Minda Lestari: Melayu patut ubah cara, gaya pemikiran

MEMACU Minda Melayu – tema ucapan Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno adalah garis kasar modus operandi untuk membolehkan orang Melayu maju ke hadapan dengan lebih terancang menerusi lima teras utama ke arah penyuburan fikiran sebagai kunci kejayaan.

Timbalan Presiden Umno menjelaskan bahawa minda Melayu perlu digerakkan melalui lima teras iaitu pemantapan kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memastikan kecemerlangan generasi muda.

Keupayaan minda yang mantap dan hebat membolehkan pelbagai cabaran dan masalah ditangani secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi. Oleh itu, menurut Najib lagi, minda orang Melayu wajar diasah dan diasuh sepanjang masa agar mereka berfikiran matang bagi menjauhi pertelagahan, mencintai keharmonian dan mencipta kegemilangan. Hanya dengan kerangka minda yang betul, bangsa Melayu mampu bersaing pada peringkat global yang semakin mencabar.

Demikian inti pati ucapan beliau dalam konteks mempersiapkan orang Melayu mengharungi pelbagai cabaran zaman pada era pasca 9/11. Yang menariknya, apabila memulakan ucapan mengenai pertarungan masa hadapan – iaitu pertarungan minda – Najib bertitik tolak daripada Surah al-Anfal ayat 60, yang mana Allah SWT menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya membuat persiapan secukupnya dengan segala bentuk kekuatan untuk menghadapi musuh di medan peperangan atau pertarungan.

Ini ditokok dengan mengemukakan sebuah hadis sahih mengenai seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, kedua-dua sumber utama ajaran Islam ini menjelaskan bahawa orang Melayu dituntut sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan segala bentuk kekuatan bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Dan cabaran yang paling besar ialah mempersiapkan keupayaan minda bagi membolehkan orang Melayu menggarap, mena’akul dan mencerap pelbagai permasalahan secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi.

Dalam konteks ini, minda orang Melayu juga wajar diasah dan diasuh agar berfikir menjauhi pertelagahan, mencintai keharmonian dan sentiasa berusaha untuk mencipta kegemilangan.

Najib juga menyanggah mitos popular bahawa tabii manusia dilahirkan dengan genetik tertentu bersama saiz dan potensi otak serta keupayaan yang tidak boleh diubah lagi. Beliau dengan tegas mengemukakan fakta saintifik bahawa otak ialah organ yang sentiasa berkembang.

Keupayaan serta keanjalannya boleh terus dibina melalui pemakanan, latihan dan pendidikan yang sempurna. Untuk maju maka orang Melayu perlu menggunakan kapasiti minda ke tahap optimum untuk bertarung dan beraksi di gelanggang dunia. Sesungguhnya, menurut Najib lagi, pertarungan pada masa kini dan masa hadapan adalah pertarungan minda.

Persoalan mengenai latihan dan pengembangan minda adalah persoalan yang memang sering kali dibahaskan dalam pelbagai arena dan media, tidak terhad kepada perbahasan akademik. Perbahasan minda itu juga kerap dikaitkan dengan sesuatu kerangka dan falsafah, misalnya minda lestari yang menjurus kepada pelestarian alam sekitar atau minda Melayu yang menjadikan orang Melayu sebagai kelompok sasaran.

Yang jelas, minda tidak akan berubah secara semula jadi atau tanpa dirancang. Minda boleh diubah dan dikembangkan menerusi proses pembelajaran, latihan dan kaedah. Secara asasnya minda boleh dikembang dengan mengadunkan pelbagai konsep seperti pemikiran positif, pemikiran lateral, pemikiran proaktif, pemikiran lestari dan pemikiran mulia.

Dalam hal ini, kita seharusnya memacu minda Melayu dengan pemikiran yang berdaya maju, cemerlang dan matang. Najib menggariskan bahawa pembinaan minda Melayu harus digarap menerusi kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memacu minda generasi muda.

Kepemimpinan transformasi berkait rapat dengan pembinaan kepemimpinan yang mantap sebagai asas kepada pembentukan sesuatu tamadun. Kepemimpinan transformasi, kata Timbalan Perdana Menteri bermaksud keupayaan seorang pemimpin untuk menterjemahkan visi dan misinya dalam bentuk tindakan kepada mereka yang dipimpinnya yang menjana penambahbaikan ketara sehingga sesebuah masyarakat ditransformasi menurut visi dan misi kepemimpinan itu.

Memang orang Melayu memerlukan pimpinan yang mantap dan tidak mudah diganggu gugat. Itulah sebabnya Najib mengingatkan kita mengenai tradisi Melayu dalam konteks Umno yang menjadikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.

Namun demikian, tradisi Umno juga mementingkan musyawarah untuk menjamin perpaduan yang memberi peluang kepada pelbagai peringkat menyuarakan pandangan menerusi pelbagai wahana. Hal ini menjadi unsur penting dalam pembinaan minda Melayu pasca kemerdekaan.

Yang jelas, ucapan Najib itu seharusnya menyedarkan kita bahawa perjuangan dan pemerkasaan Melayu hanya boleh dijayakan jika pembinaan minda yang mantap dan proaktif yang mengamalkan budaya cemerlang dilakukan terlebih dulu. Minda mantap dan proaktif inilah yang menjana Melayu Glokal, iaitu Melayu yang berakar nasional namun akalnya menerjah ke persada antarabangsa.

Klimaks kepada ucapan Najib itu juga mengingatkan orang Melayu bahawa perubahan besar perlu dilakukan kepada cara dan gaya pemikiran dengan meninggalkan corak pemikiran yang kolot dalam konteks kefahaman Islam.

Kita mesti menjadi umat yang terbaik dan terbilang yang mampu membina tamadun yang hebat demi kesejahteraan serta hasanah di dunia dan hasanah di akhirat.

INFO
5 teras memacu minda Melayu


  • Pemantapan kepemimpinan transformasi
  • Bekerja sebagai satu pasukan
  • Menjayakan agenda Melayu
  • Mempertahankan akidah
  • Memacu minda generasi muda

    Penulis ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli di Universiti Teknologi Malaysia. Emel: zaini@utm.my


  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768