Rosnah risau gejala sosial babit remaja

MASALAH sosial di kalangan remaja tidak dapat diselesaikan selagi kesedaran untuk berubah tiada dalam jiwa mereka sendiri, kata Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Kota Kinabalu, Rosnah Abdullah.

Bagi pemimpin berusia 30 tahun itu, remaja seharusnya sedar ramai pihak berusaha membantu mereka mengubah kehidupan tetapi jika mereka sendiri tidak berubah, mereka akan terus hanyut.

"Kerajaan menyediakan pelbagai program untuk membentuk remaja berwawasan, tetapi remaja perlu menolong diri mereka sendiri," kata pembantu tadbir di sektor swasta itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun itu, turut runsing memikirkan masalah sosial remaja dan berharap usahanya menerusi Puteri Umno, sedikit sebanyak mampu mengubah keadaan.

"Umno amat mengambil berat kepentingan dan kemakmuran Melayu. Justeru, penyertaan saya dalam Puteri diharap dapat berbuat sesuatu untuk kepentingan bangsa," katanya.

Rosnah menyertai Puteri Umno sejak tiga tahun lalu. Kesedarannya untuk membantu mengukuhkan kemakmuran bangsa timbul sejak dulu dan penubuhan Puteri Umno menyediakan jalan untuk perjuangannya.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai mana-mana pertubuhan dan selepas ibu saudara saya memperkenalkan Puteri Umno, saya terus berminat serta mengambil keputusan untuk menyertainya," katanya.

Selain Rosnah, adik dan suaminya menyertai Umno dengan masing-masing menjadi Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Kota Kinabalu dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Senggarang.

Rosnah berkata, perhimpunan agung parti memang dinantikan bagi mendengar sendiri amanat dan cadangan serta masalah berkaitan orang Melayu dan negara, sekali gus menginsafkan dirinya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768