Wakil Kedah gesa sistem pendidikan dikaji
KEMENTERIAN Pelajaran diminta mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan pelajar Melayu yang cemerlang dan berkualiti dalam semua bidang.
Wakil Puteri Kedah, Dermawati Osman, berkata kajian semula itu perlu bagi membentuk individu cemerlang dalam pelajaran, akhlak mulia dan berkebolehan dalam semua bidang.
“Justeru Kementerian Pelajaran perlu meningkatkan kemudahan di sekolah luar bandar bagi mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar," katanya ketika membahas usul menyokong ucapan dasar Ketua Puteri.
Beliau turut menyokong langkah kerajaan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kerana ia dapat membantu meningkatkan penguasaan ilmu pelajar.
Wakil Puteri Johor, Fara Dilla Awang mahu kerajaan memastikan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah diperhalusi untuk menjamin tiada keciciran berlaku terhadap pelajar Melayu, khususnya di luar bandar.
Katanya, langkah itu tidak merugikan bangsa Melayu, sebaliknya pelajar semakin menguasai bahasa antarabangsa itu.
Justeru, beliau meminta sistem pendidikan tambahan kepada pelajar Melayu dilaksanakan seperti dipraktikkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRKC) untuk memastikan pelajar cemerlang dalam Sains dan Matematik.
Wakil Sabah, Zakiah Kalipunya mencadangkan Akademi Membaca diwujudkan mirip konsep Akademi Fantasia dan Malaysian Idol bagi menarik minat generasi muda terhadap aktiviti itu.
|