Fatimah galak ahli keluarga sertai Umno

KEMPEN ‘Keluargaku Ahli Umno’ yang diperkenalkan pertubuhan itu beberapa tahun lalu sememangnya dipraktikkan sepenuhnya dalam keluarga Naib Ketua Umno Bahagian Kota Kinabalu, Fatimah Shara Ahmad Noor.

Berusia 43 tahun, beliau yang menyertai Umno 12 tahun lalu turut membawa ahli keluarganya menyertai parti, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan berikutan matlamat perjuangan dan kefahaman yang sama.

Suaminya, Faris Abdullah Teo ialah Ahli Jawatankuasa Umno bahagian sama, manakala dua lagi anaknya yang masing-masing berusia 23 dan 26 tahun menjadi AJK Pemuda bahagian.

“Saya melihat remaja yang menyertai Umno memiliki wawasan dan tujuan jelas dalam kehidupan mereka. Potensi dan perwatakan mereka juga mantap dan saya inginkan anak-anak turut menjadi seperti mereka,” katanya.

Selain dua anak lelakinya itu, Fatimah memiliki tiga lagi anak yang belum layak menyertai Umno dan berharap semua anaknya akan turut menyertai Umno apabila umur mereka layak kelak.

Semua anaknya kini memiliki kefahaman yang jelas mengenai perjuangan Umno dan kesedaran untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara walaupun masih muda.

Antara agenda utama Umno bahagiannya adalah memastikan aspek kekeluargaan dititikberatkan dalam masyarakat dan diterjemahkan menerusi pelbagai program yang diadakan di seluruh bahagian itu.

“Hubungan kekeluargaan yang kukuh dan bahagia adalah faktor yang mampu mengelak gejala sosial remaja. Sehubungan itu, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada anak dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama,” katanya.

Walaupun sibuk sebagai isteri, ibu dan ahli perniagaan, Fatimah memperuntukkan masanya menyertai pelbagai program Umno termasuk melangkah jauh menyeberangi lautan untuk menghadiri perhimpunan agung sejak mendaftar sebagai ahli.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768