Kematangan sayap bongsu parti kian terserlah

JANGAN anggap usia Puteri Umno yang baru mencecah lima tahun dengan keahlian 268,762 seperti kanak-kanak prasekolah sebagai ‘tiket' untuk mana-mana pihak memperlekehkan keupayaan pergerakan itu.

Jangan pula ada yang melihat ahli Puteri bagaikan bunga hiasan kerana tentunya ada yang akan ditempelak bukan saja oleh kepemimpinannya, malah perwakilan dan ahli pergerakan itu.

Itulah rumusan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad yang disambut tepukan gemuruh exco dan perwakilan pergerakan itu, sekali gus menggambarkan betapa sayap itu mahu pengiktirafan sama rata dengan Pemuda dan Wanita.

"Kita tidak akan membenarkan sesiapa memperkotak katikkan kewibawaan Puteri Umno," katanya sambil menegaskan sudah sampai masanya seluruh warga Umno yakin dengan keupayaan Puteri.

Persidangan pergerakan kali menampakkan potensi sayap bongsu parti itu semakin menyerlah, terutama dengan idea dan pandangan bernas untuk pertimbangan Umno dan kerajaan.

Bagaimanapun, untuk mengimbangi 'pujian' ini, tidak salah jika pembahas ditegur sedikit kerana ada kalanya masih mengekalkan budaya berbicara secara retorik, sekali gus mengabaikan pesanan Noraini supaya mereka fokus kepada fakta dan isu.

Berbalik kepada status Puteri Umno itu sendiri, entah bagaimana tiba-tiba timbul kekeliruan mengenai status pergerakan itu dengan biro di bawah Pemuda Umno – Putera Umno.

“Puteri sama tarafnya dengan Wanita dan Pemuda. Dalam tempoh lima tahun penubuhan Puteri, walaupun hanya sekali terbabit dalam pilihan raya umum (2004) dan beberapa pilihan raya kecil, kami sudah berbakti untuk membantu memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan," katanya.

Kesungguhan pergerakan itu untuk melindungi mangsa gejala sosial di kalangan remaja dan belia wanita Melayu juga tidak boleh diketepikan.

Isu berkenaan mendapat tempat pada Persidangan Puteri tahun ini dengan wakil Pahang, Norydal Othman mencadangkan selain sebat dan penjara, hukuman kembiri dikenakan terhadap pesalah rogol.

Noraini segera menyokong saranan itu dengan meminta tindakan pantas pihak berwajib memantau penularan laman web lucah.

Tidak ketinggalan isu penagihan dadah turut diketengahkan dengan cerita pelajar Tahun Tiga yang dikatakan mula 'berjinak-jinak' dengan dadah sintetik.

Nyata, walaupun baru berusia lima tahun, tanggungjawab Puteri kini semakin berat. Tetapi, dengan pembentangan usul dan perbahasan senada Puteri, tentunya apa yang dirancang bakal membuahkan hasil.

Mungkin tugas Puteri akan lebih ringan apabila cadangan penubuhan Pasukan Penggerak Sosial untuk merawat pelbagai penyakit sosial membabitkan wanita Melayu muda menjadi kenyataan.

Mengakhiri persidangan Puteri Umno kali ini, wajar dipetik kata-kata wakil ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali mengenai keistimewaan yang dianugerahkan Tuhan kepada pergerakan itu.

"Sifat lemah lembut, mudah didekati serta hati dan sanubari mulia, memberikan nilai tambah Puteri untuk menambah keahlian, selain mendekati anggota masyarakat, sekali gus menjadi saluran khidmat bakti kepada bangsa.

“Teruskan usaha menggilap bakat kepemimpinan dan wadah perjuangan bangsa kerana jika ingin melihat nasib masa depan sesuatu bangsa, lihatlah kepada golongan muda sekarang,” katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768