Keserderhanaan Umno berpengaruh
Ucapan penggulung Presiden Umno, DAtuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
ALHAMDULILLAH, saya bersyukur kepada Allah SWT dan saya berasa lega kerana perjalanan Perhimpunan Agung Umno kali ini begitu baik sekali. Bermula dengan perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan sekarang kita sudah sampai ke peringkat akhir bagi perhimpunan kali ini.
Kepada ketua-ketua pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan juga kepada Exco masing-masing, kepada perwakilan, ahli perwakilan yang hadir dalam persidangan masing-masing, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana perjalanan majlis yang sempurna, tidak ada apa-apa berlaku yang memalukan.
Walaupun saya tidak hadir, tetapi saya mengikuti persidangan ketiga-tiga pergerakan ini melalui televisyen, Astro, daripada pagi sampai selesai.
Alhamdulillah, saya dengar perbincangan begitu panas, begitu hangat, maklumlah orang muda, kalau muda tak panas tak hangat tak kuat,.. bukanlah muda. Saya tahu apa itu orang muda, sebab saya dulu pun muda. Walaupun ada ucapan yang membimbangkan sesetengah orang, maklumlah sekarang dah ada Astro, semua orang boleh tengok.
Membimbangkan. Ada juga yang berasa susah hati dengan apa yang mereka dengar melalui TV, tetapi yang pentingnya hangat macam manapun, apabila tiba masanya untuk meluluskan usul-usul yang dibentangkan, semua usul yang baik dan sempurna, yang moderate telah diluluskan tanpa ada apa-apa gangguan dan perbalahan.
That is the final reflection. Itulah gambaran terakhir hasil persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Begitulah juga dengan Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung kali ini, menarik banyak minat semenjak 60 tahun tertubuhnya Umno. Inilah kali pertamanya Astro membuat rakaman secara langsung bagi persidangan kita.
Pihak media yang hadir pun begitu ramai. Mengikut perangkaan yang diberikan kepada saya ialah 1,300 wakil media yang hadir. Ramai bilangannya. Mewakili 69 media tempatan, yang lain mewakili media luar negara. Rupanya mereka berminat untuk membuat coverage mengenai persidangan ataupun tentang perhimpunan agung parti kita ini, hingga 65 agensi tempatan, 19 agensi luar yang diwakili oleh 1,300 orang.
Dan yang menggembirakan saya, TV Umno yang baru kita tubuhkan telahpun dilayari oleh 4.4 juta pelayar (hits). Ramai sungguh yang berminat untuk mengikuti Perhimpunan Agung Umno ini. Yang 4.4 juta ini bukan semuanya dari dalam negara, walaupun majoritinya dalam negeri tetapi juga yang melayari Umno TV ini juga, adalah peminat-peminat Umno di negara lain dari negeri Australia, China, Amerika, Singapura, England, Hong Kong, Thailand, Jerman, UAE.
Ramai sungguh yang berminat mendengar apa yang berlaku dalam dewan ini. Dan pula, bagi mereka yang datang ke sini sebagai pemerhati adalah seperti dulu juga, ramai yang mengikuti perbahasan, ada juga yang menonton ataupun yang melihat pameran yang telah kita sediakan untuk mereka.
Dan bila sebut pasal ramai yang datang ni, pemerhati ni, saya ingin maklumkan pada saudara sekalian, hari ini saya nampak ada pahlawan bangsa yang turut hadir iaitu Datuk Azhar Mansor, pelayar solo mengelilingi dunia mencipta sejarah.
Tadi saya diberitahu bahawa Datuk Azhar Mansor ingin menamatkan kontroversi mengenai dirinya kerana sebelum ini dia senyap saja, dia bukan suka cakap dengan media, tetapi dia ambil masa di sini di tempat Umno bersidang, di mana ramai ahli media untuk membuat kenyataan yang sah, yang betul, yang muktamad bahawa dia adalah seorang Islam.
Dan saya harap tidak ada lagi isu yang ditimbulkan mengenai perkara ini, kesianlah pada dia. Membuat tuduhan yang bukan-bukan sebenarnya tak baik. Kalau orang menuduh seseorang itu kafir, dan kalau dia itu orang Islam, maka dosanya, mungkin balanya akan timpa kepada orang yang membuat tuduhan. Inilah yang perlu kita ingat pasal tuduh-menuduh ini.
Saudara-saudari sekalian, mengapa orang berminat sangat dengan Umno, ingin mengetahui apa yang kita bincang dalam perhimpunan kita ini. Apakah pandangan-pandangan yang kita berikan. Apakah reaksi kita terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam negara kita ini.
Mengapa, sebab kita penting, sebab kita berpengaruh, sebab kita adalah parti kerajaan, kerana itu orang berminat, kalau tidak, tiada siapa peduli, cakap la apa pun. Tapi kalau Umno bercakap, ada kesannya, ada pengaruhnya.
Dan Umno adalah parti orang Melayu walaupun sebilangan kecil adalah juga orang Siam, tetapi boleh kata hampir semua orang Umno adalah orang Melayu beragama Islam walaupun Bumiputera di Sabah, ada juga yang bukan beragama Islam.
Suara kita tentu sekali dapat dianggap sebagai suara yang mewakili majoriti orang kita. Sebagai suara yang mendapat sokongan daripada rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional, pengundi-pengundi, orang Cina, India dan yang lain-lain lagi golongan minoriti yang mempunyai rakyat Malaysia juga mengundi kita semasa pilihan raya. Inilah pentingnya kita.
Orang mahu dengar, orang mahu ambil tahu, orang mahu meninjau perasaan dan reaksi kita terhadap banyak perkara yang berlaku dalam negeri ini. Maka ini bererti kita memikul beban yang paling berat yang makin bertambah berat, bagi kita, ini bererti bahawasanya, bagi Umno, parti terbesar yang mengepalai muafakat Barisan Nasional, tanggungjawab kita pun tetap lebih besar dan lebih berat daripada dulu.
Maka dengan itu, adalah amat penting jika sekiranya kita memperingati diri kita dan memahami benar-benar apa ertinya, apa significantnya kedudukan kita dalam arena politik tanah air.
Saudara saudari, kita semua tahu sejarah Umno ditubuhkan, kita juga tahu sejarah perikatan ditubuhkan. Parti Umno berjaya memimpin bangsa, mencapai kemerdekaan bagi negara dan bangsa. Parti Umno telah membuka jalan untuk membolehkan wujudnya muafakat antara Umno, MIC dan MCA dengan nama Perikatan.
Kita juga sebenarnya melalui Perikatan, mencadangkan supaya Barisan Nasional yang lebih ramai lagi komponen partinya, diwujudkan. Peranan kita amat besar.
Dan satu perkara yang kita perlu ingat terutama bagi generasi muda, iaitu kepimpinan kita dalam muafakat ini. Kepimpinan Umno dalam Perikatan, kepimpinan Umno dalam Barisan Nasional, adalah berupa satu penghormatan yang diberikan kepada Umno, satu penghormatan yang amat besar yang diberikan dengan relanya oleh parti-parti lain yang mewakili kaum-kaum lain diberikan kepada kita atas kepercayaan bahawa kita adalah parti yang terbukti kesederhanaan cara kita.
Parti yang terbukti ada tanggungjawab dan kepimpinan parti Umno yang juga menjadi pemimpin bagi Perikatan dulu dan Barisan Nasional sekarang ini, diterima dan diakui sebagai pemimpin yang beramanah, bertimbang rasa dan adil serta saksama.
Ini kekuatan kita, kekuatan inilah yang perlu kita jaga. Kekuatan ini adalah rahmat, kita perlu bersyukur dengan rahmat yang ada ini yang perlu kita pelihara, adalah menjadi perkara yang amat penting bagi kita untuk kita memahami bahawasanya, amanah, tanggungjawab dan adil itu adalah sesuatu yang dikehendaki oleh agama kita, dituntut oleh agama kita supaya kita mengamalkannya dalam apa juga kerja terutama dalam perjuangan kita.
Ini kita perlu ingat, dan saya percaya inilah fakta yang akan sentiasa diperhati sejauh manakah kita ini adil dan saksama dan sejauh manakah kita ini turut bertanggungjawab, bukan hanya kepada diri kita dan bangsa kita saja tetapi kepada bangsa lain juga, kepada kaum lain juga yang telah menerima kepimpinan kita.
Saudara saudari;
Allah SWT berfirman dalam kitab suci al-Quranul Qarim (dibaca)...
Allah mengamalkan pemerintah supaya kita memelihara amanah dan laksanakan amanah itu pada siapa yang memberi amanah kepada kita dan apabila kita menghakimkan antara manusia, kita hendaklah berlaku adil dan saksama.
Mengapa Allah SWT dalam ayat itu tidak mengabaikan kita, adil hanya kepada yang beragama Islam, adil hanya yang sebangsa dengan kita, mengapa adil kepada manusia, tak kiralah sebangsa atau agama, tentu ada hikmahnya kerana orang Islam di mana-mana pun mungkin akan ada kedudukan yang menjadikannya pemimpin kepada kumpulan-kumpulan bahkan kepada bangsa dan rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Yang pentingnya ialah keadilan. Keadilan adalah sesuatu yang dikehendaki oleh sesiapa juga, manusia mahu pemimpin adil sebab keadilan itulah yang kita mesti pastikan dapat kita beri. Dan selama ini, kita adil kalau kita tak adil, kita dah dicampak sejak lama dulu lagi. Tidak ada sesuatu yang menghalang mereka untuk mengetepikan kita atau pun tak mau lagi menerima kita.
Saudara saudari;
Betul, kita adalah parti yang mewakili bangsa Melayu tentu ada hak, contohnya untuk membincang, berhujah, berdebat, berbicara serta kebimbangan mereka, keinginan mereka, aspirasi mereka, sudah semestinya kita beri perhatian, sudah semestinya kita bincang bersama untuk membuat keputusan-keputusan yang dapat beri keyakinan pada bangsa kita bahawasanya walaupun kita berperanan pemimpin bagi semua tetapi tidak lupa apa yang dikehendaki oleh orang Melayu.
Inilah rekod Umno sejak dulu lagi, sejak Umno ada dalam kerajaan untuk memelihara kepentingan dan memaju bangsa, tidak lupa kaum lain juga ada hak. Mengikut Perlembagaan mereka ada hak dan sebagai pemimpin kita tidak boleh lupa apa itu hak mereka, sebagai pemimpin kita wajib mempertahankan hak mereka kerana kita perlu mendukung Perlembagaan.
Perlembagaan adalah kontrak pertama yang telah diwajudkan hasil permuafakatan antara pemimpin pada masa dulu. Bapa-bapa kemerdekaan bukan satu usaha yang mudah, dengan mengambil kira kehendak aspirasi hak dan sebagainya tetapi mereka telah berjaya untuk dapat satu formula yang hanya diwariskan kepada kita untuk memelihara, menjaganya dan mengamalkan formula itu.
Dan kepada parti-parti komponen yang ada dalam Barisan Nasional sekarang, yang mewakili kaum Cina dan India, mereka juga begitu. Saya dan Datuk Seri Najib dan kawan-kawan lain dalam majlis tertinggi Barisan Nasional memahami perkara ini.
Mereka juga menghadapi tuntutan-tuntutan yang sama daripada golongan yang mereka wakili, golongan-golongan itu juga meminta hak mereka diiktiraf dan juga dipelihara dan dimajukan. Samalah juga, tetapi apabila semua parti sudah bersidang menghadapi masalah yang dibawa oleh kaum masing-masing dengan permintaan-permintaan tertentu, setelah didebatkan sebagainya, akhirnya apa yang dibawa serta dirunding bersama, yang diputuskan bersama, menghasilkan keputusan yang baik untuk semua.
Tidak ada semua yang dapat 100 peratus apa yang dituntut daripada dulu sampai sekarang. Tidak ada sesiapapun yang hanya dapat kosong, satu pun tidak ada pada hari itu, permohonan diputuskan dengan cara perimbangan.
Semua beritahu kepada banyak orang yang suka bertanya, tentang negara kita dan pemerintahan berkongsi kuasa ini, saya sentiasa berkata bahawa kita mengamalkan toleransi, kita mengamalkan muafakat dan kita membuat persetujuan tentang sesuatu berasaskan kepada apa terbaik untuk negara Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan untuk semua kaum.
Dan keputusan dibuat sama ada gabungan tertinggi Barisan Nasional atau pun dalam Kabinet adalah keputusan secara hikmah dan bukanlah senang untuk membuat keputusan-keputusan, cuma mereka yang telah berpengalaman dalam hal ini, sudah ada exposure, telah pun terdedah kepada perbincangan yang diadakan akan dapat memahami betapa beratnya dan betapa pentingnya tanggungjawab dipikul bersama demi kepentingan bersama.
Maka dengan itu, kepada siapa juga yang mempersoalkan apa yang telah diputuskan yang asalnya berhubung kepentingan Bumiputera dan hak-hak Bumiputera, hak istimewa dan sebagainya terutama yang termaktub dalam Perlembangan mesti mengakui ini adalah keputusan semua orang bukan hanya orang Melayu saja yang membuat keputusan itu. Inilah keputusan yang dibuat bersama pemimpin bukan Melayu dulu. Masa dulu dan masa sekarang keputusan itu masih terpelihara.
Saya ditanya mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB tidak ada lagi. DEB sudah tamat perlaksanaannya pada 1991. Tetapi dua pendekatan yang diambil sebagai pendekatan yang diharapkan akan dapat membawa kepada satu perubahan yang adil saksama bagi semua pihak iaitu pendekatan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.
Itu adalah strategi penting DEB tetapi itu bukan DEB. Kita kata itu DEB sekadar hendak mengingati diri kita tentang serampang dua mata pendekatan yang diambil, untuk menjayakan pelaksanaan dasar DEB itu, kita panggil itu DEB.
Tetapi itu bukan dasar DEB kerana dasar DEB banyak lagi tetapi dua strategi adalah penting dan saya katakan bahawa - seperti saya katakan dalam ucapan pembukaan - kita tidak perlu menimbulkan polemik mengenai perkara ini bahawa ia sepatutnya sudah selesai pada 1991 dulu.
Bukan senang ingin membasmi kemiskinan dalam masa 20 tahun, mustahil. Bukan senang untuk menyusun semula masyarakat dalam masa 20 tahun untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Sekadar 30 peratus saja, bukan senang. Yang kita kena faham, mengapa pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat itu perlu, mengapa?
Sebalik idea itu, sudah ada satu harapan bagi mereka yang membincangkan dalam penyusunan negara selepas berlakunya 13 Mei bahawa antara yang dikehendaki, antara mesej yang dapat disedut – masa itu dalam Mageran – ialah diperlukan supaya untuk kaum-kaum yang akan datang, dengan Malaysia yang akan dibangunkan, pengagihan peluang kekayaan mesti dibuat dengan adil dan saksama.
Yang kedudukannya kurang perlu dibantu, kemiskinan perlu dihapuskan kerana kemiskinan itu tidak baik. Idea yang baik, idea yang diasaskan kepada betapa perlunya untuk tahun-tahun yang akan datang selepas tahun 1970 dan 1971.
Negara mesti menjadi sebuah negara yang maju, yang berjaya, tidak ada mana-mana pihak yang terpencil kekayaan dan peluang mesti diagihkan secara adil dan saksama dan kita menentukan mengikut kaedah-kaedah, kita gunakan perangkaan dan peratus.
Dan kalau kita tidak dapat menyelesaikan apa yang dikehendaki, apa yang dihasratkan oleh semua pemimpin negara pada masa itu, tidak hanya terhad kepada Perikatan, para profesional, civil society yang mengambil bahagian, saya tahu.
Kalau ini tidak dapat diselesaikan pada 1991, adakah maknanya lupakan dia, ‘tidak payah buat lagi, habislah. Apa boleh buat kita tidak berjaya’. Bukan itu keputusan yang perlu diambil. Tak boleh begitu sebab apa yang dihasratkan sebagai satu formula yang akan dapat membantu menjaga kestabilan kehidupan yang harmoni antara kaum, perpaduan yang boleh diwujudkan bergantung juga kepada kejayaan yang boleh diperoleh daripada melaksanakan kedua-dua strategi.
Maka sebab itulah dalam Mapen yang pertama – saya juga anggotanya, saya jadi Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Masyarakat – kita bahas, kita bahas, bila saja ada mesyuarat, bahas sampai pukul tiga pagi. Dahsyat perbahasannya, kalau orang lain tengok memang takut. Takut apakah mereka ini akan berkelahi dan bertumbuk? Ya perbahasan, hujah kuat, tetapi kita sentiasa memelihara kewarasan fikiran.
Kesannya dan akhirnya kita membuat keputusan. Keputusan itu adalah penyusunan semula masyarakat sebagai strategi untuk kebaikan masa depan negara kita ini diteruskan, strategi penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan diteruskan. Di endose oleh Mapen, Majlis Perundingan Ekonomi Negara. Bukan kita buat sesuka hati. Itupun hasil muafakat dan perbincangan.
Dalam Mapen kedua pun begitu juga. Susah benar nak melaksanakan sepenuhnya matlamat penyusunan semula masyarakat. Pembasmian kemiskinan pun terpaksa diteruskan. Alhamdulillah, pada hari ini kita sudah turunkan 5.7 peratus. Mesti kita teruskan dan kita mahu supaya kemiskinan tegar itu dihapuskan pada 2010. Itu matlamat, itu keyakinan dan itu komitmen kita, tidak ada lagi kemiskinan tegar, Insya-Allah pada 2010.
Selepas itu kita boleh lupa sekejap walaupun kemiskinan secara perbandingan, relatif mungkin terus wujud. Penyusunan semula masyarakat, pembahagian yang adil dan saksama, ini bukan isu ekuiti semata-mata.
Sebab itu saya perlu terangkan perkara ini supaya dapat difahami. Kerana apa yang dipersetujui berupa persetujuan bersama yang membabitkan rakyat, pemimpin daripada berbilang kaum, bukan hanya orang Melayu.
Walaupun pada hari ini saudara baca RMK-9, kalau bacalah bukunya itu, kalau saudara ketahui tentang beberapa perkara yang ada dalam buku itu, yang berkaitan dengan kepentingan Bumiputera, kepentingan Melayu; ketahuilah, akuilah wahai saudara dan yang mendengar dan mengikuti apa yang saya cakap dalam TV sekarang ini bahawa itu adalah hasil keputusan jemaah menteri yang dalamnya ada wakil bukan daripada Umno, hasil yang diluluskan Parlimen yang terdiri bukan hanya orang Melayu saja.
Ini yang perlu kita faham. Maka dengan itu, saya berharap supaya dalam hal ini, kita mesti kekalkan cara muafakat, cara kerjasama, cara membuat keputusan sehingga pada waktu ini saya boleh katakan bahawa ini adalah cara yang terbaik, yang kita amalkan sekian lama, yang menjadikan negara kita selamat. Yang menjamin kestabilan politik, yang memberi kita kesempatan untuk memajukan negara kita, membangun bangsa dan sampai pada tahap yang kita capai pada waktu ini.
Dan kita masih mahu lagi berusaha supaya kejayaan yang lebih tinggi lagi dapat diperoleh. Itulah yang kita kehendaki.
Saudara saudari sekalian;
Demokrasi dalam negara kita ini, penaburan penduduk dalam negara kita ini memerlukan kita berfikir dan memutuskan bahawa sebaik -baik kerajaan yang kita ingin ditubuhkan, sebaik-baik kerajaan yang mempunyai kekuatan dua pertiga mestilah kerajaan yang berkongsi kuasa seperti Barisan Nasional.
Tidak ada kebolehan pada waktu ini – setakat yang saya tahu – tidak ada keupayaan bagi mana-mana kaum untuk memenangi pilihan raya dengan kekuatan dua pertiga untuk memerintah negara ini.
Jalan pilihan yang pertama dan terakhir adalah muafakat antara kaum dan sebaik-baik muafakat yang terbukti keberkesanannya dan kejayaannya adalah muafakat dalam Barisan Nasional. Inilah mesej yang ingin saya sampaikan.
Tadi, saya tanya Bendahari kita, katanya ‘daripada laporan yang saya dapat daripada pelbagai pihak, ada orang kata menakutkan, ada yang kata membimbangkan’, maklumlah reaksi orang ini berbagai-bagai reaksinya. Saya tanya tadi: “Azim (Datuk Abd Azim Datuk Mohd Zabidi)... macam mana pasaran saham kita?” Pasaran saham ini selalunya sensitif, sensitif sangat. Penganalisis ini macam-macam pandangan. Tapi tadi waktu 4.30 petang, indeks naik 1,037, Alhamdulillah sekarang sudah 1,040.
Tentulah ada keyakinan dalam diri kita ini. Kalau tak yakin, habis dibawa ke luar negara. Tetapi dia masih mahu lagi simpan wang dalam negara kita, mahu lagi melabur dan masih lagi yakin dengan cara kita menguruskan kerajaan dan pembangunan di negara kita.
Setelah mendengar suara yang begitu lantang dan keras, ada yang menakutkan dan membimbangkan ada juga suara-suara lain yang sederhana, yang memujuk dan merayu. Tapi yang pentingnya, setelah dibincang bersungguh-sungguh, bukan olok-olok. Mereka bercakap meluahkan perasaan, rasa geram, takut, marah, bimbang dan macam-macam. Tapi yang penting setelah dibahas dan diamati, apa yang perlu jadi ukuran, hasil Perhimpunan Agung Umno pada hari ini adalah usul-usul yang dibentangkan, semuanya diterima tanpa pindaan.
Itulah ukurannya. Jangan tergempar sangat dengan ucapan-ucapan yang telah dibuat. Iyalah, kita mengamalkan secara terbuka. Nak cakap cakaplah, kita nak dengar. What your problem. Bila kita cuit, bila kena sikit, memang begitu reaksinya. Takan tak begitu, saya kata kalau perkara ini selalu ditimbulkan, maka reaksi orang Melayu selalunya panas. Tetapi sentiasa terkawal.
Panas tidak membakar, marah tak berkelahi, itulah... kebijaksanaan kita waras, adil, saksama, itu yang kita mahu untuk kepentingan semua.
Dengan segala rancangan yang hendak kita jayakan di bawah Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9) kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita masing-masing. Macam-macam perkara ditimbulkan... GLC ramai juga yang cakap pasal GLC. Saya pun dah ambil rekod semua.. dan akan kita beri perhatian apa yang disuarakan oleh saudara sekalian.
Tetapi ada juga yang perlu kita laksanakan. Saya akan rasa amat sedih bukan kerana orang kritik, bukan kerana orang maki hamun saya, bukan kerana orang nak perlekeh saya... i’m not bother with that.
Tetapi yang menyedihkan saya sesedih-sedihnya jika berlaku di kalangan orang Melayu apabila berpeluang mendapat sesuatu kemudahan – lesen, kontrak apa pun...akan saya rasa kecil hati dan paling sedih kalau diserahkan kepada orang lain untuk dilaksanakan.
Tahap marah sudah hilang, tahap marah berganti sedih dan sebenarnya its a shame! Amat memalukan. Kita tidak tahu nak menghargai sesuatu yang diberikan kepada kita. Kita tak berusaha sungguh-sungguh apa yang diberikan kepada kita itu diusahakan sebaik-baiknya. Takanlah saya perlu berulang-ulang nak merayu lagi....
Sebab itu kita wujudkan Gabem (Gabungan Badan Ekonomi Melayu) dengan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Antaranya ialah ini Gabem bukan badan kerajaan tapi badan yang ditubuhkan, direstukan oleh Umno yang disertai golongan profesional dan ahli parti, macam-macam ada semua.
Antaranya untuk memerhati, mahu pastikan ketirisan itu dikurangkan sebanyak-banyaknya atau tiada langsung apabila kita jayakan RMK-9. Saya percaya yang bukan Melayu pun akan senang hati jika orang Melayu menggunakan sebaik-baiknya segala apa yang diberikan kepada mereka mengikut seperti yang dirancangkan dan kebolehan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan dan dikenal pasti.
Saudara saudari;
Saya kata bekerja bukan untuk saya. Bekerja bersama-sama saya. Inilah satu interpretasi yang perlu difahami. Saya, kawan-kawan, Datuk Seri Najib dan lain-lain nak melaksanakan pelbagai rancangan dan pelbagai program ada yang jumpa sesuatu berupa peluang yang boleh diambil oleh Bumiputera, Melayu ada yang memerlukan kerjasama mereka dan inilah yang diharapkan.
Kalau nak bekerjasama dengan saya, pastikanlah apa yang akan dilaksanakan, saudara jayakan. Inilah harapan saya. Saya tak betul, tegurlah.. tegurlah. Saya tidak pernah bimbang dengan teguran, tegurlah... beritahulah.. cadangkan apa yang perlu dilakukan.
Saya tidak persoalkan kesetiaan saudara kepada pemimpin kalau untuk kebaikan. Kita mahu tidak ada mana-mana orang yang sempurna segala-galanya, dirinya, caranya, kerjanya. Akan ada salah dan silap kadang-kadang.
Akan ada kekurangan, tapi yang pentingnya ialah, kita mesti berusaha yang kurang ditokok tambah. Yang belum buat kita buatlah. Yang tak elok kita perelokkan. Yang bengkok diluruskan. Yang kurang cekap kita tambah kecekapan. Inilah maknanya improvement dan untuk itu kita jangan lupa senantiasa menambah nilai pada diri kita.
Kita perlu menambah nilai pada diri kita jika sekiranya di masa hadapan kita mahu lebih berjaya lagi dan keupayaan kita untuk menghadapi cabaran dan mengatasi masalah dan lagi lebih kuat dari masa dulu. Itulah yang saya usahakan untuk diri saya juga.
Kalau pemimpin, dia kena pimpin. Kalau dah terlepas, tertinggal di belakang, pemimpin apa lagi. Semuanya di depan. Mesti berusaha, memahami tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala-galanya yang telah dijanjikan.
Saya berjanji dari masa ke semasa, apa yang dilakukan akan dilaporkan. Kalau orang kata ucapan Pak Lah kali ini macam membentangkan RMK-9 di Parlimen bukan macam buat ucapan dalam Perhimpunan Agung Umno, apa boleh buat. Kita tak baca laporan.
Jadi macam tu lah tabiat saya. Kalau diberi ucapan yang sudah ditulis kadang-kadang saya baca sampai naik leka. Lupa orang di depan sana. Baca macam baca khutbah. Orang kata cepatnya Pak Lah cakap, slow sangat tak dengar pulak. Minta maaflah kalau ada kekurangan dari segi penyampaiannya.
Tetapi saudara-saudara memahami tentang apa juga idea dan pandangan yang telah saya berikan, yang telah saya sampaikan. Saya telah berfikir lama. Saya ingat saya dah buat tujuh atau lapan draf ucapan baru nak sampai yang ni, barulah berani dan dibentang dan disampaikan pada saudara-saudara sekalian.
Akhir kalam, ada beberapa perkara yang perlu saya laksanakan dan tanggungjawab saya.
Yang pertama sekali saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Pengerusi Tetap kita dan kepada Timbalan Pengerusi Tetap di atas kecekapan mereka yang nampaknya semakin bertambah baik.
Juga kepada sekretariat kita diketuai olah Datuk Radzi Sheikh Ahmad.
,Kepada semua jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan untuk menjayakan perhimpunan agung kita ini. Dan juga jawatankuasa pengurusan yang Datuk Seri Najib mempengerusikannya. Ini yang baiknya jadi Presiden dan Perdana Menteri, suruh orang buat aje, tambah pula timbalan tu rajin.. lagi seronok.
Tapi Datuk Seri Najib pun tahu saya pernah buat. Dia pun ada banyak jawatankuasa, saya pun lagi banyak jawatankuasa. Tak apalah.. kita sama-sama kerja demi bangsa, agama dan negara kita.
Saya sentiasa mengatakan bahawa kita semua ini beribadat, fungsi saya dalam menjalankan kerja ini sebagai orang beribadat pada Allah SWT. Amal makruf.. itu kerja amal makruf. Dan kalau kita niat beribadat Insya-Allah akan ada pahalanya. Mudah-mudahan dilindungi Allah SWT daripada berlakunya apa-apa yang tidak baik. Kita manusia serba kekurangan, itulah kita. Dan kita ada pelbagai masalah juga yang perlu kita hadapi.
Saya terlupai minta maaf.. nanti anak saya nanti teringat, ni apa babah lupa.. inilah kali pertamanya Perhimpunan Agung Umno diadakan setelah Kak Endon tiada sepanjang setahun lamanya. Di mana saya pergi terutama pada bulan Ramadan, ahli Umno sentiasa mengadakan tahlil dan mendoakan untuknya terima kasih banyak-banyak.
Jadi, marilah sekali lagi kita berdoa kepada Allah SWT. Doa ini jangan putus-putus. Allah Taala suruh kita doa selalu. Nak berdoa caranya berdoalah bersungguh-sungguh, takut Allah tak terima doa kita. Minta kepada Tuhan, orang lain tak dengar.
Itulah caranya. Orang yang berdoa kepada Allah, bukanlah manusia yang lemah, tetapi dia manusia yang mengakui kebesaran Allah SWT yang mentakdirkan segala-galanya. Kita rancang, rancangan Allah lebih baik. Sebab itu tiada kata pemutus daripada kita, tidak ada sesuatu yang kita boleh buat, yang kita ’guarantee’ 100 peratus ia akan berlaku sebagaimana yang kita usahakan. Kita sentiasa meminta supaya kita diberi petunjuk daripada Allah, supaya kita diletakkan di atas jalan ‘Siratul Mustaqim’, jalan yang menjadi ikutan orang-orang yang mendapat nikmat daripada Allah. Kerana Allah murka orang yang sesat, yang tidak ikut landasan agamanya. Bekerja, usaha, beramal soleh, kerana jika kita sesat, Allah murka. Kita tidak mahu ikuti jalan yang serupa itu.
Jadi setelah mengetahui Allah SWT dengan segala kebesarannya, yang bersifat ‘Ar-Rahman’ dan ‘Ar-Rahim’, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Allah yang adil, kita mahu supaya kita di dunia ini, melambangkan sifat Allah SWT, yang mahu kita bersikap adil, yang mahu bersikap ‘Ar-Rahman’ dan ‘Ar-Rahim’, yang mahu menjadi penyayang, kerana Allah itu penyayang, yang perlu sabar, dalam apa jua keadaan kerana kesabaran itu adalah satu keindahan.
Dan kita mahu juga segala yang indah, yang elok, yang baik, yang cantik untuk kehidupan kita, kerana Allah SWT suka kepada yang indah dan yang cantik. Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan. Kita mesti melambangkan dalam cara kita.
Dengan itu, mari kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah dan kita selawat serta salam kepada junjungan kita, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, para sahabatnya, kaum muslimin dan muslimat.
Al-Fatihah...(semua hadirin baca surah itu bersama-sama).
|