‘Usah samatarafkan status Puteri, Putera’
TINDAKAN sesetengah pihak yang sering 'menyamatarafkan' Puteri Umno dengan Putera Umno mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli Puteri.
Perkara itu diluahkan beberapa perwakilan Puteri ketika membahaskan usul ucapan dasar ketua pergerakan itu.
Mereka merujuk laporan media yang meletakkan status Putera sama dengan Puteri serta sesetengah laporan yang seolah-olah mendahulukan Putera Umno.
Wakil Puteri Melaka, Azlieza Azizan, berkata tindakan sesetengah pihak 'menyamatarafkan' Puteri dengan Putera Umno tidak wajar kerana peranan Puteri kini setanding Pemuda dan Wanita.
Puteri Umno adalah satu daripada sayap parti dan setaraf Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno, sedangkan Putera Umno hanya biro di bawah Pergerakan Pemuda.
Beliau berkata, Puteri menerusi kepemimpinan ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berjaya merencanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada parti, termasuk dalam pilihan raya umum atau kecil.
Wakil Puteri Perlis, Azlina Che Azni turut melahirkan kekesalannya kerana laporan itu seolah-olah menidakkan usaha yang dilakukan Puteri selama ini.
"Tolong jangan samakan dengan Putera. Kami sayap Umno seperti Pemuda dan Wanita. Kami menjalankan tanggungjawab dan berusaha memperjuangkan agenda parti," katanya.
|