Laman web lucah perlu dibendung

3 kementerian diminta bergabung bimbing belia

KUALA LUMPUR: Selaras perjuangan menangkis serangan budaya yang mengganggu gugat sistem budaya dan sosial Melayu, Puteri Umno menyarankan pelaksanaan kempen antilaman web lucah membabitkan semua peringkat institusi pendidikan dan kepemimpinan masyarakat.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diminta berganding bahu menjayakan program untuk menyelamatkan generasi muda negara.

Wakil Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Roziana Osman mencadangkan perkara itu ketika menyokong usul sosial yang dibentangkan sayap bongsu parti itu.

"Ibu bapa sekarang harus peka dengan perkembangan penggunaan teknologi maklumat yang sering digunakan remaja dalam melayari laman web tidak bermoral," katanya.

Bagi menggambarkan keprihatinan Puteri Umno berhubung isu gejala sosial negara, kerajaan didesak memantau pusat hiburan, karaoke, kelab malam, kafe siber dan rumah urut daripada menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Malah, kerajaan disaran memperketatkan pengeluaran permit pekerjaan kepada wanita asing untuk mengelak disalahgunakan dengan terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Selain itu, Puteri mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menambah silibus baru dalam kursus nikah kahwin dengan kursus ibu bapa mithali.

"Jika mereka tidak menghadiri kursus ini, sijil tamat kursus perkahwinan boleh disekat sehingga bakal pengantin menghabiskan kursus," katanya.

Puteri Umno juga mahu Jakim mengemas kini pentadbirannya, terutama aspek penguatkuasaan terhadap pencegahan maksiat yang berleluasa sekarang.

Sementara itu, pembentang usul sosial Puteri Umno yang juga wakil Terengganu, Hidayati Baharuddin mengemukakan lima langkah ke arah pembangunan sosial negara, khusus untuk manfaat generasi masa depan.

Lima langkah itu adalah menyemarakkan program jati diri budaya Melayu, menggubal kurikulum pendidikan sosial bermula peringkat kanak-kanak, memaksimumkan usaha mencegah dan merawat penyakit sosial pada peringkat akar umbi, memperkasa institusi kekeluargaan dan memugarkan budaya kejiranan dan rukun tetangga.

Bagi menangani masalah sosial yang membelenggu generasi muda Melayu, wakil Puteri Negeri Sembilan, Zuraidah Md Jinal menyarankan supaya majlis agama Islam menekankan masjid dan surau menjadi 'sahabat' kepada orang muda.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768