Meniti Arus: Usah biar isu kontrak sosial gugat perpaduan
PERHIMPUNAN Agung Umno 2006 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur memancarkan satu mesej penting dan jelas berhubung landasan pemerintahan negara.
Mesej itu ialah: Kontrak sosial yang sudah dipersetujui oleh pemimpin awal pelbagai kaum untuk menjamin keharmonian sosial, kestabilan politik dan kelangsungan sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat akan dikekalkan dan tidak akan diganggu gugat.
Kontrak berkenaan menggambarkan pengakuan rakyat bukan Melayu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk peribumi negara ini dan pengiktirafan orang Melayu terhadap orang bukan Melayu sebagai warganegara, dimaktubkan di bawah beberapa fasal dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan kemudian dikekalkan dalam Perlembagaan Malaysia. Kontrak itu juga mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negara, di samping jaminan kebebasan beragama kepada orang bukan Melayu yang tidak beragama Islam.
Berdasarkan kepada formula ini, pelbagai dasar dan program afirmatif dirangka untuk meningkatkan kedudukan dan status ekonomi serta sosial orang Melayu yang jauh ketinggalan daripada kaum lain ketika negara mencapai kemerdekaan. Antara dasar itu ialah Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru yang kemudian digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Wawasan 2020.
Sebenarnya inilah satu-satunya formula penting yang secara langsung menjamin kejayaan negara sejak hampir 50 tahun lalu, sama ada dari segi pembangunan fizikal, pendidikan, ekonomi atau perpaduan serta keharmonian kaum yang dicemburui banyak negara, terutama negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik atau bermasyarakat majmuk.
Malangnya sejak kebelakangan ini kontrak itu sudah dipersoalkan oleh pihak tertentu, terutama golongan muda bukan Melayu yang mungkin tidak mengetahui latar belakang dan sejarah perjanjian itu.
Perkataan ‘agenda Melayu’ secara khusus tidak tercatat dalam mana-mana dokumen rasmi kerajaan berhubung perkara itu. Di samping kecenderungan mengungkit kontrak yang sudah dipersetujui sejak sekian lama, ada pula suara sumbang seolah-olah mahu menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Di kalangan orang Melayu pula, ada sesetengah pihak menunjukkan sikap tidak toleran terhadap agama lain. Ada yang mendakwa bahawa suara sumbang ini timbul kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada dasar keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan sekarang.
Berdasarkan kepada latar belakang ini, maka mesej jelas serta tegas yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno semalam dan oleh timbalan beliau Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Isnin lalu serta ucapan wakil negeri ketika perbahasan bukan saja tepat pada masanya, tetapi juga harus diambil ingatan oleh semua pihak.
Sambil mengingatkan semua pihak agar berpegang teguh kepada kontrak sosial yang sudah dipersetujui pada peringkat awal pembentukan negara, Abdullah memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan undang-undang ke atas pihak yang terus mempertikaikan kontrak itu.
Tegas beliau, “Jika perjanjian ini mahu dirombak, atau cuba dipertikaikan secara berterusan, kita sebenarnya menghadapi risiko menjejaskan kestabilan dan keharmonian. Kita tidak boleh membenarkan ini berlaku. Akibatnya adalah mala petaka.”
Najib pula memberi jaminan bahawa Umno akan teguh dengan pendiriannya sebagai pembela Islam dan parti itu menentang sekeras-kerasnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang boleh menggugat keharmonian di negara ini.
Jaminan lain ialah: Semangat Dasar Ekonomi Baru dan program afirmatif akan diteruskan tanpa sebarang had masa. “Selagi belum berjaya, selagi itulah kita akan terus berusaha dengan segala kuasa dan kudrat yang ada demi membela nasib bangsa. Apa yang kita tuntut adalah hak kita dan hak sebagai sebuah bangsa tanpa menafikan hak kaum lain,” jelas Najib.
Meskipun mungkin ada di kalangan pembahas yang berucap menyuarakan pendapat masing-masing secara emosional, ini tidak seharusnya disalahertikan atau menyinggung perasaan mana-mana pihak terutama orang bukan Melayu.
Harus difahami bahawa Perhimpunan Agung Umno adalah satu-satunya perhimpunan tahunan terbesar di kalangan orang Melayu di negara ini dan oleh itu kadang kala pembahas perlu juga mengikut rentak galeri untuk mendapat perhatian.
Apa yang penting ialah inti pati tuntutan mereka yang mahukan status quo sedia ada dikekalkan dan jangan ada pihak yang terus mahu mengganggu gugat kedudukan ini.
Dalam hubungan ini amaran dan jaminan Abdullah dan Najib harus menggembirakan semua pihak, kecuali mereka yang memang mempunyai kecenderungan melampau.
Orang Melayu boleh menarik nafas lega bahawa hak mereka dari segi ekonomi dan kedudukan agama mereka akan terus terjamin, sementara orang bukan Melayu terus boleh mencari kekayaan tanpa diganggu gugat. Tiada sesiapa yang berhak meminta lebih daripada apa yang dipersetujui.
Apa yang penting ialah orang bukan Melayu boleh terus mencari rezeki dan mengaut sebanyak mungkin kekayaan berdasarkan kemampuan masing-masing tanpa sesiapa berhak merampas hak mereka. Orang Melayu dan rakyat miskin di kalangan bukan Melayu pula akan terus dibantu untuk membolehkan mereka bersaing secara lebih adil pada satu hari nanti.
Semua pihak juga harus yakin bahawa jika formula ini berjaya memacu negara ke arah pencapaian hebat dalam tempoh hampir lima dekad yang lalu, tiada sebab kenapa ia akan gagal untuk tempoh 13 tahun akan datang sebelum negara mencapai status negara maju.
Penulis, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara.
|