Puteri tegur laporan media

PUTERI Umno menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan pihak tertentu termasuk media yang masih mengeksploitasi wanita Melayu muda, terutama dijadikan alat dan habuan seks.

Sehubungan itu, pergerakan berkenaan mahu kerajaan bertindak menghentikan sebarang bentuk eksploitasi terhadap wanita Melayu muda serta mengambil langkah bersepadu bagi menangani peningkatan gejala sosial.

Pergerakan itu juga mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang keterlaluan mengambil kesempatan terhadap wanita Melayu muda untuk memelihara maruah dan budaya Melayu serta kesucian Islam.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata walaupun isu itu sudah lama diperkatakan, masih ada pihak mengambil kesempatan terhadap wanita dan anak gadis Melayu.

Malah, katanya, kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan gambar lucah termasuk wanita Melayu banyak disebarkan menerusi laman web.

"Penyiaran artikel seks murahan dan eksploitasi wanita sebagai alat seks perlu dihentikan terutama ketika masyarakat bimbang gejala maksiat dan keruntuhan moral di kalangan generasi muda," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan Puteri Umno.

Beliau berkata, perangkaan polis menunjukkan 99 peratus remaja lelaki Melayu terbabit dengan lumba haram dan menjadi mat rempit serta mengheret remaja wanita ke dalam kancah itu.

"Mereka mempertaruhkan anak gadis sebagai umpan dan habuan kegiatan tidak bermoral ini," katanya.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, Puteri menyarankan hukuman sebat, denda atau penjara mandatori untuk membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768