'Lobi melobi bukan budaya Puteri'

GEMA nada yang lebih matang bakal mengiringi 773 perwakilan Pergerakan Puteri Umno yang akan memenuhi segenap ruang di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Perhimpunan Agung Puteri Umno, 6 November ini. Dengan usia penubuhannya yang kini menjangkau enam tahun, perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan menjanjikan sesuatu lebih mantap dan mahu memastikan suara generasi muda lebih didengari. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, Misiah Taib dan Norfatimah Ahmad dengan Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad.



APAKAH fokus perbahasan Puteri Umno pada perhimpunan kali ini.


Hanya satu usul yang akan dibahaskan iaitu ucapan Dasar Ketua Puteri Umno. Paling utama saya akan menyentuh mengenai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-12, selain isu sosial, pendidikan dan ekonomi, yang akan menjadi inti pati ucapan dasar saya. Pembentangan bagi membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri akan dibuat Ketua Penerangan Puteri, seterusnya disokong Kedah dan 12 negeri lain. Setiap negeri akan menurunkan pembahas terbaik bagi memastikan mesej yang kita bawa sampai dan paling penting suara generasi muda lebih didengari. Seperti tahun lalu, kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam perbahasan kerana kita tahu ahli Puteri sudah cukup matang untuk menilai agenda dan isu yang harus diutamakan demi kepentingan Melayu khususnya kelompok wanita muda.


Mungkin Datuk boleh perjelaskan dengan lebih terperinci.


Pilihan raya umum ke-12 penting kepada Umno kerana kita tidak sekadar mahu mempertahankan mandat besar yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum 2004, tetapi misi kita kali ini mahukan kemenangan lebih bergaya di semua negeri, sekali gus menawan Kelantan. Justeru, gandingan padu tenaga semua sayap parti, termasuk Puteri perlu digerakkan semaksimum mungkin. Sejak ditubuhkan, Puteri Umno sudah turut serta dan memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum dan banyak pilihan raya kecil. Tiada titik nokhtah dalam perjuangan Puteri dan kita terus bekerja demi kepentingan parti. Isu lain yang akan Puteri sentuh, termasuk kes jenayah keganasan terhadap kanak-kanak, kebanjiran pendatang asing, salah guna teknologi komunikasi maklumat (ICT), pendidikan awal, peluang kedua dalam bidang pendidikan, imbangan keupayaan akademik antara lelaki dan wanita, dasar langit terbuka dan beberapa lagi yang akan saya kupas pada hari perhimpunan nanti.


Memandangkan pilihan raya umum fokus utama, apakah perhimpunan kali ini akan turut dijadikan medan untuk Puteri melobi lebih banyak kerusi berbanding hanya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan pada 2004.


Perhimpunan Agung Umno mempunyai agenda lebih besar untuk membincangkan pencapaian, nasib masa depan dan hala tuju orang Melayu, bukannya medan untuk melobi kerusi pilihan raya dan bukan juga menjadi budaya ahli Umno untuk melobi. Yang lebih penting semua ahli Puteri perlu terus bekerja kuat bukan kerana ganjaran, tetapi demi Puteri dan Umno. Soal kerusi biarlah pucuk pimpinan parti yang fikirkan dan putuskan. Apa lebih penting jentera pilihan raya Puteri Umno sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa. Awal tahun ini lagi kita menganjurkan Kursus Pemantapan Pilihan Raya dan Kursus Persiapan Jentera Penerangan Pilihan Raya, selain Kursus 'Gallup Poll' Puteri Umno, Kursus 'Smart System', Kursus 'Cyber Writting' dan pelbagai lagi. Puteri sudah bersiap sedia bukan saja untuk turun padang, bergerak dari rumah ke rumah bagi meraih undi, malah menyiapkan jentera untuk perang siber kerana kecanggihan teknologi menyaksikan pembangkang menggunakan pelbagai taktik menerusi ICT untuk mempengaruhi pengundi.


Puteri Umno diiktiraf sayap parti setaraf dengan Wanita dan Pemuda. Sudah ada suara pada peringkat akar umbi Puteri yang mahu supaya Ketua Puteri juga diberikan jawatan dalam Kabinet. Mungkinkah ada pembahas yang akan menyentuh perkara ini.


Sekali lagi saya katakan bukan budaya dalam Umno untuk lobi-melobi dan ahli Puteri juga maklum akan adab serta budaya parti. Biarlah pucuk pimpinan yang memutuskan perkara itu kerana yang penting Puteri sentiasa bergerak senada dan seirama dengan Pergerakan Wanita dan Pemuda dalam parti. Saya bersama Puteri sejak ditubuhkan sehinggalah sekarang. Kita tidak pernah berhenti bekerja menerusi program yang kita laksanakan bukan setakat memanfaatkan kira-kira 300,000 ahli Puteri, malah masyarakat di seluruh pelosok negara. Fokus kita untuk menarik seramai mungkin sokongan daripada kalangan generasi muda wanita kepada parti dan kita sentiasa akur dengan perjuangan parti.


Menjelang perhimpunan kali ini juga bahang pemilihan dalam parti sudah mula terasa apabila ada bahagian yang secara terang-terang menamakan calon pilihan mereka untuk mencabar penyandang, sedangkan pemilihan hanya akan diadakan pada tahun depan. Bagaimana pula dalam Puteri.


Puteri Umno fokus kepada perhimpunan tahun ini dengan tumpuan utama kepada persiapan menjelang pilihan raya dan kita tidak memikirkan soal siapa akan membarisi kepemimpinan dalam Puteri selepas Perhimpunan Agung Umno 2008. Alhamdulillah, pada mesyuarat peringkat bahagian dan cawangan Puteri pun perkara itu tidak timbul dan semuanya berjalan lancar. Soal pertandingan dalam parti tidak harus dibincangkan sekarang kerana kita ada agenda yang lebih penting iaitu memperkukuhkan perpaduan serta memantapkan jentera pilihan raya pada semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.


Apakah Datuk sendiri berpuas hati dengan pencapaian Puteri setakat ini.


Puteri kini semakin matang dalam politik. Kehadiran Puteri juga semakin mendapat tempat dan semakin ramai anak muda wanita yang mendaftar menjadi ahli Puteri. Jentera pilihan raya Puteri Umno memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum dan setiap pilihan raya kecil. Kita juga semakin ligat melaksanakan pelbagai program daripada pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan sosial dengan sasaran kita tidak setakat ahli, malah masyarakat sekeliling, kerana kita mahu masyarakat pada semua peringkat lebih mengenali Pergerakan Puteri Umno. Sukacita saya ingin maklumkan Puteri Umno turut membantu Program Penjagaan Awal Kanak-Kanak atau Majlis Permata Negara naungan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor. Kita secara sukarela menawarkan program belajar membaca pada awal usia. Pada hari ini, Puteri juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjadi pengedar Kopi Putery dan hasilnya akan dimasukkan dalam Tabung Prihatin Puteri. Pada hari sama kita melancarkan komuniti siber – Jalinz, bagi menemukan pencari kerja dengan kerjaya selain blog perbincangan antara Puteri dengan pencari kerja. Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan peranan yang dimainkan setiap pemimpin dan ahli Puteri, tetapi masih banyak yang perlu kita lakukan, terutama ke arah menjana generasi muda terbilang.


Bagaimana pula pencapaian generasi muda, khususnya wanita muda di negara ini setakat ini.


Keupayaan generasi muda wanita terbukti dengan lebih ramai pelajar wanita layak melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi berbanding lelaki. Bila keluar pun lebih ramai graduan wanita. Cuma dari segi peluang pekerjaan masih ada sekatan bagi wanita yang seharusnya dibuka secara adil, ikut merit. Begitu juga dalam pelbagai bidang lain seperti pengwujudan koridor ekonomi di seluruh negara, kita harap wanita muda akan diberikan peluang turut serta. Banyak lagi yang boleh dilaksanakan, tetapi perlu ada keyakinan daripada orang yang lebih dewasa bahawa generasi muda wanita boleh memikul tanggungjawab lebih besar. Banyak lagi yang kita boleh lakukan jika diberi lebih banyak ruang dan peluang.


Apakah pula pendekatan Puteri Umno sendiri dalam memperkasakan generasi muda Melayu.


Pertamanya, kita kena sayangkan parti Umno, sebagai tunjang kepada parti yang mewakili orang Melayu. Kesedaran mengenai penat jerih perjuangan pemimpin terdahulu dalam proses memerdekakan negara 50 tahun yang lalu perlu diberikan kepada orang muda. Jangan salahkan orang muda jika mereka lupa kerana kemungkinan kita sendiri kurang menyedarkan mereka. Jadi Puteri cuba melaksanakan tugasan ini mengikut cara dan budaya sendiri, misalnya untuk orang muda kita tak boleh nak paksa mereka, tetapi beri mereka ilmu pengetahuan. Dalam kebanyakan program yang dilaksanakan, Puteri juga turut menyelitkan usaha menanam semangat patriotisme di kalangan peserta.


Mungkin ada program sampingan lain yang akan diadakan pada perhimpunan kali ini.


Seperti biasa perhimpunan akan dimulakan dengan selawat. Di luar dewan perhimpunan pula kita akan teruskan kempen derma darah dan derma organ. Kita adakan kempen derma darah sejak tahun pertama perhimpunan Puteri, tetapi kempen derma organ kini memasuki tahun ketiga. Saya sendiri sudah mendaftar untuk menderma organ (buah pinggang) tahun lalu. Tahap kesedaran ramai terhadap pentingnya menderma organ masih rendah dan kali ini Puteri buat pertama kalinya akan membawa doktor dan jururawat untuk turut serta dalam program kami. Selepas cerita mengenai adik Tee Hui Yee, 14, yang menjalani pembedahan pemindahan jantung yang didermakan untuknya di Institut Jantung Negara (IJN), saya berharap kesedaran awam akan meningkat dan lebih ramai akan tampil untuk mendaftar sebagai penderma organ. Buat kali kedua juga, Puteri akan menyampaikan anugerah Mutiara Pertiwi kepada seorang veteran wanita yang memberi impak besar kepada perjuangan wanita muda di negara ini.


Hala tuju Puteri selepas ini dan usaha yang dilakukan untuk memantapkan perjuangan Puteri.


Puteri akan terus menjadi suara kepada wanita muda. Justeru, pada perhimpunan kali ini juga saya akan cadangkan setiap parti komponen Barisan Nasional (BN) menubuhkan Pergerakan Puteri supaya suara generasi muda wanita lebih didengari. Kita perlu mantapkan lagi suara generasi muda wanita dan usaha itu boleh dilakukan dengan penubuhan Puteri BN yang diwakili semua parti komponen. Terbukti, Puteri memainkan peranan penting pada setiap pilihan raya kecil dan pilihan raya umum. Saya yakin kehadiran sayap puteri dalam setiap parti komponen BN akan memantapkan lagi perjuangan BN dan Umno, Insya-Allah.



Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768