Puteri ikrar terus tempa kejayaan
PUTERI Umno berikrar terus menabur bakti dan berdiri teguh di bawah kepemimpinan Presiden Parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang komited dalam usaha memartabatkan kepentingan wanita.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata menerusi kepemimpinan Abdullah, wanita mendapat hak layanan sama rata, sekali gus membuktikan kehadiran wanita penting kepada pembangunan negara.
"Terima kasih Pak Lah kerana sentiasa memberi peluang kepada wanita untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
"Dengan kepercayaan ini, kami berikrar terus menempa kejayaan demi mengharumkan nama parti," katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno.
Beliau turut meminta semua perwakilan di Dewan Merdeka berdiri dan bertepuk tangan sebagai tanda sokongan kepada Presiden.
Noraini berkata, Puteri berjanji memastikan program yang dirancang termasuk menjana semangat keusahawanan di kalangan belia wanita mencapai kejayaan.
"Kami terus memperkasa program yang memanfaatkan rakyat terutama menyemai minat menjadi usahawan menerusi program Roadshow Keusahawanan," katanya.
Beliau berkata, pergerakan itu juga akan terus membantu kerajaan dalam mengurangkan masalah pengangguran membabitkan wanita muda.
Noraini menjelaskan beliau terharu isu penyalahgunaan laman web diusulkan wakil Puteri diberi perhatian serta merta kementerian berkaitan.
"Puteri menyambut baik langkah kerajaan memperuntuk RM20 juta melaksanakan program pendidikan awal kanak-kanak," katanya.
Noraini meminta ketua cawangan Umno membantu pergerakan itu menambah keahlian pada peringkat cawangan, selain menasihatkan ahli Puteri meminta nasihat daripada ketua bahagian.
"Kepada ahli Puteri, jangan segan bertemu ketua bahagian untuk mendapatkan bantuan kerana mereka ini lebih berpengalaman," katanya.
|