Agenda, Misi Nasional lebih utama
Perwakilan perlu atur strategi kemenangan besar BN pada pilihan raya umum
PERHIMPUNAN Agung Umno 2007 bermula 5 November ini bukan saja diadakan sempena negara meraikan perayaan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, malah ketika kita memasuki tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan ekonomi negara semakin mantap. Ia juga diadakan selepas negara melakar sejarah melahirkan angkasawan pertama dan yang lebih penting perhimpunan ini dijangka yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-12 diadakan. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, Misiah Taib dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka.
Dengan tiada pertandingan, apakah signifikan Perhimpunan Agung Umno 2007 pada pandangan Datuk Seri.
Perhimpunan kali ini sebenarnya amat penting bagi Umno sebagai tonggak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Paling utama, kerana kita akan berdepan dengan pilihan raya umum ke-12. Banyak perkara mengenai pilihan raya dijangka akan disentuh, sejauh mana persiapan kita menjelang pilihan raya dan untuk menggerakkan jentera parti. Pilihan raya umum ke-12 lebih penting berbanding 2004, kerana untuk mengekalkan kemenangan cemerlang sebenarnya lebih sukar berbanding untuk mencapainya, apa lagi misi kita untuk memastikan BN menang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang berbanding 2004, sekali gus merampas semula Kelantan. Insya-Allah kita boleh mencapainya, tetapi kita perlu pastikan sokongan rakyat kepada BN dan Umno semakin bertambah kuat.
Jadi, apakah fokus yang harus diberi perhatian oleh perwakilan.
Saya melihat perwakilan harus menggunakan perhimpunan kali ini lebih kepada membicarakan kejayaan Umno dan pencapaian BN sepanjang memerintah sejak 50 tahun lalu. Kita perlu berikan fakta dan angka mengenai kejayaan BN dan Umno untuk dikongsi dengan rakyat dan untuk meningkatkan lagi keyakinan rakyat yang memberi mandat besar kepada kita pada pilihan raya umum 2004. Perwakilan juga pasti akan menyentuh mengenai RMK-9, pelaksanaan projek koridor ekonomi yang pasti akan merubah kehidupan Bumiputera di luar bandar dan di bandar. Selain itu, Misi Nasional, pencapaian kita ke arah Wawasan 2020 dan seterusnya apakah pengisian kita ke arah melonjakkan lagi kedudukan Melayu menjelang 2057 juga pasti akan disentuh. Kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang mendepani orang Melayu 50 tahun akan datang. Begitu juga kejayaan Islam Hadhari ke arah mewujudkan tadbir urus kerajaan yang lebih mantap dan adil.
Bagaimana pula dengan Agenda Melayu.
Pencapaian orang Melayu dalam semua bidang sudah boleh dibanggakan. Tetapi kita tidak harus berpuas hati kerana masih banyak perlu kita lakukan untuk melonjakkan lagi kedudukan orang Melayu. Agenda Melayu adalah agenda Umno. Perwakilan mesti menggunakan sebaik-baik peluang pada Perhimpunan Agung Umno kali ini untuk membincangkan agenda Melayu dengan mengutarakan kelemahan yang masih dikenal pasti dan bersama pemimpin dan perwakilan lain mencari penyelesaian memperbaiki keadaan. Ia boleh diperbaiki sebab kuasa di tangan kita, pentadbir pun kita, pelaksana pun kita. Tiada titik akhir untuk kita terus memajukan Melayu ke arah kejayaan lebih gemilang. Kejayaan Malaysia melahirkan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha juga satu lagi kejayaan anak Melayu terbilang dalam meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara maju. Kita amat berbangga dengan pencapaiannya. Namun, masih banyak ruang untuk kita memperkasakan lagi kedudukan Melayu, apa lagi kita mahu mencapai tahap Malaysia yang lebih gemilang menjelang 2057.
Isu membabitkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hangat dibahaskan pada perhimpunan tahun lalu. Apakah ia akan disentuh sekali lagi pada perhimpunan kali ini.
Selepas perhimpunan tahun lalu, penyertaan GLC dalam membantu Bumiputera sebenarnya semakin meningkat dengan begitu ketara. Itu hasil perjuangan Umno. Kini, dalam perhimpunan Umno dan konvensyen Umno, termasuk di peringkat negeri, GLC turut hadir dan turut serta secara aktif. Bagi kerajaan Melaka misalnya, kita baru saja menandatangani 16 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dengan pelaburan berjumlah RM717.54 juta dengan GLC, selain badan berkanun, swasta dan orang perseorangan. Ini termasuk dengan UDA Holdings bagi membangunkan tanah di Jalan Tun Ali dengan pelaburan RM120 juta dan memajukan tanah di Semabok (RM2.5 juta) dan di Bertam Ulu (RM4.5 juta). Itu semuanya hasil usaha Umno, suara Umno dan perjuangan Umno.
Apakah isu yang menyentuh sensitiviti Melayu turut dibangkitkan.
Pastinya perwakilan akan turut menyentuh isu mencabar hak istimewa orang Melayu. Satu perkara perlu dipertahankan Umno sebagai parti bertunjang dan berakarkan Melayu ialah mempertahankan hak istimewa orang Melayu. Begitu juga hal yang menyentuh soal agama. Pasti ada suara perwakilan yang mahu Umno terus mempertahankan hak Melayu berikutan ada pihak masih terang-terang mempertikaikan hak istimewa Melayu, termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Saya percaya ia disentuh dan perwakilan akan mendesak Umno terus mempertahankan hak istimewa Melayu.
Selepas 50 tahun merdeka, sejauh mana kejayaan Umno dalam memperkasa kedudukan Melayu, terutama dalam bidang politik dan ekonomi.
Saya nampak dari segi politik Umno kini semakin bertambah kuat, sokongan orang Melayu terhadap Umno semakin bertambah. Jumlah yang menjadi ahli Umno kini sudah mencecah 3.28 juta di 20,245 cawangan. Ramai sudah mendaftar sebagai pengundi, tetapi masih ramai juga belum mendaftar dan saya harap mereka berbuat demikian secepat mungkin. Undi kita penting untuk menentukan survival dan masa depan Melayu, untuk menjamin Melayu terus memegang tampuk pemerintahan negara. Begitu juga dari segi pendidikan, ekonomi dan pelbagai bidang lain penyertaan Melayu semakin menyerlah, baik di bandar atau luar bandar.
Bagaimana pula dengan kedudukan ekonomi negara di bawah kerajaan diterajui Umno.
Kebanyakan program pembangunan ekonomi Malaysia kini di landasan kukuh sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu dan kini pada landasan betul ke arah negara maju 2020, seterusnya mencapai kejayaan lebih gemilang menjelang 2057. Kerajaan juga sentiasa fokus untuk meningkatkan lagi ekonomi dengan menyediakan perancangan ke depan bagi menghadapi cabaran dan persaingan pasaran dunia, seiring dengan pelaksanaan mekanisme RMK-9. Dagangan Malaysia berkembang ke tahap satu trilion setahun, manakala permodalan pasaran di Bursa Malaysia juga mencapai satu trilion dan ia satu pencapaian tertinggi yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ia hadiah paling berharga ketika warga Malaysia menyambut jubli emas kemerdekaan negara.
Mungkinkah perhimpunan kali ini turut dijadikan medan melobi sokongan pemilihan akan datang.
Selain membahaskan usul ucapan dasar Presiden, usul ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial, perwakilan kena fokus kepada isu lebih penting iaitu pilihan raya umum akan datang. Sebab itulah, saya katakan penting untuk kita membincangkan kejayaan Umno, kejayaan BN. Dedahkan segala kejayaan yang kita capai untuk dikongsi bersama dengan rakyat supaya rakyat terus memberi sokongan padu kepada BN dan Umno. Jadikan juga perhimpunan kali ini sebagai wadah melontarkan idea bernas mengenai langkah yang boleh kita ambil untuk mencapai kejayaan lebih gemilang bagi tempoh 50 tahun akan datang. Juga bagaimana caranya BN dan Umno boleh terus menerajui negara ke arah Malaysia lebih gemilang. Kita jadikan perhimpunan kali ini sebagai medan untuk meraih sokongan lebih padu untuk Umno dan BN, bukan untuk kepentingan peribadi. Letakkan parti melebihi kepentingan diri, demi Umno, demi Melayu dan demi Malaysia tercinta.
Harapan dan nasihat Datuk Seri menjelang perhimpunan kali ini.
Saya harap setiap perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan akan memanfaatkan sebaik mungkin perhimpunan kali ini untuk melontarkan idea bernas demi memperkukuhkan lagi perpaduan Melayu, melonjakkan pencapaian Melayu dan memantapkan lagi kedudukan Umno. Jangan terlalu emosi, jauh sekali melontarkan kecaman peribadi terhadap mana-mana individu. Umno adalah parti beradab, berbudaya, bertatasusila dan berseni. Boleh mengkritik, tetapi biarlah ia kritikan yang membina. Tetapi saya yakin ahli Umno semakin matang dan perhimpunan kali ini pasti dimanfaat sebaik mungkin untuk memantapkan kekuatan parti, Insya-Allah.
|