Kesepakatan BN ambil kira kepentingan semua kaum

PERLEMBAGAAN negara berhubung hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi amat jelas. Begitupun, kepemimpinan negara yang diterajui Umno sejak merdeka lagi terbukti tidak pernah meminggir dan mengetepikan mana-mana kaum. Konsep kerjasama dan semangat muafakat antara kaum yang didukung oleh pakatan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) masih lagi menjadi cara terbaik sehingga mampu membangunkan negara ini ke tahap sekarang. Atas semangat itulah juga, BN yang ditunjangi Umno, sejak merdeka lagi terus diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negara ini. Seperti ditegaskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno semalam, tiada mana-mana kaum yang mampu memerintah dengan majoriti dua pertiga di negara ini secara sendirian. Semua dasar kerajaan bukan saja mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan, malah turut dibincang dengan pemimpin bukan Melayu, sama ada melalui BN atau dalam Kabinet sendiri yang turut diwakili oleh pemimpin kaum lain.

Bagaimanapun, Umno sebagai parti yang membela kepentingan Melayu dan Islam perlu menyuarakan kebimbangan apabila timbul suara-suara sumbang yang dilihat cuba mencabar kontrak sosial yang sudah dipersetujui sebelum ini. Kita percaya parti komponen BN memahami perkara itu kerana dalam persidangan mereka juga, ada ahli atau pemimpin akar umbi turut menyuarakan pandangan dan tuntutan membabitkan kepentingan kaum masing-masing. Namun, kewarasan dan kebijaksanaan pimpinan mereka setakat ini terbukti menyelesaikan sebarang isu yang timbul melalui semangat muafakat BN. Sementara orang Melayu tidak perlu bimbang dengan kedudukan mereka dan Islam, bukan Melayu juga tidak harus khuatir selagi mereka menghormati kontrak sosial seperti dimaktubkan dalam Perlembagaan. Justeru, amaran Perdana Menteri mengenai kempen dan hasutan yang boleh menjejaskan hubungan baik penduduk berbilang kaum dan agama mesti dipandang serius dan sesiapa yang terbabit perlu menghentikan serta-merta kegiatan mereka.

Kita berharap selepas ini, tiada lagi pihak yang mempertikaikan hak Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Melayu amat sensitif dengan lima perkara – agama, raja, bahasa, adat dan tanah air mereka. Bagaimanapun, sejarah membuktikan mereka boleh hidup bersama dengan kaum dan penganut agama lain seperti dituntut oleh agama Islam. Kerana itu, apabila ada pihak yang menyentuh perkara sensitif berkenaan, orang Melayu terpaksa menyuarakan pendirian mereka seperti berlaku pada Perhimpunan Agung Umno sepanjang lima hari lalu. Kita melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sihat kerana ia bukan saja mencerminkan proses keterbukaan, tetapi juga kematangan berpolitik di negara ini. Adalah lebih baik mereka bersuara di dewan persidangan daripada berarak di jalanan sehingga mencetuskan rusuhan kaum seperti berlaku di negara lain. Sejarah pertelingkahan kaum sebelum ini seharusnya lebih daripada cukup untuk dijadikan pedoman bagi mengelakkan kita daripada mengulangi kepahitannya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768