Personaliti: Tumpuan politik, keluarga seimbang

BERMULA sebagai peneman kepada suami ke majlis membabitkan kegiatan politik di kawasan Bukit Bintang, Ketua Wanita Umno Cawangan Munsyi Abdullah, dalam Bahagian Umno Bukit Bintang, Sharifah Afziana Amar Syed Abdullah, tidak pernah menyangka minatnya turus berkembang untuk bergiat aktif dalam parti.

Memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada Mohd Zailan Mokhtar, 40, dan ibu kepada empat anak – Wan Putri Zulaiqha, 14, Wan Muaszulizzat, 12, Wan Muaszulhaqeemi, 9, dan Wan Muaszulfeeqry, 6, wanita yang berimej elegan ini berikrar akan terus berjuang dalam Umno demi agama, bangsa dan negara.

"Mulanya, saya hanya menemani suami ke program politik, tapi mungkin disebabkan pergaulan dengan ahli politik Wanita lain akrab menyebabkan saya terpengaruh untuk terbabit sama dalam arena politik pada 1992," katanya.

Suaminya kini Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian Bukit Bintang.

Sharifah Afziana yang mengagumi kepemimpinan Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata bidang politik menuntut pengorbanan masa, tenaga dan tumpuan.

Justeru, beliau terpaksa membahagikan masa antara aktiviti politik dan keluarga supaya kedua-duanya seimbang.

Wanita berhati waja ini bersyukur apabila anak sulungnya mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), meskipun masa yang diluangkan bersama keluarga agak terhad.

"Saya gembira apabila anak saya mendapat keputusan cemerlang walaupun masa bersama mereka tidak banyak sejak saya aktif politik," katanya sambil mengakui pembabitannya dalam Wanita Umno kadang kala mengundang persoalan kerana dalam 35 tahun beliau sepatutnya bernaung dalam Puteri Umno.

Bagaimanapun, Sharifah Afziana menjelaskan pembabitannya dalam Wanita disebabkan Pergerakan Puteri hanya selepas terbabit dalam Pergerakan Wanita.

PROFIL

Nama: Sharifah Afziana Syed Abdullah
Umur: 35 tahun
Jawatan Politik: Ketua Wanita Umno Cawangan Munsyi Abdullah, Bahagian Umno Bukit Bintang
Kerjaya: Pengusaha butik


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768