Ucapan dasar Presiden azimat keramat

TIADA Umno, tiadalah Melayu. Kalau tiada Umno, siapa lagi yang hendak perjuangkan nasib orang Melayu. Sebab itulah Perhimpunan Agung Umno forum terhebat dan paling baik untuk orang Melayu membahaskan apa-apa yang berkaitan Melayu dan Islam. Banyak perkara berkaitan nasib orang Melayu dilahirkan daripada perbahasan dalam perhimpunan agung.

"Kita kena bangga kita ahli Umno. Kita orang Melayu. Kita tonggak kuasa di negara ini," kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ketika memperkatakan fungsi Perhimpunan Agung Umno.

Nada suara yang lahir dari lubuk hati pemimpin Umno itu sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya perhimpunan itu tidak lebih daripada sekadar perhimpunan pemimpin Melayu untuk berbual kosong, menikmati makanan percuma, bergelak ketawa apabila ada perwakilan Umno mencipta jenaka dan sesekali termenung memikirkan kelangsungan politik orang Melayu.

Bagi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu, tanggapan berkenaan secara langsung mencerminkan sikap sesetengah masyarakat Melayu yang masih belum memahami betapa pentingnya kewujudan Umno sebagai parti paling dominan untuk memastikan nasib bangsa Melayu terus terbela.

Penghayatan sirah perjuangan Umno mendaulatkan nasib bangsa Melayu sejak penubuhannya pada 1946 yang sering disentuh dan diperteguh dalam ucapan dasar Presiden dan perbahasan perwakilan, pastinya menarik minat bukan setakat perwakilan, malah rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, amat penting untuk perwakilan Umno menghayati ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ia dilihat sebagai medan untuk ahli Umno dan masyarakat di negara ini memahami secara lebih menyeluruh apa sebenarnya yang ingin dilaksanakan beliau.

"Saya rasa Presiden akan menceritakan secara menyeluruh kerja beliau selama tiga tahun.

"Jadi, sekarang orang mula nampak dan faham. Oh...ini rupanya yang Perdana Menteri hendak buat. Ini yang mesti kita bantu. Kita harus ingat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir selama 22 tahun. Kita sudah biasa dengan apa yang Tun buat. Tiba-tiba Pak Lah datang. Nak tukar gear, ambil masa sedikit," katanya.

Sewajarnya ucapan dasar Presiden Umno itu diteliti dan dihayati bagi membolehkan segala persoalan yang bersarang dalam hati ahli Umno, terutama hal yang berkaitan kritikan pedas Dr Mahathir terhadap Abdullah, sedikit sebanyak terjawab.

Keseluruhannya, seramai 4,959 perwakilan akan menyertai perhimpunan kali ini. Bagaimanapun, persidangan utama yang berlangsung selama tiga hari mulai 15 November hanya membabitkan 2,554 perwakilan, iaitu 49 Ahli Majlis Tertinggi (MT), 30 wakil Wanita, Pemuda dan Puteri serta 2,475 perwakilan dari 191 Umno bahagian.

Bilangan perwakilan bahagian itu tidak termasuk tujuh dari Umno Bahagian Kinabatangan kerana mereka hanya diberi status pemerhati berikutan pemilihan mereka tidak dibuat menerusi mesyuarat bahagian seperti yang dikehendaki Perkara 14.5.2 Perlembagaan Umno.

Kritikan pedas dan tajam Dr Mahathir terhadap Abdullah, dilihat Setiausaha Agung Umno itu sebagai perkara yang harus dihentikan demi kestabilan perpaduan Umno. Pun begitu, bagi Radzi, kehadiran Dr Mahathir (jika dapat hadir) tidak menjejaskan kelancaran persidangan.

Sebaliknya, bekas Presiden Umno itu, meskipun tidak akan disambut dengan dentuman meriam berdas-das, tetap akan dihormati dan diberikan ruang untuk mengikuti majlis perasmian yang bakal disempurnakan Abdullah.

Menyingkap ketelitian Umno menguruskan perjuangan bangsa Melayu dari aspek politik, ekonomi dan sosial, harus dilihat daripada pengurusan secara cekap Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Ketelitiannya menguruskan hampir 20,000 Umno cawangan dalam 191 Umno bahagian yang dianggotai kira-kira 3.2 juta ahli daripada keseluruhan kira-kira 16 juta orang Melayu di seluruh negara menuntut komitmen padu seluruh kakitangan di ibu pejabat berkenaan dengan dipandu Setiausaha Agung Umno.

Bagi memperkukuh dan memastikan Umno tetap relevan, khususnya dalam usaha menarik generasi muda memilih Umno sebagai wadah perjuangan politik, Umno mengaplikasikan sistem baru yang memberi kebenaran kepada ketua Umno cawangan untuk menerima keahlian baru.

Berbeza dengan sistem sebelum ini yang menyaksikan borang keahlian harus sampai kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk dinilai dan disahkan menjadi ahli, keahlian Umno kini boleh disahkan di peringkat cawangan tanpa perlu dirujukkan kepada Umno bahagian atau Ibu Pejabat Umno.

"Ketua cawangan boleh luluskan dan hantar borang ke ibu pejabat. Dulu susah. MT kena luluskan. Sekarang tak perlu hantar borang ke Umno bahagian. Kalau hantar ke Umno bahagian, borang itu terperap begitu saja kerana Umno bahagian kena jaga banyak cawangan. Hujung tahun, baru dia hendak hantar ke ibu pejabat. Bertimbun-timbun.

"Hantar kepada ibu pejabat. Kami proses dan hantar balik pengesahan kepada Umno cawangan. Kami maklumkan kepada Umno bahagian. Kekuatan Umno adalah di cawangan. Sebab itulah Umno hebat. Kalau tak ada cawangan, datang pilihan raya, jentera mana yang hendak digunakan?" tegasnya.

Berlandaskan hasrat murni itulah, Radzi mengingatkan ketua Umno cawangan supaya tidak menyekat hasrat sesiapa saja untuk turut bersama dalam saf perjuangan Umno.

Mereka yang mempunyai pengalaman pahit borang keahlian mereka ditolak ketua Umno cawangan, boleh mengemukakan aduan kepada Ibu Pejabat Umno yang bakal menyaksikan ketua Umno cawangan berkenaan diminta memberi penjelasan.

Justeru, Umno tidak boleh mengambil langkah sebarangan menambah keahlian seperti membuka kaunter keahlian di pasar raya kerana jika ia berjaya menarik minat ramai orang untuk menjadi ahli, ketiadaan cawangan untuk menaunginya membuatkan usaha berkenaan tidak akan berhasil.

Pengurusan Umno yang terbukti cekap turut dipamerkan menerusi usaha mengesahkan keahliannya yang ada antaranya meninggal dunia.

Jika sebelum ini Umno seolah-olah dikejutkan dengan fakta kira-kira 184,000 ahlinya gagal dikesan berikutan pelbagai faktor, Umno mengambil langkah mengemas kini fakta berkenaan. Setakat ini, 148,000 ahli Umno disahkan oleh ketua Umno cawangan sebagai meninggal dunia.

Radzi menekankan bahawa Perlembagaan Umno tidak memperuntukkan bahawa jika seseorang ahlinya tidak menjelaskan yuran selama beberapa tahun, dia secara automatik gugur daripada keahlian.

Sehubungan itu, Umno dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berusaha gigih untuk mengenal pasti jumlah ahli yang benar-benar sudah meninggal dunia dan yang mendaftar sebagai ahli tetapi menggunakan kad pengenalan yang silap.

Kaedah yang digunakan ialah Ibu Pejabat Umno menyerahkan senarai ahli Umno kepada JPN untuk disemak. Mana-mana ahli yang meninggal dunia, akan disahkan JPN, sekali gus membolehkan Ibu Pejabat Umno mengumumkan jumlah sebenar ahlinya yang meninggal dunia.

Dalam hal ahli Umno mendaftar keahlian dengan menggunakan kad pengenalan yang silap, Ibu pejabat parti berkenaan mengesan kebanyakan kes berlaku di Sabah ketika ahli Usno memohon menganggotai Umno.

Menerusi kerjasama JPN, usaha mengemas kini keahlian dan butir kad pengenalan mereka mampu direalisasikan menjelang akhir tahun ini. Sehubungan itu, awal tahun depan, pentadbiran Umno pastinya lebih kemas dengan menggunakan data keahlian yang sempurna.

Kekuatan Umno dari aspek keanggotaan pastinya tidak membawa erti jika masih ada 550,000 ahlinya yang belum mendaftar sebagai pengundi di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sekali lagi Radzi menggesa ketua Umno cawangan mengambil tindakan proaktif dengan membawa ahli terbabit untuk mendaftar sebagai pengundi sama ada dengan membawa mereka ke pejabat SPR atau bekerjasama dengan SPR dalam menganjurkan sesi pendaftaran pemilih di cawangan mereka.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768