Memacu minda Melayu secara sistematik

Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tan Sri Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Persidangan,

Sebelum meneruskan ucapan, saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan penuh terharu kepada Yang Amat Berhormat Presiden, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, di atas keyakinan beliau kepada saya sebagai timbalannya.

Panca warisan keris sakti,
Sang Saka Bangsa di tiang seri,
Alangkah terharu rasa di hati,
Atas kepercayaan yang Pak Lah beri.

Dewan Merdeka sudah ternama,
Bertemu, bersidang, ucapan dikaji,
Setia sebagai pembantu utama,
Kepada Presiden diikrar janji.


Takrif Memacu Minda Melayu

Tahun lalu, saya mengutarakan tentang Melayu Glokal, iaitu orang Melayu wajar berakar di arena nasional serta menerjah kecemerlangannya di persada internasional. Pada tahun ini, saya juruskan pula kepada pemacuan minda sebagai asas pembinaan Melayu Glokal itu. Lima elemen pemacuan minda adalah melalui pemantapan kepimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, memperkasakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memacu generasi muda Melayu.

Takrif memacu minda Melayu adalah mengasah dan mengasuh minda serta akal Melayu agar berfikir dengan kerangka betul menurut kaedah sistematik lagi berstrategi.

Saya amat tertarik kepada ucapan wakil Selangor sahabat lama saya Datuk Mufti.

Cara orang lama pukul ni lain sikit, dia menyebut tentang bagaimana sebuah negara yang diberi contoh negara Switzerland tidak ada kekayaan hasil bumi, tidak ada pokok koko tapi boleh mengeluarkan coklat yang terbaik di dunia. Malah bagi negara Switzerland bukan saja coklat, jam tangan pun yang terbaik di dunia, ubat-ubatan farmaseutikal yang terbaik pun datang dari Switzerland. Negara Switzerland tidak ada hasil bumi, cuma ada keupayaan minda yang kuat saja. Orang yang paling kaya di dunia siapa? Siapa dia? Bill Gates, dan Bill Gates kaya sebab apa kerana mampu menjana kekayaan melalui keupayaan mindanya yang kuat. Microsoft (pandai pun), InfoSys di India, saya nak kongsi cerita bagaimana pengasas syarikat InfoSys ini telah bermula dengan modal cuma AS$250 pada 1991 tetapi hari ini Mr Murthy yang menjadi tauke pemilik utama kepada syarikat Info memiliki harta sebanyak AS$1.4 bilion dalam masa 15 tahun saja. Sekali lagi terbukti penjanaan kekayaan yang paling besar ialah melalui pengupayaan minda. Soalnya, bagaimana pula kita harus lakukan.

Biasanya manusia inginkan wajah yang cantik. Ramai yang suka bersolek, tak salah kita setuju wanita bersolek, kita pun menghargai wanita yang cantik tapi empunyanya satu saja. Manusia ingin pada tubuh yang sasa, jadi berusaha untuk mengempiskan perut, manusia nak pada badan yang sihat, berusaha untuk menguatkan otot.

Tapi saudara-saudari, organ yang paling terpenting dalam tubuh badan ialah otak. Otak organ yang paling penting tapi bagaimana kita memperkayakan otak kita, yang sepatutnya dengan pemakanan berkhasiat. Terima kasih Kementerian Pelajaran tambah lagi peruntukan pemakanan. Otak yang sihat perlu dilatih dengan pemikiran lateral, proaktif, positif dan mulia. Kita perlu belajar untuk berfikir bagi merancang kehidupan menjana kekayaan, mencipta kegemilangan melalui keupayaan minda yang semakin hebat.

Saudara saudari sekalian,

Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang menyentuh beberapa perkara yang bersabit dengan tanggungjawab saya. Yang pertama, saya juga menteri Felda, jaga Felda. Wakil Terengganu minta supaya pembukaan tanah baru yang dibekukan sejak 1990 itu, barangkali boleh dicairkan. Saya ingin nyatakan bahawa saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Presiden bahawa kalau ada mana-mana negeri yang ingin menawarkan tanah kepada Felda membantu menyelesaikan masalah kemiskinan, kita sanggup membuka rancangan itu. Mungkin model itu akan dikaji, mungkin tidak model sedia kala tapi model terkini yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi.

Perwakilan Kedah bertanya tentang jawatan utama di Felda Holdings, boleh saya maklumkan dari 109 gred jawatan Pengurus Besar ke atas, 93 orang atau 85 peratus adalah terdiri daripada orang Melayu, dan bukan Melayu hanya 16 orang saja. Daripada segi jumlah kontrak Felda pula, dari tahun Januari 2005 hingga September 2006 sebanyak RM700.4 juta telah diberikan kepada 1,150 kontraktor Melayu dan hanya 192 orang kontraktor bukan Melayu.

Perwakilan Negeri Sembilan membangkitkan kejayaan membangunkan usahawan peneroka yang semakin terserlah. Sehubungan dengan ini dimaklumkan bahawa 38 peratus daripada peneroka telah berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang dengan pendapatan tambahan RM1,500 hingga RM10,000 sebulan. Di samping itu Felda telah melaksanakan Skim Insentif Usahawan Felda dengan jana RM100 juta. Dan bagi golongan generasi kedua dan ketiga, 11,000 belia Felda sedang berada dalam pelbagai IPTS dibiayai Felda supaya mereka dapat menjadi belia yang akan dapat kerja dalam ekonomi baru nanti, inysya-Allah. Maknanya Felda akan terus menjadi institusi membina bangsa Melayu yang akan kita perkukuh dan perkasa.

Sidang perwakilan sekalian,

Atas sifat saya sebagai Pengerusi Biro Pelajaran pula dan atas sifat sebagai Biro Pelajaran saya dibantu oleh dua Timbalan Pengerusi Biro Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Mustapa Mohamed. Saya ingin mengingatkan pada kita bahawa dalam dewan ini, gema suara dewan ini pada tahun sudah telah kita bangkitkan bahawa kita nak supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pendidikan kebangsaan orang Melayu dan agar dapat ditambah pengambilan pelajarnya daripada 100,00 kepada 200,000. Ini suara keramat daripada dewan perhimpunan Umno. Kita dan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Presiden, kita telah meluluskan rancangan pembesaran UiTM kepada 200,000 dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Saya boleh bagi banyak sebab mengapa kita perlu memberi tumpuan kepada UiTM tetapi saya nak beri empat sebab saja.

Yang pertama UiTM, Universiti ini Tolong Melayu,
Yang kedua, Universiti ini Tongkat Melayu,
Yang ketiga, Universiti ini Tempat Melayu,
Yang keempat, Universiti ini Tonggak Melayu.

Insya-Allah kita akan minta supaya pengurusan UiTM bersama Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan program ini dengan seberapa segera yang boleh. Malah ada juga kerajaan negeri seperti Melaka menawarkan pusat kampusnya, kita telah terima dan mula pengajiannya Disember ini. Insya-Allah di tempat lain kita akan memulakan dengan seberapa segera yang boleh, dan kalau tak cukup asrama, kita sedang mengkaji bagaimana kita boleh tambah asramanya terutamanya untuk Shah Alam.

Yang kedua, yang merupakan satu usaha di bawah Biro Pelajaran Umno, kita melihat bahawa terdapat sebuah institusi pendidikan bernama Unitar atau Universiti Tun Abdul Razak, sudah lama kita idamkan supaya sebuah universiti pendidikan ada sikit sebanyak mencerminkan imej dan lambang Umno. Saya tidak mahu menyatakan ini merupakan universiti Umno tetapi cerminan imejnya adalah berlambangkan Umno sebagai parti yang mendukung perjuangan dalam bidang pendidikan.

Menyedari akan hakikat inilah maka parti dengan persetujuan Presiden telah mengambil keputusan supaya Unitar direkayasa semula dengan diambilalih hak miliknya dari KUB kepada sebuah Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak atau Yayasan Pintar. Lembaga pemegang amanahnya terdiri daripada saya sendiri sebagai pengerusi, Datuk Seri Hishammuddin, Datuk Azim Zabidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mustapa Mohamed melambangkan bahawa universiti ini yang direkayasa akan dipacu pemimpin Umno untuk membantu dalam menyediakan modal insan seperti mana kehendak Presiden parti.

Tuan-tuan dan puan-puan, Tan Sri Pengerusi.

Beberapa wakil telah membangkitkan isu dadah. Memang ini kita dah kata musuh nombor satu kita. Memang benar ini satu masalah yang agak rumit untuk ditangani oleh kita. Begitu rumit sehingga wakil Kedah dalam ucapannya suruh kita tutup semua pusat serenti, tutup Pemadam dan tutup Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan campak semua penagih dadah ke sebuah pulau. Saya nak tanya pulau mana? Pulau Ketam di Selangor, ada orang Selangor nak bagi Pulau Ketam? Datuk MB? Pulau Dayang Bunting di Langkawi, Pulau Manukan di Sabah atau Pulau Kayak di Merbok kawasan wakil berkenaan. Jawapannya 300,000 penagih dadah 70 peratus anak Melayu perlu diselamatkan, bukan dicampakkan di atas pulau. Mereka ini kalau terbiar, tak terbela. Apa akan terjadi kepada mereka. Sebaliknya jika kita pulihkan mereka, 300,000 belia kita boleh membantu kejayaan dan pembangunan negara kita, dan dalam hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Wakil Kedah dalam ucapan utama tadi menyebut tentang peranan ibu bapa, peranan ibu bapa yang keluar dari Pusat Serenti ini sedih sebab apa cuma 30 peratus disambut oleh keluarga sendiri. Yang lain dianggap sampah masyarakat, tidak dibantu oleh ibu bapa, tidak ada kasih sayang. Sebab itulah mereka balik semula kepada menagih. Itu satu, di mana peranan kita sebagai ibu bapa? Yang kedua, saya nak sebut di sini, ada satu ubat baru yang namanya methadone dan methadone ini terbukti boleh menjadi ubat mengganti penagih dadah. Sebab itulah kerajaan telah menguji ubat Methadone ini dan kita telah mengambil keputusan untuk luaskan penggunaan ubat ini bagi menyelesaikan masalah dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, soal isu graduan menganggur pula, pada Julai 2006 statistik menunjukkan terdapat lebih 50,000 graduan menganggur. Jawatankuasa Kabinet mengenai graduan telah membuat beberapa keputusan dan sehingga 14 September lalu, sebanyak 20,281 jawatan sektor awam telah diisi bagi mengatasi pengangguran itu. Di samping itu, agensi kerajaan seperti GLC seperti Suruhanjaya Sekuriti, Khazanah, Proton, Pos Malaysia, UEM, TNB, Sime Darby, Guthrie, KWSP telah menyediakan skim latihan graduan kepada lebih 3,000 graduan menganggur. Kita juga telah melaksanakan karnival kerjaya sebagai pusat sehenti, bukan serenti untuk membolehkan graduan mencari kerja bersesuaian dengan kelulusan mereka. Di samping itu, kita menyambut saranan wakil Kelab Umno yang mencadangkan agar graduan berkaitan berusaha merebut peluang menjadi usahawan.

Datuk pengerusi tetap persidangan, perwakilan yang saya hormati.

Sedikit mengenai isu bidang pelancongan, wakil Wilayah Persekutuan telah menyebut berkenaan Tahun Melawat Malaysia (TMM). Sebenarnya, angka lebih tepat ialah sempena TMM 2007, Kementerian Pelancongan menganggarkan 20.1 juta pelancong yang akan melawat Malaysia dengan anggaran pendapatan sebanyak RM44.5 bilion dan perbelanjaan perkapita sebanyak RM2,209 manakala bagi tahun 2006 mengikut apa yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan kepada saya, anggaran ketibaan pelancong ialah seramai 17.5 juta dan kalau kita campur dua tahun ini, 2006 dan 2007, kita dapat menganggarkan Malaysia akan terima tukaran wang asing sebanyak RM81.9 bilion.

Apa yang kita nak tentukan ialah supaya dari segi pengendalian perusahaan pelancongan ini kedudukan penyertaan Bumiputera walaupun ada pada masa ini tetapi boleh ditingkatkan lagi, satu usaha sedang dilakukan melalui Bumiputera Commercial and Industrial Community Cluster Development Initiative Blue Print, Tourism and Travel Cluster, dengan izin Datuk Pengerusi Tetap. Wakil Sabah telah menyarankan supaya dikaji semula bilangan penerbangan yang telah dikurangkan untuk Sabah dan kadar bayaran yang tinggi. Betul juga kalau orang Sabah sebut, kalau nak datang ke Semenanjung ini, ‘either you fly or you swim’ (sama ada berenang atau naik kapal terbang).

Memang benar, tak ada pilihan lain, nak pandu tak boleh. Jadi saya nak maklumkan, bahawa Kabinet telah mengarahkan kalaulah pada masa dikaji semula kekerapan perkhidmatan telah dikurangkan sebanyak 134 bilangan penerbangan untuk Sabah dan Sarawak, kini jumlahnya hampir sama dengan sebelum kajian semula dilakukan oleh MAS dan AirAsia, cuma kurang 14 saja. Tentang kadar bayaran yang tinggi, kenaikan sebanyak 25 peratus, maka suatu perbincangan akan dilakukan pada minggu depan untuk cuba mengurangkan kenaikan ini agar perwakilan dari Sabah tidaklah begitu susah nak datang ke persidangan kita pada tahun hadapan.

Datuk Pengerusi Tetap,

Tentang peremajaan Umno, saya nak jelaskan ada sedikit salah tafsir tentang ucapan saya waktu saya rasmi persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri. Rupa-rupanya Puteri ini sensitif, saya ingat orang lama saja sensitif yang muda juga sensitif, saya nak nyatakan bahawa untuk menjadikan Umno terus relevan dulu kini dan selamanya, usaha peremajaan parti perlu terus dilakukan oleh itu kita mengembangkan sayap Kelab Umno ke seluruh pelosok dunia, Puteri pula semakin menyerlah sebagai sayap parti untuk mengUmnokan wanita muda Melayu. Selain itu, Putera sebagai biro dalam Pemuda adalah juga merupakan usaha peremajaan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Satu prinsip yang amat penting untuk generasi muda sama ada dalam dewan ini, ataupun di luar dewan ini, di luar negara, bahawa harta yang paling bernilai yang boleh kita serahkan, yang boleh kita wariskan kepada generasi muda ialah harta kuasa negara di tangan Umno diterajui BN. Datuk Pengerusi Tetap, perwakilan Johor telah membangkitkan soal bangsa Malaysia, saya fikir dalam soal bangsa Malaysia ini tak payahlah kita jadikan sebagai satu polemik yang hangat kerana yang penting sekali bila kita sebut bangsa Malaysia, dia tidak berpaksi kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan, dia tidak berkaitan secara khusus kepada mana-mana dasar, dia merupakan suatu konsep umum, di mana semakin hari semakin kurang rasa prejudis di antara kaum di negara kita. Semakin hari kita semakin merasakan bahawa kita satu bangsa iaitu bangsa Malaysia, peruntukan hak istimewa Melayu segala-galanya tetap akan pertahankan bangsa. Jadi pada akhirnya, tak kena kalau saya tak sentuh tentang polemik sekarang ini, antara bekas pemimpin kita dengan pemimpin kita hari ini, saya hendak sebut barangkali dalam bentuk selokalah,

Setiap pemimpin ada zamannya,
Mereka berjasa kepada rakyat pelbagai dasar telah dicuba,
Menjadikan negara kita hebat,
Bertahun-tahun negara dibina segala bakti kita kenang,
Tidak lupa pesanan lama pucuk pimpinan mesti dijulang,

Kini tiba zaman Pak Lah tiga tahun menabur jasa,
Negara ini semakin berubah memulia agama membela mangsa,
Pak Lah kita beri sokongan ahli parti mestilah sedia,
Segala barisan kita kukuhkan demi agama bangsa dan negara.


Datuk Pengerusi Tetap, sidang perwakilan.

Salah satu daripada yang kita boleh sifatkan sebagai roh dan semangat perhimpunan yang mulia dan keramat ini ialah Agenda Melayu adalah kerja utama Umno yang tidak boleh tidak mesti diperjuangkan habis-habisan. Saya ingin menyatakan di sini tidak ada soal masa untuk melunaskan Agenda Melayu, apa yang penting selagi ada daya, selagi ada upaya, patah sayap bertongkat paruh, kita akan terus menjayakannya dan apabila kita menjayakan Agenda Melayu bukan bererti kita menafikan kaum lain kerana sudah terbukti bahawa orang Melayu bijak memerintah negara kita dengan memikir untuk berkongsi kuasa dengan kaum-kaum yang lain. Ini bererti bahawa kita menghargai, mengiktiraf sumbangan semua kaum dalam pembangunan negara, tetapi bagilah hak sewajarnya kepada orang-orang Melayu.

Begitulah hikmahnya siasah negara kita, begitulah indahnya suasana politik kita, kita ingin mengingatkan bahawa lambakan hutang Melayu selama 446 tahun negara dijajah tidak mungkin dilangsai dalam tempoh 20-30 tahun saja. Oleh itu, dengan segala kudrat dan kekuatan yang ada segeralah kita sahut semboyan bangsa, marilah kita bekerja sebagai satu pasukan, ayuhlah kita bersama-sama menjayakan agenda mulia agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai.

Negara maju di bawah bayu penuh usaha ia dibina,
Mari memacu minda Melayu kata dikota janji dilaksanakan.


Selamat berjuang!

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768