Anjakan minda, transformasi pertingkatkan martabat bangsa

BERTEMAKAN ‘Kata Dikota’ dan mengulangi 12 gagasan kepemimpinannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat terutama ahli Umno melakukan, transformasi, bukan saja di bidang ekonomi dan pendidikan, malah anjakan minda untuk bersama-sama menjayakan Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno, semalam memperlihatkan kesungguhan supaya rakyat bersama-sama membangunkan modal insan bagi memperlengkapkan diri menghadapi dunia global dengan berbekalkan warga berkualiti, kreatif dan inovatif yang menjadi teras budaya kelas pertama. Ini penting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan menerusi penerokaan sumber baru agar pengagihan pembangunan di luar bandar dan pemodenan sektor pertanian dapat direalisasikan. Dengan kesedaran dan keazaman, rakyat akan berganding bahu untuk memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu di bandar, malah tersebar ke kawasan pedalaman sehingga perbezaan taraf hidup penduduk bandar dan luar bandar tidak ketara.

Impian Perdana Menteri yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara berminda terbuka, dikenali seluruh dunia sebagai pusat perdagangan, kewangan, pelancongan pembangunan pendidikan dan tamadun akan tercapai jika rakyat, tanpa mengira kaum bersedia bekerja dalam satu pasukan, mengutamakan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Ketika kerajaan terus berusaha membasmi kemiskinan dan menjana pembangunan seimbang, kita sebagai rakyat harus berusaha memastikan apabila fajar menyingsing pada 2020 kelak, tiada lagi di antara kita diidentifikasikan dengan kemiskinan dan kemunduran. Pesanan azimat beliau ‘bekerja bersama-sama saya dan bukan bekerja untuk saya’ membuktikan keikhlasan dan keyakinan kerajaan mengenai pentingnya sumbangan sektor swasta membantu menjana pertumbuhan ekonomi seperti yang terkandung dalam RMK-9. Namun, kerjasama awam – swasta akan terhalang jika usaha meningkatkan prestasi sektor awam, terutama memperbaiki sistem penyampaian bagi membantu sektor swasta, diabaikan. Justeru, amat penting sektor awam mempunyai kakitangan yang bekerja dengan cekap dan ikhlas untuk membantu sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi. Begitu juga dengan usaha memerangi rasuah, yang memerlukan komitmen semua pihak. Usaha memeranginya tidak memberi impak jika sekadar menangkap dan mendakwa. Sebagai rakyat, kita harus menerapkan slogan antirasuah di dalam diri sehingga kita tidak mudah dipengaruhi wang ringgit dalam membuat pertimbangan.

Ucapan dasar Presiden Umno selama satu setengah jam itu adalah amanat penting kepada bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya ke arah mewujud dan mengekalkan keharmonian dan perpaduan nasional. Semangat bersatu dalam perjuangan dan perkongsian kuasa adalah tunjang kekuatan negara bangsa. Jawapan beliau mengenai pelbagai kritikan terhadap kepemimpinannya selama ini seharusnya menjernihkan kekeliruan yang bermain di kepala sesetengah rakyat, terutama ahli Umno sendiri. Dengan itu, mulai sekarang mereka harus memberi tumpuan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan RMK-9 dan mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru. Kepada orang Melayu dan ahli Umno, jadikan perhimpunan agung kali ini sebagai titik tolak untuk mereka mengatur langkah bersama-sama pucuk pimpinan bagi meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, yang masih belum selesai.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768