Melayu patut kaji, nilai kesilapan

Kritikan terhadap bangsa lain tidak membantu selesai masalah

ORANG Melayu sukar mencapai kehebatan dan kecemerlangan dalam ekonomi hanya dengan mengkritik bangsa lain, sebaliknya mesti berubah dan bekerja keras bagi membuktikan bahawa bangsa yang menjadi tulang belakang kekuatan pemerintahan Malaysia, mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain baik di dalam negara, mahu pun di gelanggang antarabangsa.

Pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang masuk hari ketiga semalam, banyak isu berkaitan ekonomi dan sikap orang Melayu mendapat perhatian perwakilan. Mereka berucap sambil mengeluarkan pendapat untuk memastikan bangsa Melayu terus menjana dan memperkasakan ekonomi negara agar tidak ketinggalan dan terpinggir.

Perbahasan mengenai agenda Melayu mahu tidak mahu pasti menyentuh mengenai ‘masalah’ dihadapi anak bangsa peribumi yang mempunyai hak tidak boleh dipertikaikan seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Ada yang menyuarakan keresahan mengenai isu dan agenda Melayu yang jarang lari daripada fakta sama sejak bertahun-tahun lalu, malah ada perwakilan bertegas bahawa bangsa Melayu tidak perlu bersikap apologetic atau ‘defensive’ apabila bersuara mengenai hak sebagai bangsa peribumi.

Agenda Ekonomi Melayu bermaksud membuat sesuatu dasar dan melaksanakan kepentingan ekonomi dan hak orang Melayu. Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu langkah kerajaan dalam melaksanakan agenda berkenaan.

Kerajaan sudah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang membabitkan program DEB bermatlamat untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional.

Ia digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Proses penyusunan semula masyarakat ini membabitkan pemodenan cara hidup penduduk luar bandar, pertumbuhan pesat dan seimbang kegiatan di bandar. DEB juga mempunyai matlamat agar sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera tercapai.

Dalam hal ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, ketika ditemui di PWTC semalam berpendapat sudah tiba masanya untuk ahli Umno bermuhasabah diri bagi menilai kesilapan, kekurangan dan kemampuan diri.

“Hala tuju kita sudah pun ditetapkan oleh pemimpin tertinggi iaitu untuk menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang yang memiliki mentaliti kelas pertama, serta menghasilkan Melayu Glokal seperti disebut Timbalan Presiden.

“Tetapi kita tidak akan mencapai kehebatan itu jika setiap kali perhimpunan agung, kita mengkritik orang lain, sebaliknya kita boleh mencapai kehebatan itu jika kita berubah terutama minda,” katanya ketika diminta menilai mutu dan kandungan perbahasan sejak tiga hari lalu.

Majoriti pembahas mengeluarkan fakta sama yang sudah diketahui umum sejak sekian lama, baik membabitkan isu pendidikan dan agihan ekonomi yang masih belum memihak kepada bangsa Melayu sejak dulu lagi.

Mengikut rentak Pergerakan Pemuda Umno, ramai yang berdebat mengenai tindakan segelintir bukan Melayu yang semakin berani mempertikaikan hak bangsa Melayu, rata-rata menegaskan hak yang memang termaktub dalam Perlembagaan, sepatutnya dijunjung semua kaum.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, menegaskan walaupun Melayu mempunyai ramai usahawan berjaya, namun jumlah yang ada masih belum mencukupi.

“Kita perlu membantu ramai lagi bangsa Melayu dan melengkapkan diri mereka untuk menjadi usahawan besar yang berjaya. Bukan senang untuk mencapai kejayaan dalam sekelip mata. Ia memerlukan kerja keras dan perubahan sikap,” kata Khaled.

Naib Ketua Bahagian Kepong, Datok Mohd Husin Anwar, bagaimanapun, berkata bantuan yang diberi tidak boleh keterlaluan kerana ia hanya membuatkan usahawan yang bakal lahir akan terus berharap bantuan daripada kerajaan terus mengalir kepada mereka hingga terlupa untuk berusaha sendiri dan bersaing dengan bangsa lain.

“Kita tidak boleh menafikan kemungkinan 80 peratus ekonomi negara berada di tangan bangsa asing, tapi hakikat ialah hampir semua projek membabitkan tender daripada kerajaan kecuali projek mega diberi kepada syarikat Bumiputera.

“Cuba cari kontrak mana yang tidak diperolehi syarikat Bumiputera. Tapi masalahnya ialah seperti yang didedahkan pembahas ‘asyik dia saja yang dapat’,” katanya mendakwa ada sesetengah projek diberi kepada pengusaha Bumiputera yang mempunyai hubungan rapat dengan pembuat keputusan.

Bagaimanapun, ramai pembahas menegur pihak yang mempertikaikan hak keistimewaan yang memang menjadi hak Melayu sebagai bangsa peribumi.

Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, kelihatan marah apabila bercerita mengenai harga bilik hotel sekitar ibu kota melambung sehingga tiga kali ganda sepanjang perhimpunan agung berlangsung.

“Memanglah ia boleh dianggap ‘peak season’ tapi ia membabitkan Persidangan Agung Umno, mengapa pemilik hotel jika tidak boleh memberi diskaun pun mengenakan harga pada kadar biasa kepada perwakilan dan pemerhati parti. Kita bukan meminta ‘sedekah’, kita boleh membayar harga dikenakan tetapi amat janggal apabila harga dinaikkan sampai tiga kali ganda setiap kali Umno mengadakan perhimpunan agung,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Umno Terengganu terkejut melihat harga mahal dikenakan bagi hotel yang sekadar bertaraf dua atau tiga bintang yang disewa oleh perwakilan.

Kembali kepada isu yang lebih serius, Wan Hisham bersetuju dengan pendapat ramai bahawa desakan kaum lain supaya bangsa Melayu mengamal sikap telus boleh membakar diri sekiranya kerajaan mengambil pendekatan sama ke atas mereka.

“Jika kita (bangsa Melayu) diminta telus, kita juga hendak mengetahui jumlah pegangan sebenar bangsa lain dalam ekonomi negara, begitu juga siapa yang menjadi kakitangan di syarikat milik mereka dan apakah mereka menyanjung semangat perpaduan yang kita laungkan selama ini,” katanya mengenai isu yang sentiasa disenarai sebagai sensitif di negara ini.

Tapi kembali kepada nasihat Menteri Besar Terengganu, keistimewaan yang menjadikan Malaysia unik selama ini adalah kekuatannya dapat menghasil suasana aman, damai dan harmoni di kalangan penduduk pelbagai kaum.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768