Nobat PM sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan
PUTERI Umno mencadangkan supaya Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan kerana sumbangan besarnya dalam bidang itu serta Islam Hadhari.
Wakil Puteri Umno, Norhamizah Mat Tahir, berkata dua aspek itu adalah 'ubat penawar' penting kepada masyarakat Malaysia untuk meneruskan kegemilangan negara pada masa depan.
"Presiden parti berpandangan jauh dalam pembangunan modal insan dan Islam Hadhari yang menjadi ubat kepada penawar masyarakat seperti yang dikehendaki masyarakat. Selayaknya beliau digelar Bapa Pembangunan Modal Insan," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Norhamizah yang juga Ketua Puteri Selayang menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencetuskan isu perkauman dan tidak lagi beralah dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka.
"Sudah sampai masanya kita menyatakan 'enough is enough' (cukup-cukuplah)... sudah terlalu banyak kita beralah... membuka sedikit demi sedikit kepada mereka, tapi mereka ini tidak pernah beralah dengan kita.
"Presiden perlu bertegas terhadap mereka... Puteri sangat mengalu-alukan jika tindakan disiplin dikenakan," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.
Beliau juga memohon Presiden Umno menimbang mencalonkan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad dalam pilihan raya umum akan datang berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkannya dalam memimpin pergerakan itu.
Dengan nada tegas, beliau mahu supaya semua pihak tidak memperlekehkan kewujudan Puteri yang sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam 'meremajakan' Umno.
"Mohon jangan anggap kami sebagai pesaing, tapi anggap kami sekarang pelengkap kepada parti," katanya.
|