Perjuangan pertahan ketuanan Melayu tidak pernah luntur

DALAM kesibukan di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, seorang lelaki Melayu yang agak berusia duduk bersendirian memerhatikan gelagat anggota perwakilan Umno negeri mengambil pas dan beg perhimpunan di kaunter pendaftaran. Pandangannya beralih daripada satu kumpulan anggota perwakilan yang riang bertegur sapa dan bersalaman. Warna pakaian mereka yang berseri lagi bergaya menunjukkan sayap parti yang dianggotai.

Lelaki tua berkopiah itu terus memerhati gelagat perwakilan Umno yang gembira bertemu rakan seperjuangan pada perhimpunan keramat setahun sekali itu. Berbeza dengan anggota perwakilan, wajahnya yang dimamah usia tidak menampakkan rasa gembira dan dahinya sering berkerut melihat aksi gurau senda mereka.

Tangannya menggenggam erat beg plastik lama berwarna putih yang bukan tandingannya dengan beg kulit perwakilan. Di dalamnya hanya terkandung sebotol air mineral sebagai bekalan menghilang dahaga dan sehelai kain pelikat lusuh untuk dipakai ketika solat di surau berhampiran Menara Datuk Onn.

"Pakcik datang setiap tahun dari Pahang untuk tengok Perhimpunan Agung Umno ini. Petang pakcik balik, kalau tak sempat pakcik bermalam di rumah anak di Kuala Lumpur. Pak cik naik bas, tak susah kerana hentian bas sebelah sana saja," katanya.

Pertemuan dan perbualan ringkas dengan ‘pakcik’ itu berlaku sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Seperti perhimpunan agung sebelum ini, ramai kalangan ahli Umno seangkatan dengannya hadir sama, cuma kedatangan mereka tidak mendapat perhatian di tengah-tengah ribuan manusia yang memenuhi ruang PWTC.

Rasa cinta mereka terhadap parti dan perjuangan menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara sebati dalam jasad dan jiwa mereka. Mereka mahu melihat bagaimana pemimpin dan ahli Umno sekarang melayari bahtera parti untuk memperjuangkan Agenda Melayu.

Pastinya, kumpulan orang lama Umno ini tidak ketinggalan menghadiri perhimpunan agung kali ini, lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan ia akan lebih ‘panas’ berikutan keadaan semasa yang dicanangkan kalangan ‘penganalisis politik kedai kopi’.

Kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap beberapa dasar kerajaan seawal selepas pilihan raya umum 2004 dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejak akhir-akhir ini cukup menggusarkan hati bukan saja ahli Umno, tetapi juga orang Melayu keseluruhannya, lebih-lebih lagi apabila kaum lain dilihat mula berani mempersoalkan hak orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Cuma keadaan kesihatan Dr Mahathir selepas serangan jantung awal Khamis lalu yang tidak mengizinkan beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini dilihat meredakan keadaan yang sebelum ini membimbangkan ahli MT sehingga mereka memberi nasihat supaya perwakilan menjaga adab dan disiplin parti apabila berucap kelak.

Ketiadaan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno kali ini, iaitu untuk dua tahun berturut-turut, mungkin dianggap sebilangan ahli sebagai mengelak sebarang pertembungan yang tidak diingini dengan Abdullah, lebih-lebih lagi selepas bekas Perdana Menteri itu secara terbuka menyatakan kesediaan untuk terus mengkritik bagi memperbetul apa yang dikatakannya kepincangan pentadbiran sekarang.

Justeru, dengan harapan baru itu ramai yang berpendapat suasana panas yang dijangkakan menyelubungi Dewan Merdeka bertukar menjadi hawa yang lebih selesa untuk 4,954 perwakilan Umno. Hakikatnya, ramalan berlakunya ‘Peristiwa November’ yang bakal menggegarkan Umno ternyata semakin meleset.

Namun, sebagai pentas memperbaharui iltizam merealisasikan Agenda Melayu, perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno kali ini tetap menggemakan Dewan Merdeka dengan pelbagai tuntutan ketika membahaskan usul ucapan terima kasih ucapan dasar Presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial.

Seperti yang dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika temu bual dengan akhbar ini Khamis lalu, kepemimpinan parti mahu perhimpunan agung kali ini menjadi cerminan hati nurani orang Melayu kerana Umno mewakili 3.2 juta ahli dan 16 juta orang Melayu yang mengharapkan kepada kepemimpinan Umno.

“Perhimpunan agung ini mesti menjadi wahana sejajar dengan tanggungjawab kita sebagai parti yang mewakili kepentingan orang Melayu keseluruhannya. Kita tidak mahu perhimpunan agung ini tidak mencapai aspirasi orang Melayu yang menunggu penjelasan mengenai sesuatu isu yang penting bagi orang Melayu,” katanya yang mengharapkan perhimpunan agung kali ini dapat meredakan perbalahan di antara Abdullah dan Dr Mahathir.

Najib selaku Timbalan Presiden Umno akan merasmikan secara serentak persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam ini dan beliau juga menggariskan pelan tindakan kepada usaha menjana Melayu Glokal, iaitu konsep memartabatkan bangsa dicadangkan pada perhimpunan sama tahun lalu.

“Saya melontarkan konsep Melayu Glokal ini sebagai satu konsep untuk dihayati orang Melayu kerana sekiranya kita hendak menjadi bangsa cemerlang, kita tidak harus cemerlang dalam negara saja, sebaliknya, seperti kita tahu dalam era globalisasi ini, dunia sepatutnya menjadi medan pertarungan. Oleh itu, sekiranya kita ingin mengangkat martabat dan maruah orang Melayu dan negara Malaysia, kita mesti dilihat sebagai bangsa yang hebat di arena antarabangsa," katanya.

Bayangan sentimen perhimpunan agung kali ini pastinya dapat dirasa ketika persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung esok. Perbincangan di kalangan perwakilan Wanita Umno mungkin agak keras kerana Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, menjadi sasaran langsung Dr Mahathir. Perwakilan yang dipilih berucap tentunya menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Rafidah yang sudah pun menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung isu kritikan Dr Mahathir.

Senario persidangan Pemuda Umno juga tidak banyak bezanya. Selain sokongan kepada Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ikrar akan turut diberi kepada Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin. Malah, semangat Melayu yang berkobar-kobar di kalangan perwakilan Pemuda Umno akan menjanjikan sokongan kepada menantu Perdana Menteri itu yang diturut dikritik parti Cina, termasuk komponen BN, berikutan kenyataannya pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian tidak lama dulu.

Cuma persidangan Puteri Umno yang bakal menunjukkan ketenangan sejajar usia mudanya dan kelembutan ahlinya kerana perbahasan kali ini menumpukan isu pendidikan wanita muda dan peluang pekerjaan untuk graduan wanita.

Namun, sentimen sebenar hanya terungkai Rabu ini apabila perwakilan mendengar ucapan dasar Presiden. Sebagai Perhimpunan Agung Umno pertama selepas pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Mac lalu, perwakilan pastinya akan membangkitkan soal pelaksanaanya dan mahukan penjelasan Perdana Menteri berhubung beberapa perkara terbabit serta manfaatnya kepada orang Melayu.

Isu ekonomi orang Melayu di bandar besar, khususnya kedudukan Melayu Pulau Pinang yang baru-baru ini mencetuskan pertikaman lidah di antara pemimpin Umno negeri dengan Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan menimbulkan kembali cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri, juga akan dibangkitkan walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan program khas Kerajaan Pusat dan negeri bagi membantu orang Melayu di negeri itu dan pemakaian sistem pentadbiran sedia ada.

Kesimpulannya, perwakilan mahu Umno sebagai tonggak kerajaan bersifat sebagai tuan, bukannya hamba, dalam menghadapi asakan kaum lain. Kehendak akar umbi itulah seharusnya disambut Ahli MT dengan suara lantang sebagai mesej jelas kepada rakan dan juga lawan di luar yang pastinya mengikuti Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Justeru, jawapan Abdullah terhadap isu berkenaan amat dinanti bukan saja perwakilan tetapi juga seluruh orang Melayu dan rakyat negara ini.

Ketuanan Melayu tidak seharusnya dicabar dan jika dicabar, Umno sebagai tonggak Melayu dan kerajaan perlu bertegas dalam memperjuangkan Agenda Melayu.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768