Gaya Pak Lah diterima, difahami
Perhimpunan dilihat capai sasaran dalam perjuangan hak orang Melayu
"SAYA amat tertarik dengan ucapan Presiden Umno, walaupun nampak ia ‘simple’ tetapi sarat dengan mesej bukan saja kepada semua ahli Umno atau orang Melayu tetapi kepada seluruh lapisan rakyat di negara ini.
“Kita kena ingat Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) bukan saja Presiden Umno, tetapi Perdana Menteri, justeru mesej yang beliau sampaikan relevan untuk semua,” demikian pandangan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam pertemuan dengan Berita Harian semalam, apabila diminta membuat rumusan kepada Perhimpunan Agung Umno 2006 yang berakhir Jumaat lalu.
Beliau mengakui begitu berminat dengan pendekatan Pak Lah selepas mendengar luahan hati perwakilan yang membawa suara akar umbi sepanjang perhimpunan. Memang benar, sikap tegas dalam lembut dan keterbukaan yang menjadikan pendekatan Pak Lah sejak mengambil alih pucuk kepemimpinan negara, memberi ruang dan peluang kepada sesiapa saja menyuarakan hasrat hati, terutama di kalangan ahli Umno sendiri.
Sepanjang Perhimpunan Agung Umno baru lalu, macam-macam isu sensitif dan tidak sensitif disuarakan tetapi rumusan Presiden Umno itu ialah...’okey isu ini kita boleh teruskan, isu ini pula kita kena berhati-hati, sebab kita dalam negara majmuk.’
Pada akhirnya semua perwakilan bersetuju. Stail dan pendekatan Pak Lah cukup cantik kalau diamati sedalam-dalamnya. Ketika luahan hati perwakilan tetap dianggap mustahak dan diambil kira kerajaan, kepentingan kaum lain tidak diabaikan.
“Kita gunakan medan pada Perhimpunan Umno untuk menyuarakan suara hati orang Melayu. Kadangkala memang pedas sedikit, pada saya tak jadi masalah...sebab kita bukan nak buat sesuatu yang akan memudaratkan negara, sebaliknya memberi ruang kepada perwakilan menyuarakan perkara yang perlu diambil tindakan demi kepentingan bangsa dan negara.
“Saya tengok ‘ending’ Pak Lah cukup cantik sekali. Ada isu yang orang Melayu, orang Islam rasa resah gelisah, diberi ruang untuk menyuarakan pada perhimpunan itu. Kalau tak diberi ruang pun tak boleh. Isu agenda Melayu tetap akan terus diperjuangkan, sedang kepentingan kaum lain tidak diketepikan terus,” katanya.
Seperti kata Pak Lah ketika menggulung perbahasan, “Betul, Umno adalah parti yang mewakili bangsa Melayu tentu ada hak, contohnya untuk membincang, berhujah, berdebat, berbicara akan kebimbangan mereka, keinginan mereka, aspirasi mereka, sudah semestinya kita beri perhatian, sudah semestinya kita bincang bersama untuk membuat keputusan yang dapat memberi keyakinan kepada bangsa kita.
Inilah rekod Umno sejak dulu lagi, sejak Umno ada dalam kerajaan untuk memelihara kepentingan dan memajukan bangsa, tidak lupa kaum lain juga ada hak. Demi mendukung perlembagaan, hak semua kaum seperti termaktub dalam perlembagaan dan kontrak sosial akan terus dipertahankan.
Biarpun ada yang awal-awal lagi sudah membuat telahan liar bahawa perhimpunan kali ini pasti membosankan berikutan tiada pemilihan tetapi 2,529 perwakilan daripada seluruh negara sudah membuktikan sebaliknya, bukan saja ia dijadikan medan bagi membincangkan begitu banyak isu, hak dan kepentingan Melayu, malah paling penting kesemua usul yang dibentangkan akhirnya diterima sebulat suara.
Sehingga malam tadi juga, RTM1 masih menyiarkan petikan ucapan Wakil Umno Selangor, Datuk Mufti Shuib antara pembahas yang paling menarik perhatian pada perhimpunan kali ini yang hujahnya kadangkala sinis diselang selikan pula dengan kiasan, tetapi sarat dengan mesej untuk orang Melayu.
Pentingnya perpaduan di kalangan orang Melayu, pentingnya orang Melayu memberi sokongan padu kepada presiden parti dan jangan sekali-kali ada mana-mana ahli parti mengkhianati perjuangan Umno demi menjaga keutuhan Umno, disampaikan dengan barisan ayat cukup cantik; ‘kelas satu atau kelas tiga, bila naik satu kapal terbang, duduk di depan atau duduk di belakang, kalau jatuh, jatuh bersama, kalau naik, naik bersama.’
Semua ahli Umno perlu memikul tanggungjawab mempertahankan keutuhan dan kekuatan parti supaya terus menjadi tonggak kerajaan yang memerintah. Andai parti jatuh, semuanya, bukan saja ahli Umno, malah orang Melayu tenggelam bersama.
Kiasan sama digunakan bagi merujuk mentaliti Melayu, tiada gunanya mentaliti kelas pertama, jika semangat perjuangan mentaliti kelas tiga, sehingga sasaran ekuiti Melayu jauh keciciran.
Ia disebabkan jika kata sakti ‘hidup Melayu’ dan ‘merdeka’ mati, sudah tiada maknanya lagi. Mungkin ada seorang dua perwakilan yang dikatakan menyuarakan pandangan agak sensitif dan menyentuh pemimpin parti komponen lain, namun niat tersurat dan tersirat, hanya mahu mengajak orang Melayu bangkit, terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka supaya ‘tidak Melayu hilang di dunia’.
“Memang nampak macam sesetengah itu emosional sikit. Ia disebabkan mereka nak jaga hak mereka seperti soal agama, ekonomi dan bahasa. Ia semua tidak boleh dikompromi.
“Mereka (orang Melayu) perlu berasa begitu kalau hak mereka cuba dipertikaikan. Orang Melayu bukan menyoal hak orang lain tetapi bila hak mereka dipertikaikan, mereka wajar bersuara.
“Lebih-lebih lagi jika ada pihak mempertikai hak agama dan ekonomi Melayu seperti dipersetujui dalam Perlembagaan,” itu pandangan senior Umno yang juga Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang turut mencuri tumpuan apabila dilantik sebagai senator pada hari terakhir perhimpunan.
Kelantangan perwakilan menyuarakan pandangan yang ada kalanya dianggap agak pedas pada perhimpunan kali ini, turut dipertahankan Ketua Penerangan Umno itu. Bagi Muhammad, pada setiap perhimpunan perwakilan akan bersuara lantang dan apa yang berlaku pada perhimpunan kali ini bukan ‘nada luar biasa.’
Apa yang lebih penting keputusan dibuat oleh perhimpunan akan diterjemahkan pada peringkat kepemimpinan. Malah, ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada sebelah malam suara wakil Pemuda Umno dengan semangat ‘sang saka’ terutama isu yang begitu lantang pada perhimpunan kali ini khususnya bagi isu menyentuh kontrak sosial dan perlembagaan.
Begitu juga Wanita yang sentiasa menampilkan ketegasan berterusan sayap yang mempunyai keahlian paling ramai iaitu 1.3 juta ahli. Daripada mendesak supaya pindaan Perlembagaan dibuat bagi menambah bilangan perwakilan Wanita hinggalah kepada perjuangan berterusan ke arah memantapkan lagi penyertaan wanita dalam sektor ekonomi dan sosial.
Puteri pula tampak semakin matang bukan saja meneliti ucapan dasar Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, malah kepetahan berbahas dan isu yang dipilih untuk diketengahkan ketika perbahasan juga cukup mantap sehingga Noraini banyak menerima ucapan tahniah bukan saja daripada perwakilan, malah pemerhati dan senior dalam Umno selepas persidangan.
Ketiga-tiga sayap juga senada dalam memberikan sokongan padu tidak berbelah bagi kepada kepemimpinan Pak Lah selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri serta dalam mempertahankan hak Melayu dan kedudukan agama Islam, supaya tidak dipertikaikan mana-mana pihak sekali pun.
Justeru, perhimpunan kali ini dilihat sebagai mencapai sasaran memperkukuhkan lagi perpaduan dan perjuangan hak Melayu, biarpun dicemari kenyataan tidak wajar anak bekas Perdana Menteri yang juga Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir yang memperlekehkan ucapan dasar Presiden, selain laporan tidak bertanggungjawab akhbar Herald Tribune, mendakwa kononnya berlaku kekacauan di negara ini kerana hubungan antara kaum semakin tegang.
Kenyataan individu bukan mewakili semua. Jaminan juga sudah diberikan kepada Pak Lah oleh seluruh peringkat dalam parti bahawa kesetiaan mereka kepada Umno dan Presiden parti tidak akan mampu diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekalipun, seperti dilafazkan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
|