Nota Niaga: RMK-9, Misi Nasional tuntut kecekapan rakyat
PERHIMPUNAN Agung Umno Ke-57 selama lima hari bermula hari ini adalah perhimpunan agung parti politik terbesar orang Melayu tahun ini yang pasti membincang dan membahas pelbagai isu berkaitan negara dan kedudukan orang Melayu.
Pada 31 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai pelan membangun negara bagi tempoh 2006 hingga 2010. Seiring RMK-9, diperkenalkan juga Misi Nasional untuk membawa negara ke arah Wawasan 2020.
Sebagai parti politik tunjang pemerintahan negara, perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno tentu meliputi pelbagai perkara. Kita percaya RMK-9 akan menjadi satu daripada isu penting dibincang, dikupas dan dibahas oleh perwakilan.
Sejak RMK-9 diumumkan, Perdana Menteri sering bercakap dan mengulas mengenainya. RMK-9 penting kerana ia permulaan peringkat kedua selepas Wawasan 2020 diumumkan 15 tahun lalu. RMK-9 mengambil kira semua keperluan dalam persediaan mencapai taraf negara maju menjelang 2020.
Secara umum, ramai berpandangan RMK-9 dan Misi Nasional sebagai pelan membangun negara hingga 2020 adalah satu rancangan baik. Namun, tidak kurang pula meragui pelaksanaan RMK-9 nanti. Perdana Menteri sendiri mengaku isu pelaksanaan ini dikhuatiri sesetengah pihak.
Keraguan mengenai kemampuan kerajaan melaksanakan RMK-9 dengan berkesan timbul kerana ada beberapa kelemahan di sektor awam, khususnya berkaitan sistem penyampaian kerajaan.
Untuk menangani isu pelaksanaan rancangan dan projek kerajaan dengan berkesan, kerajaan sudah memberi penekanan memperbaiki sistem penyampaian. Kita perhatikan Perdana Menteri sendiri memberi beberapa arahan khusus kepada jentera pentadbiran negara supaya memperbaiki beberapa aspek dalam sistem penyampaian kerajaan.
Satu usaha utama Perdana Menteri untuk memastikan negara mampu membangun dan mencapai kemajuan ialah penekanan beliau kepada pembangunan modal insan. Penekanan kepada pembentukan modal insan berkualiti memang wajar kerana tidak mungkin kemajuan dicapai jika negara mempunyai modal insan lemah.
Rakyat keseluruhannya hendaklah berusaha membantu negara mencapai kemajuan. Perancangan sebaik mana sekalipun tidak akan membuahkan hasil jika tidak mendapat sokongan rakyat. Secara langsung atau tidak langsung, semua lapisan masyarakat mempunyai peranan membantu memajukan negara.
Kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara sememangnya bergantung kepada kesungguhan anak bangsa berusaha memajukan diri dan persekitaran mereka. Ia disebut dalam al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah 13:11).
Tanggungjawab merubah nasib bangsa dan negara tidak terletak di bahu pemimpin kerajaan dan kakitangan sektor awam saja. Setiap orang di kalangan rakyat sebagai modal insan negara, mempunyai peranan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Untuk menjadi modal insan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara, semua lapisan masyarakat perlu membina kemampuan diri dengan memupuk beberapa sikap dan ciri positif peribadi.
Satu ciri penting yang diperlukan ialah sikap bertanggungjawab. Sikap ini penting apabila diamanahkan melaksana sesuatu tugas atau tanggungjawab. Apabila seseorang itu bersetuju menerima sesuatu tugas, ia perlu dilakukan dengan penuh kejujuran dan amanah.
Apabila seseorang itu melaksanakan tugasnya dengan penuh perasaan tanggungjawab, dengan sendirinya kualiti kerja akan terjamin kerana pelaksana tugas tidak akan mengabaikan sebarang kehendak piawaian dan keperluan tugas.
Kita dapat perhatikan sebahagian besar masalah semasa adalah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab oleh mereka yang diamanahkan. Tugas tidak dilaksanakan dengan perasaan penuh tanggungjawab akan menimbulkan kesilapan, kelewatan, penipuan dan pelbagai perkara negatif.
Satu lagi ciri penting jika ingin menyumbang kepada kemajuan negara ialah membina keyakinan diri. Keyakinan diri terbentuk dengan membina kemampuan untuk melaksana sebarang tugas atau cabaran. Untuk itu kita perlu berusaha sepanjang masa dengan pelbagai cara menambah ilmu, kemahiran dan pengalaman.
Pada masa sama, kita harus sedar bahawa perubahan akan terus berlaku dalam semua aspek kehidupan. Tanpa perubahan, tidak akan berlaku kemajuan dan peningkatan dalam kehidupan manusia. Untuk berdepan dengan perubahan dalam persekitaran, kita perlu pula membina kemampuan menyesuaikan diri dengan semua keadaan.
Kemahiran menyesuaikan diri dalam keadaan berbeza amat penting untuk memberi kelebihan apabila menangani kehendak semasa. Kemahiran ini mudah dibina jika disokong oleh minat mendalam dan usaha bersungguh dalam menyempurnakan tugas. Gagal menyesuaikan diri akan menyebabkan kita terasing, ketinggalan zaman dan hilang daya maju serta daya saing.
Selain bijak menyesuaikan diri, masyarakat kita juga perlu mampu menyempurnakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap. Seseorang dianggap cekap melaksanakan kerja jika dapat menunjukkan kepantasan bekerja diimbangi dengan kualiti dengan kesilapan tidak berlaku.
Biasanya kecekapan dalam menyempurnakan tugas membezakan kita dengan orang lain. Jika kita pekerja cekap, majikan lebih mudah memajukan kerjaya kita. Jika kita usahawan cekap, perniagaan lebih berpeluang meraih keuntungan kerana tahap kecekapan memberi kesan kepada kos dan produktiviti. Kecekapan akan membezakan antara kejayaan atau kegagalan.
RMK-9 dan Misi Nasional mampu membangun dan memajukan negara jika dilaksana seperti dirancang dengan penuh rasa tanggungjawab. Pelaksanaan secara bertanggungjawab dan cekap akan menghasilkan pembangunan untuk menaikkan taraf hidup rakyat.
Sudah sering disebut orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi. Masyarakat Melayu perlu bijak mengenal pasti peluang ekonomi menerusi RMK-9 dan Misi Nasional. Peluang meraih manfaat ini boleh ditingkatkan dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab, membina keyakinan diri, bijak menyesuaikan diri dan cekap melaksanakan kerja.
Lebih penting dalam usaha menjayakan rancangan negara ialah semangat bekerjasama dan saling membantu antara semua golongan masyarakat. Alangkah baik jika yang berjaya antara kita sentiasa sudi dan sanggup mengambil berat dan membantu yang lemah dan ketinggalan.
Kita belum menjadi bangsa dan negara berjaya jika hanya mampu membangunkan ramai individu berjaya, tetapi tidak sepakat memajukan bangsa dan negara secara keseluruhan.
|