Ida Rahayu usahawan Puteri
Lulusan perniagaan universiti di United Kingdom jadi jutawan pada usia 25 tahun
KUALA LUMPUR: Kejayaan menjadi jutawan pada usia 25 tahun dan menerajui Eurofine (M) Sdn Bhd pada 1 Januari 1994, melayakkan Ida Rahayu Md Noor, 35, dinobatkan penerima sulung Anugerah Usahawan Puteri 2006.
Anak kelahiran Segamat, Johor itu menyertai Puteri Umno sejak awal penubuhannya pada 2000 dan kini Pengerusi Tetap Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Utara yang juga Ahli Jawatankuasa Puteri Umno bahagian itu.
Berkelulusan Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Institute of Commercial Management, United Kingdom dan Diploma Lanjutan dari University of Wales (Swansea) United Kingdom, Ida Rahayu kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine (M) Sdn Bhd, Network Guidance Sdn Bhd dan Fine Animation (M) Sdn Bhd.
Anugerah yang julung kali diperkenalkan Puteri Umno pada Perhimpunan Perwakilan Umno 2006 itu menawarkan trofi, kain tenun songket, komputer riba sumbangan Mimos dan wang tunai RM5,000.
Ia anugerah kedua dimenangi anak bongsu daripada tiga adik beradik itu yang diberi Anugerah Keusahawanan Wanita 2006 bagi kategori media dan komunikasi pada Julai lalu oleh National Women of Entrepreneur Malaysia (NAWEM).
"Saya terharu dengan penghargaan diberikan Puteri Umno. Saya tak sangka akan dipilih kerana saya rasa ramai lagi lebih layak menerimanya.
"Saya menganggap ia pengiktirafan untuk saya dan Puteri Umno kerana saya menjadi ahli sejak awal penubuhannya. Kejayaan saya adalah kejayaan Puteri," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu.
Anugerah itu, katanya menjadi pencetus semangat untuk beliau berusaha lebih gigih bagi memajukan diri dalam perniagaan.
Pada awal pembabitannya dalam bidang perfileman, Ida Rahayu memulakan usaha pertama dengan menerbitkan program dokumentari televisyen untuk RTM bertajuk Perspektif.
Sehingga kini beliau memimpin Eurofine selaku pemegang saham majoriti, dalam menerbitkan lebih 2,000 jam program televisyen dan filem untuk tayangan di stesyen televisyen dalam dan luar negara.
Ida Rahayu mempunyai pasukan yang mendukung visi Eurofine secara kolektif iaitu ‘Eurofine Group akan menjadi Butik Kandungan Media Bertaraf Dunia’ menjelang 2010.
|