Noraini VIP pertama daftar derma organ

Ketua Puteri sahut kempen, prihatin derita penghidap penyakit

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, sempat mendaftar sebagai penderma organ di kaunter yang dibuka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena perhimpunan kali ini.

Malah, beliau menjadi orang kenamaan (VIP) pertama mendaftar menderma buah pinggang sejak Kempen Derma Darah serta Kaunter Pendaftaran Derma Organ dan Pemeriksaan Mata Percuma dimulakan empat hari lalu.

Selain itu, pemeriksaan payu dara untuk mengesan penyakit kanser, turut disediakan anjuran bersama Pergerakan Wanita dan Puteri Umno.

Ketika ditemui, Noraini menyuarakan keprihatinannya terhadap penderitaan penghidap pelbagai penyakit yang hanya boleh disembuhkan menerusi pemindahan organ.

"Stigma orang Melayu mengenai pemindahan organ perlu diubah kepada kesedaran untuk membantu golongan yang memerlukan dan berasaskan itu jugalah saya mendaftar untuk menderma buah pinggang," katanya.

Noraini meminta semua ahli parti terutama Puteri Umno tampil menderma organ kerana ia adalah sumbangan yang tiada nilainya bagi menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan bangsa.

Sementara itu, Pengerusi kempen berkenaan, Wahida Fairuz Talhah, berkata selain Noraini, empat ahli Puteri Umno mendaftar menderma organ.

Ketua Puteri Selayang merangkap Pengerusi Biro Kebajikan Selangor itu berkata, empat ahli Puteri yang mendaftar itu berusia antara 18 dan 21 tahun.

Katanya, tahun lalu 11 orang mendaftar menerusi kempen sama, sekali gus bilangan kali ini kurang.

Selasa lalu, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, merasmikan Tabung Prihatin Puteri bagi mengumpul dana membantu ahli pergerakan itu yang menghidap penyakit berbahaya, termasuk kanser.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768