GLC mesti tolong Bumiputera raih kekayaan
KERAJAAN mahupun Umno sentiasa sedar bahawa dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera diperjuangkan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), belum dapat direalisasikan. Penguasaan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat sehingga 31 Disember 2004 sekadar 18.9 peratus saja. Pucuk kepemimpinan negara ditunjangi Umno sentiasa berusaha agar orang Melayu turut menguasai ekonomi negara. Pada Perhimpunan Agung Umno semalam, sekali lagi isu ekonomi dan geopolitik Melayu bagi menggerak dan mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara dibangkitkan. Ada yang mahu Umno menggunakan kuasa politik bagi memastikan peluang ekonomi terus diberi kepada orang Melayu termasuk menetapkan dasar tertentu berhubung peluang perniagaan bagi membantu melaksanakan strategi pembangunan untuk mencapai Wawasan 2020. Namun, ada perwakilan menyindir orang Melayu yang mempunyai tahap mentaliti kelas pertama, tetapi bersemangat kelas ketiga. Di sinilah letaknya cabaran besar memacu minda orang Melayu bagi menguasai pelbagai bentuk kekayaan baru dalam ekonomi. Justeru, orang Melayu mesti membuat anjakan paradigma bagi melipatgandakan kekayaan, bukan setakat menguasai pegangan ekuiti dan saham saja, malah menerusi penguasaan hartanah bernilai tinggi di bandar besar, instrumen kewangan, harta intelek dan aset di dalam serta luar negara.
Banyak cara boleh dibuat untuk membuka minda orang Melayu agar bergerak lebih pantas dalam ekonomi. Cadangan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan program khas membantu Melayu seperti pemberian kontrak, kemudahan latihan, bantuan pemasaran dan mewujudkan petunjuk prestasi utama dalam usaha menjayakan agenda Melayu, perlu diberi perhatian. Syarikat GLC tidak seharusnya bermatlamat untuk mencatatkan keuntungan maksimum, sebaliknya mewujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi menilai sumbangan syarikat berkenaan dalam merealisasikan Agenda Melayu, apa lagi pemegang utama sahamnya adalah kerajaan yang didukung dan dipilih rakyat. Selain itu, sudah sampai masanya diwujudkan semula Unit Penyertaan Bumiputera di semua GLC, bank dan agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Kita percaya, GLC boleh membantu menjayakan Agenda Melayu tanpa menjejaskan matlamat keuntungan syarikat secara berpatutan. Semua syarikat berkenaan harus menyediakan pelbagai program secara berterusan dan jika boleh memberikan peruntukan besar untuk program Masyarakat Perdagangan dan Perniagaan Bumiputera (MPPB). Sebagai contoh, Rancangan Pembangunan Koridor Utara, Timur dan Selatan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang turut disertai GLC harus memberi manfaat semaksimum mungkin kepada orang Melayu keseluruhannya. Keputusan membabitkan GLC dalam projek pembangunan pembangunan wilayah dan hartanah adalah langkah bijak yang diharap membawa sinar baru kepada pengusaha Melayu.
Dalam pada itu, ketika ekuiti Melayu meningkat, pemilikan masyarakat peniaga bukan Melayu terutama Cina turut berkembang. Dalam konteks ini, kaum lain seharusnya bersama-sama menjadi rakan kongsi tulen bagi menggembleng tenaga membangun ekonomi negara. Memang diakui kuasa politik ada di tangan Melayu, tetapi kuasa ekonomi masih di tangan bangsa asing. Pucuk pimpinan parti dan menteri Melayu seharusnya menggunakan kuasa untuk menjaga kepentingan ekonomi Melayu yang masih jauh ketinggalan. Bagaimanapun, setiap keputusan dan ketetapan mesti dibuat berdasarkan undang-undang termaktub dalam Perlembagaan termasuk menyentuh kontrak sosial dipersetujui bersama.
|