Perjuangan berpasukan mampu capai misi bangsa
BERTEMAKAN ‘Memacu Minda Melayu’, Datuk Seri Najib Razak sewaktu merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di ibu negara malam tadi, menggariskan lima teras utama ke arah penyuburan fikiran sebagai kunci membuka pintu kejayaan. Timbalan Presiden Umno mahu minda Melayu digerakkan melalui pemantapan kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, mempertahankan akidah dan memastikan kecemerlangan generasi muda. Keupayaan minda yang hebat membolehkan pelbagai masalah digarap dan dicerap secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi. Oleh itu, minda orang Melayu wajar diasah dan diasuh sepanjang masa agar mereka berfikiran matang bagi menjauhi pertelagahan, mencintai keharmonian dan mencipta kegemilangan. Hanya dengan kerangka minda yang betul, bangsa Melayu dapat berhadapan dan bersaing pada peringkat global yang serba mencabar.
Dalam usaha memperkasakan minda Melayu, semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dengan tahap kejayaan yang dicapai setakat ini kerana ia belum menyeluruh. Memang benar matlamat awal kerajaan untuk melahirkan seramai mungkin anak Melayu dalam pelbagai bidang profesional, namun angkanya belum mencecah bilangan dikehendaki. Kerajaan dan kepemimpinan Umno mahukan puluhan ribu lagi peguam, doktor, akauntan, arkitek serta jurutera Melayu yang memiliki kelayakan profesional dalam bidang strategik bagi mencapai status pakar bertauliah. Sehubungan itu, Wanita, Pemuda dan Puteri mesti terus cekal menterjemahkan harapan dan suara hati umat Melayu seperti dicetuskan Timbalan Presiden Umno itu. Satu daripada cara ialah menyemarakkan api perjuangan melalui pelbagai aktiviti kreatif untuk manfaat ahli parti dan rakyat agar Melayu Glokal dapat dijana dan diterjah ke persada dunia. Untuk itu, persiapan awal perlu disediakan melalui percambahan ilmu dan pendidikan, penjanaan ekonomi untuk pembangunan yang berpaksikan penghayatan agama, memperkuatkan jati diri menerusi transformasi budaya dan memperkasakan politik yang berteraskan idealisme perjuangan.
Seperti kata pepatah Inggeris yang dipetik Najib, wawasan tanpa tindakan ibarat mimpi, manakala tindakan tanpa wawasan ibarat mencurah air ke daun keladi. Justeru, kepemimpinan transformasi yang menggabungkan wawasan dan tindakan dalam setiap urusan harus menghasilkan lonjakan berganda, ke arah mencapai kemajuan menjelang 2020 nanti. Sudah sampai masanya orang Melayu perlu berani bertarung minda dalam persekitaran global. Berlumbalah untuk mendapatkan pekerjaan yang berteras dan berdaya ilmu sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kepada usahawan Melayu, rebutlah peluang perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa yang terbentang luas. Orang Melayu harus terbabit secara langsung dalam proses mencipta kekayaan sendiri tanpa mengharapkan agihan orang lain, apatah lagi daripada bantuan kerajaan. Jangan terlalu bergantung kepada peluang perbelanjaan sektor awam kerana peluang sektor swasta jauh lebih besar.
Generasi muda Melayu pula tidak seharusnya bertanya sumbangan negara yang sememangnya telah banyak dilimpahkan. Jadilah anak muda yang berjasa kepada negara dan berkhidmat dengan penuh semangat. Apa yang Umno usahakan adalah untuk memastikan generasi pewaris negara menjadi zuriat yang kuat dan berwibawa. Baik Pemuda mahupun Puteri, mereka harus bersatu, bersikap toleransi, menghentikan pertelagahan, kukuhkan benteng perjuangan dan amalkan konsep kerja berpasukan jika mahu wawasan dan misi suci untuk agenda Melayu yang diimpikan dapat dicapai.
|