Ketua bahagian mesti telus agih projek di luar bandar
PERUNTUKAN tambahan RM600 juta yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin bagi melaksanakan projek kecil luar bandar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menyediakan kemudahan asas bagi keselesaan rakyat. Peruntukan itu, yang akan disalurkan menerusi Umno bahagian juga bertujuan membantu menggerak dan mengaktifkan semula kontraktor kelas F yang selama ini mengeluh kerana tidak mendapat projek. Kontraktor kelas F, majoritinya Melayu adalah sebahagian daripada usahawan Bumiputera yang menjadi tulang belakang penjanaan ekonomi negara. Mereka adalah rakan kongsi pembangunan. Kita berharap mereka yang diberi projek itu nanti membalasnya dengan kesungguhan dan keikhlasan untuk menyiapkan kerja yang diamanahkan. Umno bahagian yang diberi tanggungjawab memantau harus memastikan setiap projek kecil itu dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual.
Kita katakan demikian kerana tidak semua kontraktor Bumiputera bersikap dedikasi dan melaksanakan sendiri projek yang ditawarkan. Ada juga kontraktor kelas F menjual projek bernilai kurang RM200,000 yang diperoleh melalui sistem pembahagian secara adil oleh Pejabat Daerah atau Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada orang lain termasuk bukan Bumiputera. Tindakan sesetengah kontraktor yang mengambil sebahagian kecil keuntungan daripada keseluruhan nilai projek, tanpa perlu bersusah payah menyiapkan projek berkenaan, harus dibendung. Perbuatan mereka yang dianggap ‘makan kuah’ itu adalah satu pengkhianatan kepada rakyat, parti dan kerajaan. Kita berharap selepas ini tiada lagi sungutan kononnya kontraktor kelas F tidak mendapat kerja daripada RMK-9. Kita juga tidak mahu mendengar peruntukan yang diagihkan itu tidak sampai ke matlamatnya iaitu membangunkan kawasan luar bandar dan membantu kontraktor kecil meneruskan kegiatan mereka.
Bagi memastikan setiap projek kecil ini dilaksanakan dengan lancar, pegawai kerajaan pada peringkat daerah perlu sentiasa turun padang. Ketua bahagian yang diberi amanah mengagihkan kontrak pula tidak harus membolot semua atau diberi kepada kaum kerabat dan orang tertentu saja. Biarlah pembahagian dibuat cara adil dan saksama tanpa bersikap pilih kasih. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat seramai mungkin kontraktor kelas F yang kebanyakannya Bumiputera terus berdaya maju dan mampu bersaing dengan pihak lain. Pihak yang menguruskan bayaran kepada kontraktor pula perlu mengelakkan kerenah birokrasi, sebaliknya menyegerakan pembayaran sebaik saja kerja mereka disiapkan dengan sempurna. Ini akan mendorong kontraktor berkenaan menjalankan kerja kontrak dengan lebih baik pada masa depan.
Untuk memastikan ketelusan, pemimpin masyarakat peringkat kampung dan mukim harus dibenar mempamerkan nama kontraktor dan senarai projek yang dilaksanakan di kawasan masing-masing termasuk jumlah peruntukan supaya mudah dijadikan rujukan penduduk. Senarai itu boleh dipamerkan di balai raya atau masjid bagi membolehkan penduduk mengikuti perkembangan semasa pembangunan di kampung sendiri. Ini penting kerana ada kalanya penduduk kurang menyedari kemudahan yang sudah dan sedang dilaksanakan di kawasan mereka.
|