Sedutan ucapan Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad: Menambah baik sistem sosial masyarakat
Puteri cadang pelbagai penyelesaian terhadap isu pendidikan, politik serta ekonomi
CABARAN bagi membina negara bangsa dalam arus dunia tanpa sempadan amat kritikal dan penting. Kita jangan sesekali menaruh niat dan hasrat untuk membina generasi muda dalam kerangka pemikiran dan cabaran masa lampau. Kita perlu menyediakan mereka untuk menghadapi realiti dan cabaran baru. Pelajar kita mesti diasuh dengan nilai keinsafan yang bersifat glokal, berani dan kompetitif, bijaksana tetapi tidak kurang ajar, patriotik dan menyayangi negara. Kita kena berpegang kepada pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Puteri membantah tindakan seorang pelajar Malaysia di Taiwan yang menggunakan nama samaran Namewee, yang mempersendakan agama Islam dan bangsa Melayu menerusi lirik lagu Negaraku dan Kawanku yang diciptanya sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak terutama Melayu di Negara ini. Puteri juga menolak sama sekali permohonan maaf pelajar terbabit kerana perbuatannya bukan saja keterlaluan, malah biadab dan kurang ajar.
Isu pendidikan dan modal insan
Sejak dari awal penubuhan, isu pendidikan sentiasa dekat di hati Puteri dan dalam setiap program yang dilaksanakan, keutamaan diberikan kepada isu yang membabitkan soal survival pendidikan anak-anak Melayu. Puteri amat insaf dan menyedari bahawa pendidikan adalah asas dan tonggak penting dalam membina modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang ke arah mencapai matlamat negara maju 2020, seterusnya ke arah Malaysia yang lebih gemilang pada 2057.
Pendidikan awal amat penting dalam pembentukan modal insan berilmu dan sekali gus akan menyumbang ke arah membendung gejala sosial. Ia adalah satu proses jangka panjang tetapi transformasi dan pembentukan keperibadian diri seharusnya dimulakan dari awal lagi. Kita harus membangunkan modal insan yang selari dengan zaman dan Puteri dengan ini menyokong penuh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Puteri Umno juga menyokong Bajet 2008 khususnya pemansuhan yuran tahunan sekolah rendah dan menengah sepenuhnya dan Skim Pinjaman Buku Teks diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.
Sesungguhnya pendidikan percuma yang diketengahkan kerajaan dalam bajet berkenaan adalah pendekatan yang dilaksanakan oleh negara maju. Ia membuktikan kerajaan kita sentiasa memelihara kebajikan rakyat. Betapa bertuahnya kita punya kerajaan yang sanggup memberikan pendidikan percuma untuk semua. Tidak harus lagi ada keluh kesah di kalangan ibu bapa selepas ini, tiada lagi alasan untuk anak keciciran kerana orang tua tidak mampu, tidak harus ada kes anak ponteng sekolah kerana ibu bapa gagal jelaskan yuran serta tidak harus wujud jurang pendidikan antara penduduk desa dan kota, malah tidak harus wujud lagi cerita ‘antara dua darjat’ dari segi pendidikan bagi anak si kaya dan si miskin.
Dalam konteks pendidikan tinggi, Puteri memandang masalah kehilangan tenaga pakar ke luar negara atau ‘brain drain’ menjadi semakin meruncing. Kita kena lebih tegas dan pastikan mereka, terutama yang dibiayai dengan pinjaman membayar balik kos pembelajaran sebaik tamat belajar. Untuk menggalakkan pelajar menyambung pembelajaran di dalam negara, usaha memperkasakan universiti awam di Negara ini perlu dilakukan. Kajian reputasi akademik IPTA yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendapati tiada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang atau bertaraf dunia.
Puteri mencadangkan penstrukturan semula universiti awam sedia ada di negara ini dilakukan bagi memperkasakan IPT berkenaan supaya muncul sebagai universiti terbaik di dunia. Puteri ingin mencadangkan supaya satu jawatankuasa kecil dibentuk, yang akan menjadi tulang belakang dalam mencari tenaga pengajar bertaraf dunia dan menjadikan universiti kita sebagai universiti contoh, sejajar dengan matlamat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf antarabangsa.
Kerajaan juga perlu memastikan bahawa peningkatan kualiti universiti tempatan lain turut ditingkatkan agar bertaraf dunia. Puteri juga berharap agar universiti apex yang diilhamkan ini nanti mampu berdiri di atas kaki sendiri dan tidak membebankan kerajaan. Secara tidak langsung, ini akan melahirkan pelajar bertaraf dunia.
Saya juga ingin menyentuh mengenai kajian yang dibuat oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) yang cukup membimbangkan kita. Ketika negara dijangka mencatat peningkatan ekonomi sekitar 6.5 peratus pada tahun ini – wujudnya scenario "jobless growth" (pembangunan ekonomi tanpa penyediaan peluang pekerjaan), satu fenomena yang menuntut perhatian kita semua. Menurut MIER, ini berdasarkan kepada fakta bahawa dalam kita mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik pada tahun ini, pasaran mencatatkan kekurangan hampir 200,000 peluang pekerjaan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Punca utama keadaan ini berlaku ialah wujudnya peralihan nilai kerja daripada buruh yang tidak berintensifkan kemahiran kepada buruh yang berintensifkan kemahiran-teknologi dan ilmu pengetahuan. Peralihan ini tidak saja berlaku di Malaysia, malah negara maju seperti Amerika Syarikat. Justeru, Puteri mendesak supaya kita mengkaji semula proses penyediaan modal insan di negara ini secara total dan holistik. Kita perlu mengenalpasti segala kelemahan dan kelebihan di kalangan anak-anak kita, generasi muda kita. Kita harus meneliti penawaran dan permintaan dalam pasaran dan mencari langkah pembetulan yang tepat.
Sukacita juga Puteri mencadangkan supaya Kementerian Sumber Manusia menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti bidang yang sesuai dan diperlukan bagi tempoh bukan saja lima tahun, malah 10 tahun dan 20 tahun akan datang. Sasaran kita tidak seharusnya menjurus kepada keperluan masa kini, tetapi perlu melangkau lebih jauh dengan melihat keperluan pada masa depan.
Di sini juga, Puteri menggesa supaya idea penubuhan institut buruh yang dilaung-laungkan dua tahun lalu dilaksanakan supaya negara dapat melahirkan bilangan profesional setimpal dengan kehendak pasaran kerja semasa dan badan ini juga boleh bergabung dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan. Apa yang boleh dilakukan sebagai contoh, jika 20,000 ahli bioteknologi diperlukan dalam masa lima tahun akan datang, Kementerian Sumber Manusia harus memberi maklum balas kepada institut berkenaan dan sekali gus mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengagihkan bilangan pelajar ke jurusan berkenaan.
Rata-rata laporan yang kita baca mendedahkan mengenai kejayaan pelajar perempuan melepasi meritokrasi sehingga pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki di institut pengajian tinggi (IPT) negara ini. Mengikut statistik Kementerian Pengajian Tinggi 2006 kemasukan pelajar perempuan mengikut gender adalah 62 peratus manakala 38 peratus lelaki. Jumlah pengeluaran graduan pula adalah perempuan 65 peratus berbanding 35 peratus lelaki.
Di sini Puteri ingin mengajak golongan lelaki supaya sama-sama bersaing secara sihat dan tidak mempertikaikan soal merit. Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai. Puteri juga mahu supaya lebih banyak peluang memegang jawatan tinggi dibuka kepada golongan perempuan yang memenuhi kelayakan diperlukan dan pemilihan tidak harus dibuat berdasarkan jantina pemohon.
Penilaian berdasarkan 10 peratus markah dalam aktiviti kokurikulum juga tidak membantu menambah bilangan pelajar lelaki kerana pelajar perempuan juga aktif dalam pelbagai aktiviti terbabit ketika di sekolah. Lebih mengejutkan pelajar perempuan sudah semakin berani memasuki bidang teknikal termasuk kejuruteraan menyebabkan mereka mula mendominasi hampir semua jurusan di IPT. Maka mulalah timbul pelbagai cadangan termasuk cadangan supaya sistem kuota perlu digunakan dalam beberapa bidang kritikal supaya lebih ramai lelaki dapat menyertai bidang seperti pertanian, kejuruteraan dan pelbagai bidang lain yang memerlukan tenaga serta masa yang maksimum.
Dasar langit terbuka
Globalisasi sedang melanda kita. Dunia semakin hilang sempadannya. Dasar langit terbuka yang kita amalkan mengundang pelbagai ancaman. Anak-anak kita terdedah kepada pelbagai cabaran baru - termasuk budaya asing yang boleh menjajah minda. Internet menjadi sungai besar yang mengalirkan sekian banyak kebaikan tetapi juga berisi kotoran dan najis. Semua ini adalah petanda kemajuan, namun yang buruknya ialah ia menjadi punca pada banyak masalah yang membabitkan, nilai, budaya, cara hidup dan lebih penting lagi kepercayaan beragama kita.
Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan yang bertemakan “Membina Tamadun Menjulang Martabat Bangsa” menekankan kepada ‘usaha untuk memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral’. Presiden Umno turut menyentuh mengenai perlunya rakyat berminda kelas pertama yang bermaksud mereka berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.
Masyarakat itu harus tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agama. Identiti nasional kita harus kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan memberikan penekanan pada soal memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat.
Masalah sosial
Seluruh negara dikejutkan dengan kes menyayat hati yang menimpa anak kecil kita, Nurin Jazlin Jazimin, 8. Moga keluarganya terus tabah dalam meneruskan kehidupan. Puteri merakamkan perasaan kesal, geram dan marah dengan penjenayah terbabit dan mahu hukuman setimpal dikenakan terhadapnya. Peningkatan kes jenayah di negara ini cukup membimbangkan Pergerakan Puteri Umno dan khalayak masyarakat secara keseluruhan. Kes tembak menembak, rompakan, pengedaran dadah dan syabu, bunuh dan culik kanak-kanak antara yang sering dipaparkan media.
Statistik Orang Hilang /Jumpa Seluruh Negara yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes membabitkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.
Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang. Golongan ini adalah tenaga muda yang seharusnya berada di bangku sekolah, diberikan pendidikan sebaik mungkin, dididik menjadi modal insan berguna.
Statistik juga menunjukkan pada tahun lalu, sebanyak 1,485 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dengan 900 kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala pada 2005, sebanyak 1,803 kes dilaporkan dan 1,254 daripadanya ditemui semula. Pada 2004, terdapat sebanyak 2,405 kes dilaporkan. Sejumlah 1,752 kes kanak-kanak ditemui semula dan sebanyak 653 kes belum dapat dikesan.
Sepanjang 2006 juga, jumlah kanak-kanak hilang yang dilaporkan ialah 1,485 dan 900 berjaya ditemui kembali. Bagaimanakah anak yang tidak diketahui nasibnya itu? Anak adalah kurniaan Allah yang sangat besar bagi setiap pasangan. Sifat kanak-kanak adalah rapuh, senang percayakan orang, tidak boleh mengurus dan menyelamatkan diri apabila berdepan dengan bahaya. Mereka perlu dilindungi daripada kekerasan, penderaan dan keganasan. Kanak-kanak hari ini adalah modal insan negara masa depan.
Tidak dinafikan, selain masalah sakit jiwa, mereka yang terbabit dalam keganasan seksual terhadap kanak-kanak ini juga terpengaruh dengan pengedaran bahan lucah secara berleluasa. Puteri mendesak supaya usaha membanteras bahan lucah di pasaran diperhebatkan. Pengedaran buku, novel dan majalah berunsur seks, lucah, porno dan sadis serta cakera padat (CD) lucah harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Bayangkanlah remaja kita terdedah dengan bahan bacaan lucah yang bukan saja mudah didapati, malah dijual pada harga murah. Ia akan memberi kesan negatif kepada pembinaan akhlak dan jati diri, sekaligus menimbulkan keresahan masyarakat.
Justeru, kanak-kanak dalam lingkungan umur remaja seharusnya diberi perhatian serius kerana mereka mempunyai dorongan yang kuat untuk meniru orang lain. Masa bersama keluarga agak kurang dan pengaruh rakan sebaya lebih kuat. Mereka sering terikut dengan rentak peredaran zaman. Program Rakan Remaja dan pelbagai kegiatan berfaedah yang membabitkan golongan muda, harus dipertingkatkan bagi faedah golongan sasaran, sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah sosial.
Kita juga kena ingat, usaha ke arah melahirkan sebuah masyarakat berilmu, cemerlang, gemilang dan terbilang tidak akan tercapai sekiranya pola pembacaan di kalangan masyarakat masih bertumpu kepada bahan picisan dan murahan seperti ini. Ia langsung tidak membantu perkembangan intelektual remaja dan pelajar kita. Bagi menangani permasalahan ini kerajaan khususnya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) perlu memainkan fungsi lebih aktif bagi membanteras pengedaran bahan sebegini hingga ke akar umbi. Pemilik dan penerbit majalah yang tidak mempunyai permit, nama pencetak dan beroperasi tanpa lesen, harus dikenakan tindakan setegas mungkin.
Ekonomi
Bajet 2008 yang bertemakan 'Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran' mencerminkan hasrat kerajaan memastikan kejayaan Negara terus berkembang dan dinikmati oleh semua rakyat menerusi tiga strategi utama – meningkatkan daya saing Negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat. Bajet tahun depan juga begitu menekankan pengukuhan perpaduan yang cuba digembleng melalui beberapa usaha nasional merangkumi pembangunan koridor ekonomi, pembangunan pendidikan, pembangunan yang seimbang antara Bandar dan luar Bandar, pembangunan usahawan, kebajikan dan kesihatan.
Usaha kerajaan membangunkan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur seterusnya Koridor Sabah dan Koridor Sarawak sudah pasti akan dapat memacu ekonomi Bumiputera kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan koridor ekonomi berkenaan. Puteri juga mendesak supaya usahawan muda wanita turut diberi peluang untuk turut serta dalam projek dalam koridor ekonomi yang sedang dan akan dibangunkan kerajaan.
Dalam konteks kawalan defisit, kerajaan memberikan tumpuan kepada projek yang dapat membasmi kemiskinan. Tumpuan ini dapat mengurangkan jurang antara rakyat yang terlalu miskin dengan yang terlalu kaya. Usaha ini sekurang-kurangnya dapat mengharmonikan keadaan. Peruntukan besar juga diberikan kepada sektor pendidikan, pembinaan kemudahan bekalan elektrik dan air serta jalan raya, yang turut menjurus ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat dan menghapuskan sama sekali kemiskinan tegar di Negara ini menjelang 2010.
Sambil menyambut baik Bajet 2008, Puteri juga menyarankan supaya sistem pemantauan untuk mengukur kemajuan dan matlamat diwujudkan supaya setiap cadangan dalam belanjawan tahun depan bukan sekadar retorik semata-mata.
Politik
Puteri juga ingin mencadangkan keahlian baru wanita muda berusia di bawah 35 tahun ditawarkan secara automatik menganggotai pergerakan ini. Hal demikian bertujuan bagi memudahkan pendaftaran keahlian baru, sekali gus meningkatkan jumlah wanita muda di dalam Umno. Setidak-tidaknya, parti akan memiliki lebih ramai pelapis serta barisan yang mampu meneruskan matlamat perjuangan. Pilihan raya umum yang ke-12 juga semakin hampir. Bagi Puteri, kita telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Konsistensi dan keupayaan bekerja kuat inilah yang menjadi tunjang kita selama menghadapi pilihan raya sebelum ini.
Tugas utama terhadap hal berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat akan terus menjadi tanggungjawab kita dalam menggempur medan pilihan raya. Kita juga tidak akan berputus asa meraih sokongan pengundi sekalipun terpaksa memanjat flet di bandar raya, berjalan di taman perumahan, menyusur kesibukan kota. Bahkan, jika perlu kita berdayung sehingga ke hulu sungai, mendaki ke puncak gunung, meredah semak dan belantara, Puteri tidak akan berhenti. Ini janji kita!
Berasaskan semangat ini, kepemimpinan Puteri mengerahkan seluruh jentera Puteri pada semua peringkat untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di semua kawasan dengan majoriti lebih tinggi berbanding pilihan raya umum yang lalu. Kepada semua ahli Puteri pula, marilah sama-sama kita melipatgandakan usaha yang sedia ada untuk terus memenangi hati pengundi. Insya-Allah Kelantan pun akan kita tawan dalam pilihan raya yang akan datang.
Tunjukkanlah kesungguhan kita. Ingatlah bahawa parti yang kita warisi adalah harta pusaka paling bernilai yang harus kita jaga supaya bangsa kita terus berkuasa. Kepada ahli-ahli Puteri yang akan meninggalkan pergerakan ini kerana faktor usia, teruskan perjuangan dalam Wanita Umno. Akhir kata, marilah kita menjadikan perhimpunan agung kali ini sebagai satu wadah menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan kita.
Ingatlah bahawa Perhimpunan Agung Umno membawa harapan bangsa. Ia pentas memperkukuhkan lagi perpaduan, meluahkan perasaan, memberi ingatan, mengemukakan cadangan dan merumus tindakan. Jadi kita manfaatkan ia sebaik mungkin dengan membincangkan isu yang benar-benar relevan dengan kepentingan anak bangsa kita.
Ingatlah bahawa Puteri adalah "Penggerak Ke Arah Membina Generasi Muda Terbilang". Sama-samalah kita memastikan bahawa kedudukan dan jawatan yang Allah pinjamkan kepada kita tidak disalahgunakan, Insya-Allah.
|