Kuasa Jakim perlu diperkasa
Puteri mahu garis panduan hiburan berunsur Islam lebih menyeluruh
KUALA LUMPUR: Puteri Umno mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi lebih kuasa untuk bertindak bagi menangani masalah keruntuhan moral membabitkan generasi muda.
Wakilnya, Siti Azizah Omar, berkata kuasa Jakim seperti mewujudkan garis panduan hiburan berunsur Islam, seharusnya diperluaskan mencakupi kandungan lain yang disiarkan di televisyen.
"Yang tak fahamnya kenapa garis panduan itu hanya mencakupi bahan penyiaran berunsur Islam. Bagaimana dengan program lain?" katanya ketika menyokong usul agama dan sosial.
Beliau yang mencadangkan supaya hanya satu kementerian memantau semua media, berkata siaran kartun yang memaparkan sikap dan penggunaan bahasa tidak sesuai antara ibu dan anak, juga harus dipantau dan ditapis.
Pada masa sama, katanya, program kanak-kanak berbentuk ilmiah dan mengandungi pengajaran moral perlu ditambah dan disiarkan pada waktu lebih sesuai.
"Kita ada kartun Lat, kita ada Puteh, program sebegini perlu dipaparkan pada masa utama supaya dapat ditonton dan diikuti anak kita," katanya.
Siti Azizah berkata, Jakim serta pihak berkuasa agama negeri perlu melaksanakan dakwah bagi menyedarkan masyarakat dalam usaha menangani masalah sosial.
Katanya, jabatan berkenaan perlu berani walaupun ada bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini terhadap agensi itu.
"Pada kami generasi muda perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja," katanya.
Wakil Puteri Umno itu juga kesal kerana beberapa minuman beralkohol tidak diletakkan di bawah Akta Pelesenan dan Kawalan Minuman Keras sehingga mudah diperoleh generasi muda.
"Kenapa ada arak yang halal dan ada arak yang haram," katanya sambil menambah, agensi penguat kuasa menyelaras serbuan terhadap premis menjual minuman keras bagi mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada.
|