Peluang projek biar sama rata

Usahawan wanita muda didiskriminasi: Noraini

KUALA LUMPUR: Usahawan wanita muda wajar diberi peluang sama rata dalam meraih projek, tender serta tidak didiskriminasi dalam mendapatkan pinjaman supaya dapat mencapai matlamat ekonomi Melayu yang lebih meluas.

Gesaan itu dibuat Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berikutan ramai usahawan wanita muda mengadu sukar mendapatkan pinjaman dan tidak dilayan secara adil.

"Sikap pilih bulu dan ikut jalan pintas masih berlaku menyebabkan sukar untuk Bumiputera yang terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat pinjaman. Apa lagi jika tidak kenal 'orang dalam' atau tidak ada hubungan dengan 'orang besar'," katanya.

Mengikut perangkaan, daripada RM750 bilion pinjaman dalam negara, 29 peratus untuk Bumiputera dengan RM102 bilion pinjaman membabitkan PKS, tetapi 80 peratus diterima bukan Bumiputera.

Walaupun Bank SME memberi 80 peratus pinjaman untuk Bumiputera, portfolio bank itu hanya RM2.4 bilion dan jumlahnya terlalu kecil berbanding yang dinikmati bukan Bumiputera.

Sehubungan itu, pergerakan berkenaan mahu institusi kewangan menyediakan pinjaman PKS lebih fleksibel bagi membantu orang Melayu dan Bumiputera yang baru hendak memulakan perniagaan.

Noraini juga mengetengahkan masalah pengangguran di kalangan siswazah yang kini mencecah 31,000 kerana gagal berkomunikasi dengan baik, tidak memiliki kemahiran insaniah, terlalu memilih pekerjaan dan gagal memenangi hati majikan.

Katanya, graduan terutama bidang teknologi maklumat (IT) yang dikatakan paling ramai menganggur, wajar diberi orientasi tambahan.

"Mungkin silibus semester pertama mereka sudah tidak relevan dengan kepesatan kemajuan IT," katanya.

Puteri turut mencadangkan supaya pusat kanser diperluaskan mengikut zon bagi memudahkan saringan, pemulihan, penyelidikan dan melatih pakar kanser.

Selain itu, Noraini meminta penubuhan Jabatan Strategik Antarabangsa disegerakan untuk kelangsungan bangsa dan keteguhan sesebuah negara.

Pergerakan itu, katanya, berikrar untuk menjayakan misi bangsa, mempertahankan kedaulatan dan hak Melayu serta orang Islam.

Selain berteraskan pendidikan dan sosial termasuk Program Sijil Profesional Eksekutif Korporat (PRO-Spek) dan Tunas Kerja, Roadshow Pembangunan Usahawan, Skuad Pengguna dan Mekar ICT.

INFO:


    Usul Ucapan Dasar Ketua Puteri Umno

  • MENYOKONG penuh kepemimpinan Presiden dan Timbalan Presiden menterjemahkan agenda Melayu dan negara dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melalui pendekatan Islam Hadhari bagi mencapai kegemilangan Melayu yang menjadi asas perjuangan Umno.

  • MENYERU semua ahli Puteri berdiri teguh di belakang Ketua Puteri serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan program bagi memastikan semangat penubuhan asal Puteri Umno terpelihara.

  • MENDESAK peranan Puteri Umno dalam pilihan raya tidak terhad kepada pengendalian sistem teknologi maklumat (IT) tetapi meraih undi golongan sebaya Puteri.

  • MENYOKONG usaha berterusan Ketua Puteri menghadapi pilihan raya, termasuk mengemas kini data keahlian serta pendaftaran ahli dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.

  • MENGGESA kerajaan menerima cadangan menentukan organisasi pentadbiran syarikat swasta diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya 30 peratus Bumiputera untuk jawatan profesional.

  • MENDESAK kerajaan memastikan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat dasar segera dilaksana.

  • MENYOKONG cadangan agensi kerajaan yang mengendalikan skim bantuan wanita dalam RMK-9 bebas daripada kerenah birokrasi.

  • MENGGESA kerajaan menerima cadangan menambah penubuhan Hospital Kanser mengikut zon serta menambah kemudahan seluruh negara bagi merawat dan memberi khidmat nasihat berhubung penyakit kanser dengan mengenakan kos rawatan minimum terhadap pesakit.

  • MENGGESA semua pihak terutama ahli Puteri berganding bahu untuk menggerakkan usaha pembinaan modal insan yang diterajui Presiden dengan menggandakan usaha mengatasi gejala sosial serta menggalakkan penimbaan ilmu sepanjang hayat.


Usul Agama dan Sosial


  • MENYELAR pihak yang menyumbang kepada perkembangan masalah sosial, khasnya di kalangan generasi muda sama ada secara langsung atau tidak langsung.

  • MENYERU Umno, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan masyarakat supaya berganding bahu memantau serta mengatasi masalah sosial.

  • MENYARANKAN Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan aktif menjalankan tanggungjawab sosial dengan mengadakan program pengisian di prasarana yang dibina. Ahli majlis yang mewakili Umno perlu berperanan proaktif membantu pihak berkuasa tempatan menjalankan aktiviti pengisian.

  • MENYARANKAN kerajaan meletakkan semua media elektronik di bawah satu kementerian, serta kerajaan memperkemaskan garis panduan penerangan dan penyiaran bagi memastikan semua inti pati penyiaran dibuat selaras dengan agenda sosial negara.

  • MENYARANKAN Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran memantau dan melakukan pemeriksaan berskala mengenal pasti masalah penyalahgunaan dadah dan dadah sintetik di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah.

  • MENDESAK kerajaan menguatkuasa undang-undang dengan mengambil tindakan tegas membasmi gejala maksiat, keruntuhan moral, kegiatan pelacuran, penyelewengan akidah dan penyalahgunaan permit hiburan keluarga.

  • MENGGESA jabatan agama Islam dan semua agensi yang berkaitan melipatgandakan program kesedaran dan bimbingan di kalangan remaja dengan pendekatan yang berhemah dan bersesuaian dengan gaya hidup masa kini.

  • MENYARANKAN kerajaan mengambil inisiatif mengeluarkan wanita yang terbabit dalam kancah pelacuran dan menyediakan program khas untuk mereka memulakan hidup baru.

  • MENYERU masyarakat, terutama ibu bapa dan pemimpin bersama membentuk masyarakat unggul.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768