Puteri cadang pusat sehenti

WAKIL Puteri Umno mencadangkan penubuhan pusat sehenti yang memberikan khidmat nasihat dan modal kepada orang Melayu yang ingin menyertai bidang keusahawanan.

Ketua Puteri Bahagian Silam, Maizatul Akmam Alawi (gambar), berkata semua kementerian yang mempunyai peruntukan bagi membantu usahawan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) diselaraskan di pusat itu.

"Langkah ini memudahkan wanita berjaya dalam bidang keusahawanan, sekali gus memberi anjakan paradigma terutama kepada wanita Melayu muda untuk terbabit lebih aktif dan efisyen," katanya ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan.

Puteri Umno juga meminta kerajaan menyebarkan maklumat lebih meluas mengenai program keusahawanan supaya difahami rakyat, selain membantu keluarga miskin tegar dengan mewujudkan sumber pendapatan kedua.

"Usaha ini boleh membantu isteri keluarga miskin tegar itu menjadi usahawan. Ia perlu dijadikan salah satu agenda dalam membasmi kemiskinan sekali gus membantu Bumiputera menjadi usahawan berjaya," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768