Gelombang muafakat perkukuh Umno

Keseluruhan perwakilan perlu tingkat iltizam bekerja bersama Presiden

BERMULA hari ini hingga Jumaat, lebih 2,500 perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2006 bersidang untuk membahas agenda dan isu kemajuan bangsa dan negara.

Tentunya perwakilan datang dengan perasaan berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, merangkap Perdana Menteri kerana sebahagian besar daripada usul Perhimpunan Agung Umno 2005 sudah diambil tindakan oleh beliau dengan memasukkannya ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang membabitkan peruntukan RM220 bilion.

Ada pula usul dan syor yang diambil tindakan menerusi Jawatankuasa Teknikal Agenda Melayu Umno (Agenda K-12) yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Maknanya usul, syor dan saranan Perhimpunan Agung Umno 2005 yang amat bernas tidak terbengkalai begitu saja tanpa diambil tindakan.

Hari ini juga genaplah tiga tahun lima belas hari Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan pada 31 Oktober 2003. Tidak dinafikan ada pandangan rakyat yang memuji pencapaian beliau setakat ini dan ada yang mengkritik.

Namun, paling penting adalah sebarang penilaian perlu berdasarkan metodologi penyelidikan yang saintifik dan bukan semata-mata bersandarkan kepada cakap-cakap orang atau pendapat yang tidak objektif.

Di dalam konteks itu, Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM) menerusi penyelidikan saintifik seluruh negara mendapati bahawa 88 peratus rakyat yakin masa depan negara adalah cerah di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Jika diterjemah tahap keyakinan itu kepada undi pilihan raya umum, Barisan Nasional (BN) dan Umno dijangka mengekalkan kemenangan besar melebihi majoriti dua pertiga yang dicapai pada pilihan raya ke-11.

Menyedari persepsi rakyat, ahli Umno sewajarnya bersyukur bahawa pendekatan kepemimpinan Perdana Menteri yang fokus kepada agenda pembangunan, berjaya memikat hati rakyat. Rakyat melihat ketenangan dan kesabaran Perdana Menteri menghadapi pelbagai isu sebagai satu kekuatan.

Yang jelas, dalam tempoh begitu singkat Perdana Menteri tidak membiarkan negara teraba-raba mencari arah dan hala tuju.

Beliau melakarkan agenda pembangunan yang jelas dan konkrit bermula dengan landasan 12 janji manifesto pilihan raya yang diterjemahkan menjadi agenda RMK-9 dan Lima Teras Utama Misi Nasional serta 10 Prinsip Islam Hadhari.

Bagi mereka yang bertanya mengapa rakyat begitu yakin kepada kepemimpinan Perdana Menteri, adalah wajar direnung kompilasi ringkas YKSM serta Akademi Wakil Rakyat Malaysia (AWRA) mengenai begitu banyak pencapaian atau kemajuan agenda pembangunan negara yang dipacu Perdana Menteri yang sebahagiannya dirangkum dalam komitmen RM220 bilion dalam RMK-9. Senarai awal yang sempat dinukilkan adalah:

  • Pengurangan defisit negara daripada 5.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2004 kepada 3.8 peratus (2005) dan 3.5 peratus (2006).

  • Lonjakan perdana pertanian baru membabitkan penjanaan pendapatan berjumlah RM17.3 bilion, 76,000 usahawan tani dan 88,000 hektar tanah.

  • Memperkasa Bina Upaya Modal Insan dengan mewujudkan Kementerian Pengajian Tinggi dan menamakan semula Kementerian Pelajaran, meluluskan Universiti Kelantan, Universiti Terengganu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Program Memperkasa Tenaga Muda (PMTM),pewujudan Jawatankuasa Petugas Pembasmian Pengangguran Siswazah Menganggur dan lain-lain.

  • Penekanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan membabitkan RM22 bilion dan 47,000 keluarga miskin tegar.

  • Pengukuhan Integriti dan usaha Pencegahan Rasuah menerusi pewujudan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai integriti, Pelan Integriti Nasional, Institut Integriti Negeri, Institut Integriti Malaysia, Perisytiharan Hari Integriti Negara, pendedahan kes rasuah berprofil tinggi, dan lain-lain

  • Menjamin keseimbangan Pembangunan Wilayah menerusi penggalakan pelaburan swasta untuk Pembangunan Koridor Utara, Selatan, Timur dan Sabah/Sarawak. Setakat ini ia membabitkan belanjawan pembangunan bernilai RM95 bilion untuk Koridor Utara dan Koridor Selatan yang kini di kenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

  • Globalisasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi pelaburan antarabangsa berjumlah RM17.3 bilion dalam tempoh tiga tahun terkini membabitkan negara Asean, India, China, Asia Barat dan Eropah.

  • Pencapaian agenda antarabangsa dengan melanjutkan dua tahun lagi tempoh Pengerusi OIC kepada Abdullah, pemeteraian perjanjian pembekalan 100,000 enjin Proton dan kontrak RM94 bilion pembekalan gas ke China, dan lain-lain.

  • Peningkatan kualiti khidmat awam menerusi pewujudan sistem pemantauan skor kad Wakil Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri, pewujudan Pasukan Petugas Pelaksanaan Negara, Direktorat Pelaksanaan Negara, Pembentukan Suruhanjaya Penambaikan Pasukan Polis Diraja Malaysia, dan lain-lain.

  • Menggandakan usaha membendung gejala sosial berlandaskan Dasar Sosial Negara dan Penubuhan Institut Sosial Malaysia.

  • Mempertahan perpaduan rakyat dengan meletakkan Jabatan Perpaduan Negara terus di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk Perpaduan dan perlaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Nasional.

  • Pengurangan jurang ekonomi umpamanya menerusi inisiatif Yayasan Hartanah Bumiputera dengan peruntukan RM2 bilion, agenda Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Baru (MPPB2), perisytiharan struktur guna tenaga korporat perlu melambangkan struktur komposisi bangsa serta kaum dan lain-lain.

  • Memacu Manhaj Islam Hadhari menerusi perlaksanaan 10 Prinsip Manhaj Islam Hadhari dan lain-lain

  • Pengagihan peluang ekonomi umpamanya menerusi SME Bank yang memperuntukkan RM2 bilion untuk pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (IKS), RM1.3 bilion kontrak kecil untuk Kontraktor kelas F dan lain-lain.

  • Menambah baik prasarana rakyat umpamanya Jambatan Pulau Pinang ke-2, pembesaran Lebuhraya Utara Selatan, penambahbaikan pengangkutan awam Lembah Klang, onorel Pulau Pinang, pemindahan Air Pahang-Selangor dan lain-lain.

    Jelas, rakyat amat matang menilai kepemimpinan Perdana Menteri walaupun ada waktunya mereka menerima kesan krisis kenaikan harga minyak global yang turut melanda iklim ekonomi negara.

    Hasil kajian saintifik yang menunjukkan tingginya tahap keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri jelas menunjukkan majoriti rakyat menerima dengan hati terbuka segala penjelasan Perdana Menteri berkaitan isu semasa yang dibangkitkan pelbagai pihak.

    Menyedari hakikat ini, pencapaian Presiden Umno sewajarnya disyukuri seperti seruan Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya jika kamu bersyukur Aku akan menambah lagi nikmat Ku di atas kamu dan sekiranya kamu kufur , ingatlah bahawa azab Ku amat pedih sekali.“ Seiringan rasa syukur itu, Perwakilan Perhimpunan perlu meningkatkan iltizam untuk ‘berkerja bersama Presiden dan bukan untuk Presiden’ dengan penuh jujur dan amanah untuk membantu kerajaan memastikan lima teras RMK-9, 10 Prinsip Islam Hadhari dan 12 ikrar manifesto pilihan raya dapat dilaksanakan dengan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

    Berpandukan pepatah Melayu ‘muafakat membawa berkat’, majoriti rakyat mengharapkan semoga perhimpunan Umno kali ini turut menjadi wahana untuk memperkukuhkan kejituan semangat persaudaraan dan muafakat seluruh saf kepemimpinan Umno.

    ‘Gelombang Muafakat’ inilah yang membolehkan Datuk Seri Abdullah, Timbalan Presiden, Najib; Naib-Naib Presiden, anggota Majlis Tertinggi (MT) dan semua Ahli Umno terus menerus menjulang obor perjuangan dengan semangat ‘Membujur Lalu, Melintang Patah’.

    Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)


  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768