lalu memang ada buat penyelidikan tetapi kadang-kadang kerana kesuntukan masa, mereka lari daripada teks asal dan mulalah lari daripada fokus mesej yang cuba disampaikan," katanya.


Sebagai seorang daripada tiga perwakilan Umno yang diberikan nasihat keras oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno berikutan perbahasan mereka didakwa berunsur perkauman ketika Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Azimi berpesan kepada rakan dalam parti supaya jangan sama sekali menyentuh isu berbau perkauman.


"Memang perhimpunan Umno untuk orang Melayu, jadi kita boleh bercakap apa saja untuk kepentingan Melayu. Ini pandangan kita. Walaupun mungkin kita perlu sedikit berhati-hati kerana nak jaga hubungan dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN), pada masa sama kita tidak boleh nak sekat orang lain daripada bercakap apa saja dia rasa perlu untuk memperlihatkan Umno sebagai parti yang memperjuangkan hak Melayu.


"Cakaplah apa yang anda hendak cakap, tetapi yang penting setiap jurucakap mesti bertanggungjawab terhadap apa yang dia ucapkan. Pastikan perkara yang kita nak sampaikan mustahak, tidak bertentangan dengan undang-undang seperti Akta Hasutan," kata Azimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Pemuda Umno.


Nada sama disuarakan Ketua Puteri Melaka, Mas Ermieyati Shamsudin. Baginya biarpun bukan satu kemestian, adalah lebih baik jika unsur humor turut diselitkan supaya perwakilan tidak terlalu bosan dan boleh menarik perhatian mereka untuk fokus kepada mesej yang cuba disampaikan. Unsur humor kadang kala sarat dengan makna untuk menyedarkan orang Melayu itu sendiri, ibarat menegur secara sinis. Gaya penyampaian ucapan tidak seharusnya terlalu serius.


"Kita juga kena tengok faktor masa. Apabila bangun berucap pada sebelah tengahari atau petang, perwakilan dah terlampau lama duduk, kita kena cari cara nak tarik perhatian mereka dan menyelitkan unsur humor adalah antara caranya," katanya.


Selain berlawak, berkias, berseloka, berpantun, bersyair dan menyanyi juga cara yang perlu dipertimbangkan oleh jurucakap untuk menarik perhatian perwakilan, tetapi biarlah semuanya ada kena mengena dengan orang Melayu, kena dengan perjuangan Umno.


Emy sendiri turut menyelitkan lagu puisi karya Datuk A Samad Said, Tetamu Senja pada perhimpunan tahun lalu. Semua ini katanya, perlu untuk menghidupkan seni dan gurindam Melayu.


Biar apapun tanggapan yang dibuat terhadap pentingnya menyelitkan unsur humor dalam perbahasan, pesan veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa, kalau nak buat lawak boleh, tetapi biarlah lawak berisi, yang ada kaitan dengan Umno, jangan sampai orang ketawa tetapi sebenarnya tak satupun yang diperkatakan memberi manfaat kepada parti.


"Jangan cakap sia-sia dalam Perhimpunan Agung Umno. Isi perbahasan biar bernas dan sampai kepada maksud dan tujuan," itu nasihat pemimpin veteran berusia 85 tahun itu.


Dengan pengalaman lebih 50 kali menghadiri perhimpunan Umno, Aziz berkata ada kalanya jurucakap yang bangun berucap sengaja membuat lawak main-main dan tidak membawa sebarang mesej penting kepada orang Melayu.


"Kalau nak buat lawak pun biarlah sarat dengan mesej yang hendak disampaikan.


Mesej datang daripada hati sebelum dilafazkan di mulut. Mesej yang disampaikan selepas kita membuat rujukan dan penyelidikan.


Mesej yang menyentuh kepentingan dan masa depan orang Melayu.


"Jangan buat lawak kosong atau lawak bodoh... orang riuh rendah ketawa dalam dewan tetapi matlamat dan maksudnya tidak kesampaian," katanya.


Penulis adalah Ketua Biro Berita Harian, Melaka

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768