Perhimpunan medan pacu Melayu minda kelas pertama

SUASANA Perhimpunan Agung Umno ke 57 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), mengetuk minda perwakilan untuk berfikir secara serius persoalan lima teras pacu minda Melayu yang disebut oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Teras yang dimaksudkan ialah pemantapan kepimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memacu minda generasi muda.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) bersetuju dengan lima teras yang mampu untuk memacu minda masyarakat Melayu kita pada hari ini. Secara keseluruhannya, teras ini sebenarnya membawa masyarakat Melayu untuk membina Minda Kelas Pertama.

Suasana masyarakat negara kita yang berbilang kaum menuntut bukan sekadar hanya masyarakat Melayu saja yang ‘berminda kelas pertama’, bahkan masyarakat Cina dan India pun perlu turut serta. Bagaimanapun teras masyarakat Malaysia iaitu masyarakat Melayu wajar diperteguhkan dengan penuh komitmen. Sejarah membuktikan dengan kukuh masyarakat Melayu Islam membawa kepada perpaduan dan keharmonian antara masyarakat majmuk di negara kita.

Perbincangan berkaitan pemantapan kepimpinan transformasi disebut bermaksud sebagai keupayaan seorang pemimpin untuk menterjemah visi dan misinya dalam bentuk tindakan kepada mereka yang dipimpin. Hari ini kita perlu sedar bahawa hanya pemimpin yang berbekalkan modal insan yang digarap secara holistik mampu berkongsi wawasan dengan kepimpinan di bawahnya.

Pembangunan modal insan seperti digagaskan oleh Perdana Menteri wajar disusun dengan teliti dan serius. Perancangan strategik untuk membangunkan modal insan perlu difikirkan bersama. Mahasiswa tidak terkecuali daripada memikirkannya. Sebagai masyarakat Melayu yang akidahnya Islam, kita perlu berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan.

Dalam aspek ini, keupayaan meningkatkan akses kepada pendidikan dan memberikan latihan berkualiti mampu untuk memberikan kesan terhadap aspek pembangunan pendidikan negara. Sekiranya masalah meritrokrasi menjadi punca kegagalan anak Melayu ke institut pengajian tinggi, kita sebenarnya perlu mengkaji apakah perkara yang menyebabkan meritrokrasi menggagalkan anak Melayu, bukan sekadar hanya menyalahkan sistem semata-mata.

PMIUM turut bersetuju dengan sasaran kerajaan mensasarkan 60 pertaus daripada jumlah tenaga akademik memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang akhir 2006. Justeru, keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), keupayaan saintifik dan keupayaan inovasi wajib ditingkatkan. Memikirkan persoalan pemantapan kepimpinan, mahasiswa Islam berpendapat untuk melahirkan pemimpin negara yang berkarisma, menara gading adalah tempat latihan paling afdal untuk menentukannya.

Mahasiswa juga perlu dididik dengan acuan minda kelas pertama. Mahasiswa selaku generasi muda yang berada di gedung Ilmu perlu dipupuk menjadi masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral. Kita bimbang laungan pemimpin negara tidak bersahut di dalam kampus disebabkan pembangunan modal insan tidak disuntik dengan sebetulnya kepada mahasiswa. Pemimpin mahasiswa perlu memainkan peranan untuk membantu kerajaan dalam membentuk kesedaran masyarakat mengenai peranan akhlak, budaya dan moral positif.

Kita beranggapan agenda Melayu akan gagal sekiranya masyarakat Melayu yang paling banyak melakukan ketirisan dalam perniagaan, pentadbiran dan ekonomi. Kita perlu memacu ekonomi orang Melayu ke arah lebih bersepadu. Ilmu, kemahiran dan teknologi perlu diterapkan dalam minda Melayu.

Sejajar 50 tahun usia PMIUM, kita melihat pembangunan minda mahasiswa peru diberi perhatian pada saat-saat perwakilan Umno membahaskan persoalan memacu minda Melayu. Mahasiswa adalah kelompok generasi muda yang punyai cita-cita dan idealisme tinggi. Pemimpin negara perlu memikirkan bagaimana untuk berkongsi pandangan supaya idealisme yang tinggi mampu dipraktiskan dalam bentuk yang boleh mendatangkan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Minda mahasiswa Melayu Muslim perlu didedahkan dengan ilmu dan kefahaman untuk mempertahankan akidah umat Islam.

Apa yang jelas, minda Melayu Kelas Pertama wajib dididik menjadi insan yang ’independent dan interdependent’ iaitu kita boleh berdiri di atas kaki sendiri serta bersifat inlusif dengan orang lain. Bagi memacu minda Melayu, peranan dan suara wanita patut didengar demi kepentingan negara. Suara golongan wanita juga mewakili generasi muda.

Ada beberapa ciri sifat semula jadi dan kelebihan pada diri wanita muda membawa kejayaan kepada agama, bangsa dan negara. Antaranya kebanyakan wanita pada masa kini sudah berpelajaran tinggi dan memberikan kelebihan untuk mereka mampu berfikir secara matang dan kritis dalam apa jua isu yang diperjuangkan dan diperkatakan.

  • MOHD NAZREE MOHD YUNUS, Yang Dipertua Persatuan
    Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)




  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768