Puteri mahu kerajaan tegas atasi gejala sosial remaja
WALAUPUN berpuas hati dengan sokongan perwakilan terhadap masalah sosial di kalangan wanita Melayu muda, Puteri Umno menaruh harapan isu itu ditangani bukan setakat ucapan berapi-api, sebaliknya direalisasikan menerusi tindakan penguatkuasaan.
Berikutan itu, langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memastikan semua syarikat telekomunikasi, penyedia khidmat internet termasuk kafe siber menyediakan khidmat penapisan bahan lucah menerusi laman web, melegakan sayap bongsu parti itu kerana suara pergerakan itu membuka mata kerajaan.
Naib Ketuanya, Rosnah Abdul Rashid Sherlin, berkata tiba masanya kerajaan tegas dalam usaha mengatasi gejala sosial hasil kerjasama semua pihak, sama ada agensi kerajaan dan politik.
"Jika berpegang atas dasar kebebasan media atau kemanusiaan menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan segera, tentunya ia akan menjejaskan generasi muda yang majoritinya melayari laman web lucah.
"Yang pasti, jika tidak dipantau sebaik mungkin ia akan menyebabkan mentaliti generasi sekarang dan akan datang dipengaruhi unsur negatif.
"Seharusnya kita tidak terbawa-bawa dengan keterbukaan dan dunia tanpa sempadan hingga melupakan nilai murni yang sepatutnya disemai dalam diri remaja," katanya ketika membahaskan usul agama dan sosial.
Pada perhimpunan agung kali ini, Puteri Umno membentangkan usul sosial yang menggariskan pelbagai langkah untuk mengatasi gejala sosial seperti dadah, sumbang mahram, mangsa mat rempit dan ibu tunggal yang membabitkan wanita Melayu muda.
Rosnah berkata, tidak salah jika Malaysia melaksanakan tindakan berbeza berbanding negara jiran seperti Thailand dan Filipina yang tidak menghalang penyebaran bahan lucah.
"Kita seharusnya bertindak untuk memastikan masa depan generasi akan datang terpelihara," katanya sambil menambah Puteri Umno mengharapkan kerjasama semua pihak untuk menjayakan Kempen Anti Laman Web Lucah yang akan diadakan dalam masa terdekat.
|