Teguran beradab mampu selesai persengketaan

MENJUNJUNG adat Melayu, teguran dan luahan perasaan terutama membabitkan konflik antara Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu dibuat secara beradab, penuh santun dan berhati-hati ibarat ‘menarik rambut di dalam tepung – rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak’.

Ketika semua pihak tidak ingin melihat pergeseran antara kedua-dua pemimpin tercinta berterusan, ada yang berpendapat isu itu perlu disentuh kerana ia membabitkan kepentingan ramai yang memang mengharapkan satu penyelesaian terbaik.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, ketika menyentuh isu yang dianggap taboo oleh warga Umno hari ini, secara berkias melahirkan harapan agar perdamaian dapat dicapai bagi menjernihkan suasana dalam parti berikutan kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri.

Tanpa menyentuh konflik antara bekas Perdana Menteri itu dengan Abdullah secara jelas, Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap itu kelmarin, berkata: "Pertelagahan boleh berakhir dengan perpecahan. Dari itu, tinggi harapan kepada semua yang cintakan agama, bangsa, dan negara agar cahaya perdamaian akhirnya nanti menyinari suasa yang muram.”

Menyambut pesanan itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika menyampai ucapan dasar pagi semalam, turut menjunjung tinggi budaya Melayu apabila menyentuh mengenai sengketa yang menjadi topik percakapan hangat semua ahli Umno yang sedang bersidang.

Ketika mengingatkan semua perwakilan yang terdiri daripada anak muda yang berdarah panas dan mungkin boleh mencetus kejutan apabila emosi mula menguasai diri, Hishammuddin berkata kiasan, pantun, lambang, ibarat, tamsil dan perumpamaan yang sarat dengan nilai luhur dan kehalusan budi boleh diguna untuk merungkai segala permasalahan.

“Demikianlah alam budaya Melayu bila sengketa bemula… apa lagi yang terjadi dalam soal kepemimpinan Umno yang tentunya dapat dirungkaikan dalam adat dan syarat selagi ia berhajar membawa kepada kebaikan,” katanya dengan rendah hati.

Dalam alam Melayu, pemimpin memiliki pengaruh besar dalam menentukan nasib bangsa dan negara.

“Kekuasaan dan kepercayaan untuk memimpin diberikan dengan harapan ia mampu memegang amanah dan tidak disalahgunakan. Dalam ungkapan adalat dikatakan bagi seorang pemimpin:

Adat memegang kepercayaan orang
Jangan sekali main belakang
Adat memegang kekuasaan
Jangan sekali merosak-binasakan
Adat memegang kebebasan
Jangan sekali lupa batasan.”


Beliau turut memberi kiasan yang amat mendalam ertinya sekiranya wujud gangguan dalam kepemimpinan:

Bila kain sudah koyak
Bila dipakai aib tersingkap
Bila pemimpin sudah rosak
Bila dipakai umat menghidap
Bila kain sudah lapuk
Bila dipakai sudah koyak
Bila pemimpin akhlaknya buruk
Aib terburai umat bergasak.


Hishammuddin menegaskan, walau apapun polemik kepimpinan yang berlaku sejak akhir-akhir ini, Pemuda akan terus membudayakan kebenaran dan menghormati serta menghargai jasa pemimpin.

“Pemuda bukan tergolong kepada ungkapan ‘hilang di mata hilang di hati’. Presiden yang membimbing kita disokong tanpa berbelah bagi, pemimpin terdahulu tetap dihormati dikasihi,” katanya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, mengingatkan seluruh 3.2 juta ahli Umno bahawa ‘parti tidak boleh kukuh hanya dengan slogan, cogankata dan ucapan berapi-api dan bersemangat.

“Yang akhirnya menjadi penentu ialah sama ada pengundi di kalangan rakyat, memberi undi mereka kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) ialah pada pilihan raya. Mereka akan menilai parti, dari segi kekesanan kerajaan yang bertunjangkan Umno dalam memenuhi aspirasi dan harapan mereka.

“Pendek kata mereka menilai sama ada kita yang menerajui kerajaan, telah berjaya menghasilkan apa yang dijanjikan,” katanya pada ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita yang diadakan serentak dengan Pemuda dan Puteri.

Apa yang dipertaruhkan, tegasnya ialah kredibiliti parti dan kerajaan, justeru ahli Umno tidak boleh melihat diri terasing dari parti dan kerajaan.

“Seperti kata pepatah, meludah di atas, menimpa hidung sendiri. Menepuk air di dulang, percik ke muka sendiri. Cubit paha kanan, paha kiri merasa sakit,” katanya.

Beliau mengaku perasaan tidak puas hati akan wujud hatta dalam parti Umno sendiri, terutama di kalangan mereka yang tidak dapat apa yang dihajatkan atau gagal dalam persaingan sesama sendiri.

“Tetapi janganlah hendaknya rasa tidak puas hati seseorang individu, tidak kira sesiapa menjadi sebab untuk menjatuhkan pemimpin, mencemar parti dan kerajaan dan mendatangkan masalah.

“Setiap individu berhak bercakap, berhak menegur dan berhak mengkritik, sama ada terhadap individu lain atau terhadap kerajaan. Tetapi tidak ada sesiapa yang berhak membuat tuduhan tidak betul dan yang merupakan fitnah semata-mata,” katanya.

Wanita ‘besi’ yang kini antara pemimpin paling veteran dalam Umno dan kerajaan, mengingatkan setiap ahli parti bahawa dalam Umno kedudukan Presiden dan pemimpin lain adalah hasil daripada proses pemilihan.

“Begitu juga, seorang Perdana Menteri dilantik apabila parti (Umno) memenangi pilihan raya umum, dalam pakatan BN dengan majoriti di Dewan Rakyat. Dan ia bererti rakyat sudah bersuara, melalui undi mereka untuk menentukan secara jelas siapa yang mereka mahukan sebagai Perdana Menteri,” katanya yang menyentuh mengenai kritikan yang dilempar terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Noraini Ahmad, menegaskan sebagai adik bongsu yang baru mencecah usia lima tahun, Puteri akan terus berdiri teguh di belakang pemimpin parti bagi memastikan Umno tetap menjadi parti dominan bagi orang Melayu.

Beliau berkata, dalam apa juga isu yang timbul orang Melayu mesti berdiri teguh di belakang kepimpinan dan sebulat suara mempertahankan keputusan yang diambil secara sepakat.

“Seperti kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita tidak mahu negara yang berdaulat ini porak peranda. Biarlah kita hidup dalam keadaan aman makmur serta sejahtera seperti dinikmati hari ini,” kata ketua Puteri ini.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768